Terkini
Siasat Persatuan Promosi Penyatuan Satu China, didakwa terbabit kegiatan komunis – Rais Yatim
- Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi berhubung satu video mengenai kegiatan komunis membabitkan sebuah kumpulan dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Satu China di Malaysia.
- Antara asas utama laporan polis dibuat menurut beliau, adalah kerana video itu mengandungi fakta jelas menunjukkan adanya kemaraan terhadap fahaman dan pendirian komunis berdasarkan beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam negara.
- Ia termasuk peristiwa di Pulau Pinang apabila murid sekolah menyanyikan lagu patriotik Tanah Besar China yang mengandungi lirik fahaman komunisme serta kegiatan mengibarkan bendera China dan kewujudan persatuan yang mempromosi ‘Satu China’ di negara ini.
- “Bukan menunjukkan apa-apa perasaan yang berbentuk prasangka tetapi saya minta supaya siasatan dibuat dan sekiranya benar, apakah gara-gara komunisme yang dibuat itu melibatkan beberapa pihak VIP di tanah air kita yang berpangkat tinggi (perkara ini) dibiarkan hanya sebegitu saja?,” katanya menerusi klip video dimuat naik di TikTok a.dhtv5 pada Selasa.
KUALA LUMPUR — Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini berhubung satu video mengenai kegiatan komunis membabitkan sebuah kumpulan dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Satu China di Malaysia.
Rais Yatim berkata beliau telah menonton video tersebut berulang kali dan mendapati ia mengandungi fakta yang cukup untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan.
Antara asas utama laporan polis dibuat menurut beliau, adalah kerana video itu mengandungi fakta jelas menunjukkan adanya kemaraan terhadap fahaman dan pendirian komunis berdasarkan beberapa peristiwa yang telah berlaku dalam negara.
Ia termasuk peristiwa di Pulau Pinang apabila murid sekolah menyanyikan lagu patriotik Tanah Besar China yang mengandungi lirik fahaman komunisme serta kegiatan mengibarkan bendera China dan kewujudan persatuan yang mempromosi ‘Satu China’ di negara ini.
“Apabila video ini disebar luas, saya terasa wajar bagi saya membuat laporan polis dan meminta polis sebenar-benarnya menyiasat peristiwa yang berlaku itu dan dalam video itu disebut beberapa nama orang yang mengepalai persatuan ini… Persatuan ini didapati tidak didaftar tetapi mendapat dokongan terus-menerus.
“Jadi perhitungan dalam pemikiran saya ialah peristiwa-peristiwa di Pulau Pinang, Teluk Intan dan Dewan Perhimpunan China di Selangor dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain menjurus kepada promosi yang saya lihat ini, termasuk masa merdeka, promosi negara China itu cukup besar dilakukan.
“Bukan menunjukkan apa-apa perasaan yang berbentuk prasangka tetapi saya minta supaya siasatan dibuat dan sekiranya benar, apakah gara-gara komunisme yang dibuat itu melibatkan beberapa pihak VIP di tanah air kita yang berpangkat tinggi (perkara ini) dibiarkan hanya sebegitu saja?,” katanya menerusi klip video dimuat naik di TikTok a.dhtv5 pada Selasa.
Rais Yatim juga mengingatkan bahawa kebiasaan dalam sejarah komunisme, kewujudan mereka bukanlah secara bersendirian tetapi sebaliknya mempunyai rangkaian sel atau ia berkembang di pelbagai institusi seperti jabatan kerajaan, sekolah, dan universiti.
Beliau berkata menerusi pendidikan rendah, menengah dan universiti maka sel-sel berkenaan akan lengkap untuk memperjuangkan kedudukan mereka di negara ini.
Justeru, katanya laporan polis itu dibuat kerana beliau tidak mahu negara ini tergelincir daripada Rukun Negara dan anak muda juga tidak mudah dididik dengan fahaman komunis.
“Barangkali zaman sudah beredar dan pusaka bergilir, orang tak minat lagi… Tapi saya orang lama, saya minat… Sebab negara ini hancur oleh komunis dahulu, hampir hancur di tangan Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain.
“Sekarang kita tidak mahu hal ini muncul dalam suasana yang lebih canggih ataupun dalam suasana lebih mengelirukan kedudukan kita.
“…Mungkin juga pihak-pihak yang tinggi dalam kerajaan kata ini hanya ribut dalam cawan… Jangan, pada saya ini ribut dalam kawah sebab saya melalui tahun 1948, kanak-kanak lagi masa itu tapi sudah tahu bagaimana bintang tiga memotong orang kampung saya terus penggal kepala dari leher… Barangkali itu tidak ada sekarang tapi boleh berlaku dalam suasana apabila kuasa sel (komunisme) tadi sudah semarak,” kata Rais Yatim. –The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login