Antarabangsa
Parti Move Forward Thailand umum tubuh kerajaan campuran
Parti Move Forward (MFP) mengumumkan sudah bersedia menubuhkan sebuah kerajaan campuran, terdiri daripada lapan parti politik, dengan majoriti dalam Parlimen.

- Parti Move Forward (MFP) mengumumkan sudah bersedia menubuhkan sebuah kerajaan campuran, terdiri daripada lapan parti politik, dengan majoriti dalam Parlimen.
- Namun, rancangan masih berdepan halangan jika mendapat tentangan daripada Senator yang dilantik, yang mengancam untuk menggagalkan rancangan penubuhan kerajaan campuran itu.
- Diterajui oleh MFP, yang memperoleh 153 daripada 500 kerusi Parlimen, tujuh parti politik dengan sejumlah 161 kerusi bersetuju menyokong pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, untuk memegang jawatan Perdana Menteri.
- “Kami yakin dapat membentuk sebuah kerajaan,” kata Pita dalam satu sidang akhbar di Bangkok semalam.
BANGKOK: Parti Move Forward (MFP) mengumumkan sudah bersedia menubuhkan sebuah kerajaan campuran, terdiri daripada lapan parti politik, dengan majoriti dalam Parlimen.
Namun, rancangan masih berdepan halangan jika mendapat tentangan daripada Senator yang dilantik, yang mengancam untuk menggagalkan rancangan penubuhan kerajaan campuran itu.
Diterajui oleh MFP, yang memperoleh 153 daripada 500 kerusi Parlimen, tujuh parti politik dengan sejumlah 161 kerusi bersetuju menyokong pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, untuk memegang jawatan perdana menteri.
“Kami yakin dapat membentuk sebuah kerajaan,” kata Pita dalam satu sidang akhbar di Bangkok semalam.
“(Kerajaan) campuran ini pasti dibentuk. Ini satu momentum, ada kemajuan dan kami juga mempunyai rancangan yang jelas mulai hari ini hingga hari saya menjadi perdana menteri.
“Kumpulan kerja dibentuk bagi menyelesaikan perbezaan dalam kalangan parti dan melicinkan proses peralihan kuasa, mengelakkan terjadi keadaan tidak stabil yang boleh merosakkan negara atau ekonomi.
“Ini adalah sebuah kerajaan harapan, kerajaan perubahan, kami akan setia kepada keinginan rakyat dan akan menjadi sebuah kerajaan untuk semua orang,” katanya.
Gabungan lapan parti itu termasuk MFP yang memenangi 152 kerusi, Pheu Thai (141), Prachachat (sembilan), Thai Sang Thai (enam), Pue Thai Rumphlang (dua) dan Thai Liberal Party, Fair Party, serta Plung Sungkom Mai masing-masing satu kerusi.
Pita berkata, gabungan itu sedang mengusahakan memorandum persefahaman (MoU) yang akan menggariskan kerjasama dan agenda dalam membentuk kerajaan.
MoU itu akan dikongsi dengan orang ramai pada 22 Mei, yang memberi makna penting kerana menandakan sembilan tahun sejak tentera merampas kuasa daripada bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra pada 2014.
MFP, parti muda dan progresif, berikrar mengurangkan pengaruh tentera dan membebaskan sektor ekonomi daripada monopoli, mencapai kemenangan mengejutkan pada pilihan raya umum (PRU) Ahad lalu dengan memperoleh 36.23 peratus undi.
Ia bukan saja membenam parti pro tentera yang memerintah, malah mengalahkan parti Pheu Thai, yang pernah menang pilihan raya beberapa kali sebelumnya.
Pita, 42, berkata beliau bersedia untuk menjadi perdana menteri dan berkhidmat untuk semua rakyat Thailand.
Bagaimanapun, sistem politik yang dibentuk oleh tentera membenarkan pelantikan 250 ahli Senat, untuk memilih seorang perdana menteri bersama-sama 500 ahli Parlimen.
Seorang calon perdana menteri perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 376 kerusi Senat dan Parlimen, untuk memimpin negara itu.
Ini bermakna, sekalipun perikatan parti yang menyokong Pita menguasai Parlimen dengan 313 kerusi, laluan beliau untuk memegang kuasa mungkin masih boleh tergendala.
Beberapa Senator yang dihubungi media tempatan menzahirkan keraguan untuk menyokong Pita menjadi perdana menteri, dengan alasan bahawa MFP akan membuat pindaan terhadap undang-undang mengehadkan kuasa Raja.
Sementara itu, Parti Bhumjaithai, yang dikatakan memperoleh 70 kerusi dalam PRU Ahad lalu, berkata mereka tidak akan menyokong seorang perdana menteri yang berhasrat untuk meminda atau menghapuskan undang-undang kuasa Raja.
Ia selanjutnya berkata bersedia menjadi pembangkang jika kerajaan yang dibentuk itu mempunyai agenda sedemikian.
Parti Bhumjaithai adalah anggota kerajaan yang lalu, pimpinan bekas ketua junta tentera, Prayut Chan-o-cha. – AGENSI.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login