Connect with us

Terkini

MCA minta Zambry kemukakan data sokong penafian lambakan pelajar China di universiti awam

Published

on

Foto: Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng (kiri) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (kanan).
  • Gesaan itu dibuat Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng,  yang menuntut penjelasan Zambry mengenai jumlah pelajar asing diterima di 20 universiti awam negara yang mempunyai tempat amat terhad, serta sama ada mereka menduduki kuota terhad yang secara tidak langsung menyempitkan peluang kemasukan pelajar tempatan.
  • Jelas beliau, pihaknya membangkitkan isu itu bukan kerana mereka menentang kemasukan pelajar asing, tetapi kerana universiti awam menerima peruntukan kerajaan, yang memerlukan keseimbangan antara kemasukan pelajar antarabangsa dan perlindungan peluang pelajar tempatan diberi perhatian serius.
  • “Di bawah jumlah tempat yang terhad, tidak boleh hanya kerana mahu mengaut keuntungan, peluang pelajar tempatan dikompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR — Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir digesa mengemukakan data dan fakta konkrit bagi menyokong penafian beliau berhubung dakwaan lambakan pelajar dari China telah menyempitkan peluang pelajar tempatan memasuki universiti awam (UA) di negara ini.

Gesaan itu dibuat Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng,  yang menuntut penjelasan Zambry mengenai jumlah pelajar asing diterima di 20 universiti awam negara yang mempunyai tempat amat terhad, serta sama ada mereka menduduki kuota terhad yang secara tidak langsung menyempitkan peluang kemasukan pelajar tempatan.

Jelas beliau, pihaknya membangkitkan isu itu bukan kerana mereka menentang kemasukan pelajar asing, tetapi kerana universiti awam menerima peruntukan kerajaan, yang memerlukan keseimbangan antara kemasukan pelajar antarabangsa dan perlindungan peluang pelajar tempatan diberi perhatian serius.

“Di bawah jumlah tempat yang terhad, tidak boleh hanya kerana mahu mengaut keuntungan, peluang pelajar tempatan dikompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zambry sebelum ini dilaporkan menegaskan bahawa tuduhan program asasi di UA dipenuhi pelajar China adalah tidak betul dan kerajaan tidak pernah ‘mengorbankan’ kuota pelajar tempatan bagi memberi laluan kepada pelajar antarabangsa demi meraih keuntungan untuk pihak universiti.

Penafian itu bagi menjawab kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen yang mendakwa pelajar dari China lebih ramai masuk UA kerana mempunyai duit berbanding rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Tan mencadangkan agar Zambry melakukan lawatan bersama wakil MCA ke universiti awam bagi meninjau keadaan sebenar, berikutan parti politik berkenaan telah menerima banyak aduan di mana pelajar tempatan yang cemerlang tidak diterima melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

Tetapi, pelajar terbabit akan diterima masuk menerusi saluran terbuka dan perlu membuat bayaran yuran yang tinggi.

“Kaedah sebegini dilihat seperti berorientasikan keuntungan, sambil menafikan hak pelajar tempatan yang cemerlang untuk mendapatkan peluang setara,” tegasnya.

Malah, katanya media sebelum ini juga mendedahkan bahawa ramai pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang cemerlang, turut tidak diterima dalam program popular ditawarkan.

Justeru, beliau menggesa Menteri Pendidikan Tinggi agar mengemukakan statistik sebenar jumlah pelajar STPM yang berjaya diterima masuk ke universiti awam.

“Memandangkan pelbagai persoalan dan kekalutan yang disebabkan oleh mekanisme saluran terbuka, maka kami menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat, seterusnya memperjelaskan hala tuju dan masa depan UA,” katanya. — The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author