Terkini
Colombia negara paling bahaya bagi aktivis alam sekitar
Kumpulan pembela British Global Witness menyifatkan Colombia sebagai negara paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar pada 2022 berikutan pembunuhan sekurang-kurangnya 60 pembela hak alam sekitar dan tanah di sana.
- Kumpulan pembela British Global Witness menyifatkan Colombia sebagai negara paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar pada 2022 berikutan pembunuhan sekurang-kurangnya 60 pembela hak alam sekitar dan tanah di sana.
- Penasihat Kanan Kempen Pembela Tanah dan Alam Sekitar Global Witness, Laura Furones, berkata sekurang-kurangnya 177 pencinta alam sekitar terbunuh di seluruh dunia tahun lalu, di mana Amerika Latin menyaksikan 88 peratus daripada serangan maut itu.
- “Di Colombia dan tempat lain, Orang Asli, komuniti keturunan Afro, petani berskala kecil dan aktivis alam sekitar disasarkan dengan kejam,” katanya pada sidang akhbar secara maya.
- Penemuan itu mengembalikan Colombia ke senarai teratas negara paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar, selepas pembunuhan menurun pada 2021 berbanding 2019 dan 2020.
BOGOTA: Kumpulan pembela British Global Witness menyifatkan Colombia sebagai negara paling berbahaya bagi aktivis alam sekitar pada 2022 berikutan pembunuhan sekurang-kurangnya 60 pembela hak alam sekitar dan tanah di sana.
Berdasarkan laporan, Penasihat Kanan Kempen Pembela Tanah dan Alam Sekitar Global Witness, Laura Furones, berkata sekurang-kurangnya 177 pencinta alam sekitar terbunuh di seluruh dunia tahun lalu, di mana Amerika Latin menyaksikan 88 peratus daripada serangan maut itu.
“Di Colombia dan tempat lain, Orang Asli, komuniti keturunan Afro, petani berskala kecil dan aktivis alam sekitar disasarkan dengan kejam,” katanya pada sidang akhbar secara maya.
Penemuan itu mengembalikan Colombia ke senarai teratas negara paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar, selepas pembunuhan menurun pada 2021 berbanding 2019 dan 2020.
Antaranya ialah aktivis alam sekitar Colombia, Nadia Umana, yang mengakui kerap menerima ugutan kumpulan penjenayah.
Katanya, Colombia adalah antara negara paling berbahaya di dunia bagi aktivis alam sekitar terutama akibat ancaman pembalak dan pemburu haram.
Sejak berkuasa pada Ogos tahun lalu, kerajaan Presiden berhaluan kiri, Gustavo Petro, berjanji untuk meningkatkan usaha menghentikan keganasan sebegitu.
Penemuan Global Witness itu pasti akan mengecewakan pentadbiran Petro, yang meluluskan undang-undang mengesahkan perjanjian Escazu mengenai perlindungan alam sekitar pada Oktober tahun lalu.
Perjanjian itu, yang diterima pakai di wilayah Escazu di Costa Rica pada Mac 2018, termasuk peruntukan untuk melindungi pencinta alam sekitar, tetapi undang-undang itu belum lagi diluluskan oleh Mahkamah Perlembagaan Colombia.
Menteri Alam Sekitar, Susana Muhamad, berkata statistik itu amat memalukan bagi negara.
“Justeru, ratifikasi perjanjian Escazu oleh Mahkamah Perlembagaan adalah asas di mana ia akan banyak menyokong kami dalam keperluan melindungi pembela alam sekitar,” katanya.
Bagaimanapun, tarikh akhir untuk Mahkamah Perlembagaan menganalisis undang-undang itu digantung, sementara ia menunggu untuk menerima bukti, yang diminta pada Ogos.
Brazil dan Mexico adalah negara kedua dan ketiga paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar pada 2022, di mana laporan itu mendapati sekurang-kurangnya 34 dan 31 pembunuhan dicatatkan.
Dua negara yang bukan dari Amerika Latin termasuk dalam 10 paling berbahaya bagi pencinta alam sekitar ialah Filipina dan Indonesia, menurut Global Witness.
Sumber: Berita Harian