Antarabangsa
Rancangan ‘Yellow Line’: Israel guna geng Abu Shabab kawal ‘bandar contoh’ di Rafah
- Di bawah rancangan ini, Israel dikatakan sedang menyiapkan sebuah ‘bandar contoh’ di Rafah yang dikendalikan geng Abu Shabab, kumpulan yang dilaporkan mempunyai hubungan dengan ISIS.
- Kawasan tersebut dilengkapi sekolah dan masjid, manakala pelawat antarabangsa dijangka akan dibawa melawat bagi menggambarkan seolah-olah ia “visi futuristik bagi Gaza yang telah dinyah-radikal.”
- Namun, rakyat Gaza biasa kekal berada di luar kawasan tersebut, terus hidup dalam kemusnahan dan kekangan akses kepada kemudahan asas.
GAZA — Akhbar Israel Hayom mendedahkan satu rancangan kontroversi disokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bertujuan membahagikan Semenanjung Gaza dengan garisan pemisah mirip “Tembok Berlin” dinamakan Yellow Line.
Menurut laporan itu, rancangan tersebut akan membolehkan Israel melaksanakan pembinaan semula secara simbolik hanya di kawasan yang dikawal sepenuhnya oleh tenteranya dan diselia oleh kumpulan tempatan yang mempunyai kaitan dengan Israel.
Sementara itu, kawasan lain di Gaza akan terus dibiarkan musnah, tanpa pembangunan, malah berisiko terus dibom dan diserbu secara berkala.
Laporan tersebut menggambarkan situasi di mana kira-kira dua juta rakyat Gaza akan terkurung dalam zon tidak layak didiami, tanpa akses ke kawasan yang kononnya dibangunkan semula.
Di bawah rancangan ini, Israel dikatakan sedang menyiapkan sebuah “bandar contoh” di Rafah yang dikendalikan geng Abu Shabab, kumpulan yang dilaporkan mempunyai hubungan dengan ISIS.
Kawasan tersebut dilengkapi sekolah dan masjid, manakala pelawat antarabangsa dijangka akan dibawa melawat bagi menggambarkan seolah-olah ia “visi futuristik bagi Gaza yang telah dinyah-radikal.”
Namun, rakyat Gaza biasa kekal berada di luar kawasan tersebut, terus hidup dalam kemusnahan dan kekangan akses kepada kemudahan asas.
Israel didakwa menggunakan alasan pelucutan senjata untuk mengekalkan tekanan ketenteraan dan sekatan ke atas Gaza.
Walaupun Hamas bersetuju untuk melucutkan senjata, laporan itu menyebut Israel boleh tetap mendakwa masih ada militan bersembunyi, bagi mewajarkan serangan berterusan.
Taktik ini disamakan dengan strategi Israel di Lebanon, di mana serangan terhadap infrastruktur awam sering dilakukan atas alasan menyerang pejuang bersenjata.
Laporan berkenaan turut menyingkap peranan diplomasi tertutup antara Washington dan Tel Aviv.
Trump pada awalnya menyokong tindakan “penghapusan” Hamas ala gaya Amerika dan mengetepikan isu tawanan tentera Israel. Namun, selepas tekanan diplomatik termasuk kegagalan serangan yang mengundang reaksi Qatar, rundingan baharu dimuktamadkan.
Perjanjian itu sekali gus menyingkirkan peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) daripada proses pasca-konflik, dan meletakkan Gaza di bawah kerangka pentadbiran antarabangsa yang dikawal separuh oleh Israel.
Menurut Israel Hayom, pelaksanaan awal rancangan tersebut telah menelan kos hampir USD100 bilion dan mengorbankan kira-kira 900 askar Israel.
Walaupun kawasan “contoh” itu dipromosikan sebagai simbol kemajuan, majoriti rakyat Gaza dijangka terus hidup di bawah runtuhan dan tekanan ketenteraan yang berpanjangan.
Laporan itu menyimpulkan bahawa walaupun Hamas dihapuskan sepenuhnya, Israel masih akan mencari alasan baharu untuk mengekang dan menghukum penduduk Gaza, menjadikan wilayah itu sebagai penjara terbuka yang kekal di bawah kawalan rejim Zionis.-The Merdeka Times