Antarabangsa
Empat pertuduhan rasuah, Aung San Suu Kyi dipenjara enam tahun
Enam tahun hukuman penjara dijatuhkan oleh Mahkamah junta Myanmar hari ini ke atas pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi akibat rasuah.

- Mahkamah junta Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi di bawah empat pertuduhan antirasuah.
- Suu Kyi berada dalam tahanan tentera sejak rampasan kuasa menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu, menjerumuskan negara Asia Tenggara itu ke dalam kekacauan.
- Pemenang Hadiah Nobel berusia 77 tahun itu sudah pun dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah, menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.
Yangon – Enam tahun hukuman penjara dijatuhkan oleh Mahkamah junta Myanmar hari ini ke atas pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi akibat rasuah.
Perkara itu disahkan daripada sumber yang rapat dengan kes terbabit namun identiti sumber tidak dapat didedahkan susulan tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
“Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara enam tahun di bawah empat pertuduhan antirasuah,” katanya.
Suu Kyi berada dalam tahanan tentera sejak rampasan kuasa menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu, menjerumuskan negara Asia Tenggara itu ke dalam kekacauan.
Dia kelihatan dalam keadaan sihat dan tidak membuat sebarang kenyataan berikutan hukuman terbaharunya, tambah sumber itu.
Terdahulu pemenang Hadiah Nobel berusia 77 tahun itu sudah pun dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah, menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan COVID-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi.
Dalam pada itu, dia juga turut menghadapi pelbagai tuduhan jenayah lain, termasuk melanggar akta rahsia rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya, serta boleh dipenjarakan selama beberapa dekad jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.
Sementara itu, pengamal media dan wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah dan peguam Suu Kyi dilarang bercakap kepada media.
Lebih 2,000 orang terbunuh dan lebih 17,000 ditangkap dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, menurut kumpulan pemantau tempatan dikenali ‘Assistance Association for Political Prisoners’.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login