Terkini
Rais Yatim beri amaran: ‘Komunis kini tidak lagi guna senapang, tapi MyKad’
- Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim memberi amaran serius berhubung ancaman anasir subversif, termasuk komunis, yang didakwa sudah menyusup masuk ke dalam negara ini melalui pelbagai saluran, antaranya imigresen, institusi pendidikan, dan persatuan.
- Dakwa beliau, bilangan kelompok itu juga sudah mencecah puluhan ribu di bandar-bandar di negara ini.
- “Bagaimana mereka melobosi kawalan imigresen kini diketahui umum… ada unsur jual negara. Menteri menidakkan anasir-anasir subversif ini. Kini apa macam? Nak berdalih lagi?,” soalnya.
- Rais berkata KEMENTAH pada minggu lalu juga telah diintip dan diceroboh dengan menggunakan dron yang menyaksikan dua individu ditangkap.
KUALA LUMPUR — Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim memberi amaran serius berhubung ancaman anasir subversif, termasuk komunis, yang didakwa sudah menyusup masuk ke dalam negara ini melalui pelbagai saluran, antaranya imigresen, institusi pendidikan, dan persatuan.
Subversif merujuk kepada usaha untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dan lain-lain, dengan menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu secara sulit.
Menurut Rais, dedahan yang dibuat beliau pada empat bulan lalu mengenai kegiatan terorisme dan penyangak melibatkan individu daripada Cina kini terbukti benar apabila operasi mereka berjaya dikesan.
Dakwa beliau, bilangan kelompok itu juga sudah mencecah puluhan ribu di bandar-bandar di negara ini.
“Bagaimana mereka melobosi kawalan imigresen kini diketahui umum… ada unsur jual negara. Menteri menidakkan anasir-anasir subversif ini.
“Kini apa macam? Nak berdalih lagi?,” soalnya menerusi hantaran di Facebook yang turut disertakan dengan klip video daripada TikTok @beritamediacorp berkenaan empat suspek warga China didakwa memiliki peralatan pecah masuk rumah dibawa semula ke tempat kejadian.
Difahamkan, kes itu berlaku di Singapura, dan pihak polis republik berkenaan percaya kesemua suspek mempunyai kaitan dengan sindiket pecah masuk rumah dari China.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Rais Yatim.
Mengulas lanjut, Rais berkata Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada minggu lalu juga telah diintip dan diceroboh dengan menggunakan dron yang menyaksikan dua individu ditangkap.
Kenyataan itu berkemungkinan merujuk kepada laporan berita pada 14 Ogos lalu di mana dua lelaki warga China ditahan polis selepas disyaki menceroboh kawasan larangan Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, pada 6 Ogos 2025.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata, soal siasat terhadap suspek mendakwa bahawa rakaman dron itu adalah arahan oleh pihak majikan mereka, namun mereka tidak mengetahui motif dan tujuan tinjauan dilakukan.
“Komunis kini tak pakai senapang lagi. Mereka dah ada MyKad (siapa kasi ye) Mereka pakai minda tajam.
“Menteri DS Zamri (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir) esok terus siasat universiti Xiamen… Apa mereka buat? Di situ sarang kegiatannya menggerunkan. Bawalah lagi universiti komunis.
“SB jangan lupa Persatuan One China yang saya dedahkan empat bulan lalu,” tegas beliau yang sebelum ini pernah membuat laporan polis berhubung satu video mengenai kegiatan komunis membabitkan sebuah kumpulan dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Satu China di Malaysia.
Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan mengingatkan anak muda bahawa negara bangsa ketika ini sedang diancam bahaya, sementara pemimpin pula masih alpa dan ‘lena’. — The Merdeka Times