Connect with us

Terkini

Tanggapan NGO sebagai ‘alat politik’ punca kritikan terhadap kerajaan dianggap ancaman

Published

on

Foto: Pengerusi Akademi Kepimpinan Tun Perak, Mohammad Fauzi Asmuni.
  • Pengerusi Akademi Kepimpinan Tun Perak, Mohammad Fauzi Asmuni berpandangan, tanggapan sedemikian mencetuskan jurang kepercayaan serta rasa ‘kurang selamat’ dalam kalangan pihak kerajaan, yang akhirnya melihat cadangan balas atau kritikan daripada NGO sebagai satu ancaman.
  • “Saya yakin kebanyakan NGO tidak mempunyai agenda parti, sebaliknya mereka bergerak atas agenda kebajikan mereka sendiri.
  • “Oleh itu, ruang untuk berdiskusi perlu sentiasa disuburkan sehingga timbul kesedaran bahawa kedua-dua pihak ini sebenarnya saling memerlukan untuk melengkapkan satu sama lain,” katanya.

KUALA LUMPUR – Persepsi yang menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ‘alat’ kepada agenda politik pembangkang dikatakan antara punca utama yang menggagalkan sinergi kerjasama antara pihak kerajaan dan badan tersebut.

Pengerusi Akademi Kepimpinan Tun Perak, Mohammad Fauzi Asmuni berpandangan, tanggapan sedemikian mencetuskan jurang kepercayaan serta rasa ‘kurang selamat’ dalam kalangan pihak kerajaan, yang akhirnya melihat cadangan balas atau kritikan daripada NGO sebagai satu ancaman.

“Saya yakin kebanyakan NGO tidak mempunyai agenda parti, sebaliknya mereka bergerak atas agenda kebajikan mereka sendiri. 

“Oleh itu, ruang untuk berdiskusi perlu sentiasa disuburkan sehingga timbul kesedaran bahawa kedua-dua pihak ini sebenarnya saling memerlukan untuk melengkapkan satu sama lain,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menjadi panel pembentang pada sesi Perbincangan Meja Bulat: Aku Kasih Malaysia anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia.

Mohammad Fauzi berkata, sekiranya percanggahan negatif berkenaan dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian, negara akan terus berhadapan dengan konflik akibat pertembungan dua pihak yang sepatutnya bergabung tenaga demi kepentingan rakyat.

Justeru, beliau menyarankan agar sebarang perbezaan pendapat diuruskan dengan penuh adab menerusi saluran perbincangan yang lebih matang dan berstruktur.

“Saya percaya jika kita berbincang dengan cara yang betul serta menggunakan bahasa dan media perbincangan yang sopan, kita akan mencapai kesepakatan. 

“Walau apa pun halangannya, kita mesti berusaha ke arah itu melalui platform seperti perbincangan meja bulat, musyawarah tertutup, mahupun pelaksanaan projek secara bersama,” tambah beliau lagi.

Tegas beliau, matlamat utama adalah untuk memastikan setiap input daripada NGO dilihat sebagai pemangkin kepada keberkesanan pelaksanaan polisi kerajaan di peringkat bawah, bukannya sebagai ancaman kepada kedudukan pemerintah. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author