Connect with us

Terkini

Pasukan khas ditubuh pantau pergerakan keluar pelancong China, India

Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India, susulan keputusan kerajaan untuk memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada warga kedua-dua negara itu mulai 1 Disember depan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
  • Jabatan Imigresen Malaysia akan tubuh pasukan khas pantau pergerakan keluar pelancong China dan India, susulan keputusan kerajaan beri pengecualian visa 30 hari kepada warga kedua-dua negara itu mulai 1 Disember depan.
  • Pemantauan dilaksanakan pada tarikh akhir, iaitu hari ke-30 ikut tempoh keberadaan dalam negara, dan ia dilaporkan berkala sebagai mekanisme kawalan serta penguatkuasaan.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu sebahagian daripada tujuh aspek kawalan dan penguatkuasaan keselamatan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasa, bagi perkukuh pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa.
  • “Melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar daripada berlakunya isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan menubuhkan pasukan khas bagi memantau pergerakan keluar pelancong China dan India, susulan keputusan kerajaan untuk memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada warga kedua-dua negara itu mulai 1 Disember depan.

Pemantauan akan dilaksanakan pada tarikh akhir, iaitu hari ke-30 mengikut tempoh keberadaan di dalam negara, dan ia akan dilaporkan secara berkala sebagai mekanisme kawalan serta penguatkuasaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada tujuh aspek kawalan dan penguatkuasaan keselamatan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasa, bagi memperkukuh pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa.

“Melalui aspek kawalan dan penguatkuasaan yang dipergiatkan, negara boleh menghindar daripada berlakunya isu seperti kebanjiran warga asing dan pendatang tanpa izin (PATI).

“Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Malaysia terjamin, dengan mengekalkan pelaksanaan tapisan awal keselamatan terhadap semua pengembara ke Malaysia, terutama yang mempunyai rekod jenayah atau risiko keganasan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Aspek kawalan dan penguatkuasaan lain yang akan turut dilaksanakan ialah meningkatkan aktiviti pemeriksaan serta pemantauan di lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing, seperti di kawasan Masjid India, Plaza Lowyat serta Bukit Bintang, bagi membanteras PATI.

Selain itu, menggiatkan aktiviti risikan dan penguatkuasaan bukan saja terhadap pekerja asing tetapi juga majikan yang menggaji atau melindungi PATI.

Saifuddin Nasution berkata, prosedur ketat pemberian Notis Penolakan Masuk atau Not-to-Land (NTL) juga dikekalkan dan tidak dikompromi.

Beliau berkata, syarikat penerbangan pula diberi tanggungjawab menyemak serta memastikan pelancong yang masuk ke negara ini mempunyai tiket penerbangan pulang dan tempahan hotel sepanjang keberadaan di Malaysia, yang disahkan.

Kerajaan juga akan meneroka cadangan untuk mewajibkan pengisian data dalam Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) yang berintegrasi dengan sistem imigresen MyIMMs, untuk memastikan data kemasukan pelancong asing direkodkan.

Seterusnya, mengkaji semula Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berkaitan kadar kompaun, denda dan/atau hukuman untuk tindakan jangka panjang.

“Pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa akan dikaji semula selepas tempoh satu tahun, untuk menilai pulangan pelaburan (RoI) kepada negara, keberkesanan inisiatif dan penilaian risiko keselamatan terhadap kemudahan imigresen yang diberikan.

“Sekiranya berlaku insiden atau kejadian di luar jangkaan, Pelan Liberalisasi Visa akan disemak semula untuk ditambah baik sebagai persediaan menjelang 2025 dan 2026.

“Ini akan dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha memperkemas dasar dan prosedur berkaitan keimigresenan serta menjamin ketersediaan pasukan imigresen di pintu masuk negara untuk menerima kehadiran pelancong asing dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *