Terkini
Hampir 90 peratus pegawai imigresen di lapangan terbang terlibat rasuah – MCW
- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa sebagai jabatan paling banyak berlaku kegiatan rasuah di negara ini di mana hampir 90 peratus pegawai imigresen yang bertugas di lapangan terbang terlibat perbuatan itu.
- Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mendakwa juga ketika ini, pegawai imigresen boleh mendapat RM40 ribu sehari jika menerima rasuah di lapangan terbang.
- “Banyak kartel-kartel yang berkeliaran di keliling airport itu… Dia sedar siapa sahaja akan gelap mata bila bawa duit setebal ini letak depan dia… Sekarang ni, satu hari boleh dapat RM40 ribu, kalau mengambil rasuah di airport, macam mana pegawai tu tak gelap mata?
- “Kalau RM40 ribu, dah kerja 10 tahun nak simpan tu pun payah nak RM40 ribu itu…Budak mahaad tahfiz pun tergolek, tak tahan… Ini adalah satu realiti yang sebenarnya susah untuk kita tangani, tapi tak mustahil.” – Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia.
KUALA LUMPUR — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didakwa sebagai jabatan paling banyak berlaku kegiatan rasuah di negara ini di mana hampir 90 peratus pegawai imigresen yang bertugas di lapangan terbang terlibat perbuatan itu.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mendakwa ketika ini, pegawai imigresen boleh mendapat RM40 ribu sehari jika menerima rasuah di lapangan terbang yang berupaya membuat pegawai di sana gelap mata dengan nilai tersebut.
Dalam usaha menangani perkara itu, Jais berkata seorang veteran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan mereka pernah menukar pegawai SPRM ke imigresen, manakala pegawai imigresen pula bekerja dengan SPRM, namun hasilnya adalah pegawai imigresen terima rasuah tersebut ‘membawa virus’ dan menjangkiti pegawai SPRM lain.
“Dia (pegawai imigresen terima rasuah) bawa virus, saya terkejut, saya kata, “bukankah setitik nila boleh dineutralkan oleh sebotol minyak wangi?” Dia (veteran SPRM) kata tak jadi.
“Itu sebab ada usaha pegawai imigresen ambil budak-budak mahaad tahfiz, yang ada kelulusan untuk jadi pegawai imigresen…Tak jadi juga, mereka dipengaruhi sebab ruang dan peluang (berkait rasuah) di imigresen tu sangat luas.
“Banyak kartel-kartel yang berkeliaran di keliling airport itu… Dia sedar siapa sahaja akan gelap mata bila bawa duit setebal ini letak depan dia… Sekarang ni, satu hari boleh dapat RM40 ribu, kalau mengambil rasuah di airport, macam mana pegawai tu tak gelap mata?
“Kalau RM40 ribu, dah kerja 10 tahun nak simpan tu pun payah nak RM40 ribu itu…Budak mahaad tahfiz pun tergolek, tak tahan… Ini adalah satu realiti yang sebenarnya susah untuk kita tangani, tapi tak mustahil,” katanya menerusi klip video dimuat naik di TikTok @tanahberdaulat berdurasi empat minit 40 saat.
Berdasarkan pengalaman peribadinya, menurut Jais isu rasuah turut berlaku di Indonesia, di mana beliau sendiri ketika mengunjungi negara jiran Malaysia itu diminta memberikan ‘duit kopi’ oleh pegawai imigresen di sana sebelum pasport dicop atau akan ‘disusahkan’ jika tidak memberikannya.
Bagaimanapun, katanya apabila beliau sekali lagi mengunjungi negara itu untuk ke Bandung sekitar 2016, terdapat satu perubahan besar telah berlaku iaitu mereka tidak lagi diminta memberikan ‘duit kopi’.
“Saya rasa, “aik, macam mana boleh berlaku perubahan besar di imigresen Indonesia ni?”Secara kebetulan, dua hari selepas tu, kami ada appointment dengan pegawai KPK (Komisi Pemberantasan Korupsi), pegawai SPRM dia.
“Kami tanya, “Kenapa pak ya, pegawai imigrasinya, berubah sungguh?” —“Ya, kami ada satu undang-undang baru. Jika ada aduan ke atas pegawai tersebut, serta-merta dipindahkan 1,000 km daripada tempat dia bertugas sekarang. Tinggalkan anak isteri, pindah serta-merta 24 jam ke 1,000 km.”
“Mungkin (dipindahkan) ke Aceh, mungkin ke Papua dan mereka tidak mahu begitu… Mereka sayangkan keluarga mereka, dan mereka sanggup tidak mengambil rasuah kerana nak berdekatan dengan keluarga,” kata Jais.
Jelas beliau, situasi itu berbeza dengan Malaysia di mana sekiranya seorang pegawai itu didapati terlibat rasuah dia hanya dipindahkan di kawasan berdekatan seperti dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) ke KLIA 2, ataupun paling jauh dipindahkan ke lapangan terbang Sabah, sedangkan masalah rasuah di sana sama sahaja.
“Saya ingat, kita kena ada satu mekanisme baru untuk menangani masalah yang paling kritikal di dalam jabatan imigresen ini… Saya bukan nak mengkritik jabatan imigresen kata dia teruk ke apa, tapi itu realiti,” katanya. — The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login