Antarabangsa
UAE beli tanah, bina kedutaan tetap di Israel
- “Kami mengalu-alukan hakikat bahawa bangunan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu di Israel akan dibina di Herzliya,” kata Datuk Bandar, Yariv Fisher.
- “Pihak berkuasa memandang serius perkara ini dan sedang berusaha untuk menyesuaikan isu perancangan mengikut keperluan kedutaan, serta memperuntuk sumber diperlukan bagi mempercepatkan projek ini secepat mungkin,” katanya.
- Nilai perjanjian berkenaan dianggarkan mencecah puluhan juta shekel.
DUBAI – Sebuah kedutaan tetap untuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dibina di Herzliya, selepas pencarian selama empat tahun, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Tanah Israel dan Datuk Bandar Herzliya.
“Kami mengalu-alukan hakikat bahawa bangunan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu di Israel akan dibina di Herzliya,” kata Datuk Bandar, Yariv Fisher kepada The Jerusalem Post.
Fisher berkata beliau telah beberapa kali bertemu dengan Duta UAE ke Israel, Mohammed Al Khaja, bagi menggalakkan beliau memilih Herzliya sebagai lokasi pembinaan kedutaan tersebut.
“Saya gembira bahawa usaha-usaha ini telah membuahkan hasil. Proses pencarian tanah ini adalah kompleks dan melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak.
“Pada masa sama, pihak berkuasa meninjau tanah dalam bidang kuasa Majlis Perbandaran Herzliya yang akan dipajak bagi tujuan pembinaan bangunan kedutaan.
“Pihak berkuasa memandang serius perkara ini dan sedang berusaha untuk menyesuaikan isu perancangan mengikut keperluan kedutaan, serta memperuntuk sumber yang diperlukan bagi mempercepatkan projek ini secepat mungkin dengan kerjasama badan-badan berkaitan,” katanya.
Nilai perjanjian berkenaan dianggarkan mencecah puluhan juta shekel.
Fisher turut menambah bahawa bandar beliau mempunyai rancangan jangka panjang untuk mengukuhkan hubungan dengan negara-negara yang menandatangani Perjanjian Abraham, serta negara-negara lain yang mungkin akan menyertai perjanjian itu dalam masa terdekat.
Kedutaan UAE telah beroperasi dari lokasi sewaan sejak hubungan dimeterai di bawah Perjanjian Abraham.
UAE telah merasmikan kedutaannya di Tel Aviv pada Julai 2021 di dalam bangunan Bursa Saham Tel Aviv, dan menjadi negara Teluk pertama yang membuka kedutaan di Israel.
Sejak itu, hubungan telah berkembang dalam bidang perdagangan, pelancongan, dan teknologi, walaupun peperangan di Gaza menguji ketahanan hubungan tersebut. – The Merdeka Times