Terkini
Kerajaan dicadang apung harga beras, beri STR secara bulanan – Ali Mydin
Kerajaan dicadang supaya mengapungkan harga beras dan memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara bulanan sebagai mekanisme pemberian subsidi bersasar kepada golongan B40 membeli barangan keperluan asas itu.
- Kerajaan dicadang supaya mengapungkan harga beras dan memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara bulanan sebagai mekanisme pemberian subsidi bersasar kepada golongan B40 membeli barangan keperluan asas itu.
- Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata langkah itu boleh dibuat bagi meringankan beban mereka yang terkesan jika berlaku kenaikan harga bekalan dengan pelaksanaan pengapungan harga terbabit.
- Katanya, pihaknya berharap kerajaan dapat mengumumkan pelaksanaan pengapungan harga barangan keperluan yang dikawal melalui pembentangan Bajet 2024, Jumaat ini.
- “Kaedah itu lebih berkesan berbanding pelaksanaan mekanisme baharu seperti kad subsidi yang akan menelan kos,” katanya kepada BH, di sini hari ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya mengapungkan harga beras dan memberikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara bulanan sebagai mekanisme pemberian subsidi bersasar kepada golongan B40 membeli barangan keperluan asas itu.
Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata langkah itu boleh dibuat bagi meringankan beban mereka yang terkesan jika berlaku kenaikan harga bekalan dengan pelaksanaan pengapungan harga terbabit.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya berharap kerajaan dapat mengumumkan pelaksanaan pengapungan harga barangan keperluan yang dikawal melalui pembentangan Bajet 2024, Jumaat ini.
“Kalau kita tengok pemberian subsidi contohnya melalui minyak masak, wujudnya ketirisan sebelum ini maka eloknya kerajaan apungkan harga barangan yang ada kawalan ini termasuk beras.
“Selepas itu, kerajaan berikan STR secara bulanan sebanyak RM100 hingga RM200 khususnya bagi pembelian barangan keperluan asas, termasuk petrol selepas subsidi ditarik semula.
“Kaedah itu lebih berkesan berbanding pelaksanaan mekanisme baharu seperti kad subsidi yang akan menelan kos,” katanya kepada BH, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mencadangkan supaya kerajaan menyediakan subsidi bagi pembelian beras putih tempatan (BPT) untuk 3.2 juta isi rumah B40 jika harga beras itu dinaikkan, bagi membantu golongan berkenaan.
Pada masa sama, Ameer Ali berkata, kaedah pemberian STR boleh diubah kepada setiap bulan sekali berbanding beberapa bulan sebelum ini bagi memastikan bantuan itu digunakan sebaiknya untuk pembelian barangan keperluan asas.
“Jangan bagi bantuan tiga atau enam bulan sekali membabitkan jumlah besar sehingga ribuan ringgit kerana ia boleh menyebabkan mereka cenderung untuk memberi barangan lain,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi juga memudahkan pemberian subsidi bersasar melalui STR dilaksanakan.
Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosio ekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.
Sumber: Berita Harian