Connect with us

Antarabangsa

Pope Leo kecam amalan riba

Published

on

Foto: Pope Leo XIV
  • “Fenomena riba menunjukkan kerosakan hati manusia,” tegas Pope Leo.
  • Pope Leo turut memperluas amaran itu terhadap sistem kewangan global yang bersifat riba, yang menurutnya “mampu menjerut seluruh bangsa hingga tersungkur.”

 

ROMPope Leo XIV mengecam keras amalan riba yang disifatkannya sebagai dosa besar yang menghancurkan kehidupan manusia, keluarga dan masyarakat, serta merosakkan hati manusia dengan mengeksploitasi golongan lemah dan menjejaskan maruah kemanusiaan.

Dalam ucapan kepada Majlis Anti-Riba Kebangsaan Itali pada Sabtu, Pope Leo memuji usaha badan tersebut selama tiga dekad membantu mangsa riba dan memperjuangkan etika ekonomi yang adil.

Beliau mengingatkan bahawa riba, sama ada di peringkat individu mahupun global, masih kekal sebagai “luka lama yang menyakitkan” yang terus menindas golongan miskin dan terpinggir.

“Fenomena riba menunjukkan kerosakan hati manusia,” tegas Pope Leo.

Memetik kata-kata Nabi Isaiah, beliau mengingatkan bahawa kitab suci mengecam segala bentuk penindasan dan menyeru umat agar memecahkan rantai ketidakadilan dan membebaskan yang tertindas.

“Betapa jauhnya daripada Tuhan mereka yang menindas manusia hingga menjadi hamba. Riba bukan hanya isu perakaunan, ia dosa berat yang mampu menghancurkan institusi keluarga, merosakkan minda dan jiwa, malah mendorong sesetengah orang kepada keputusasaan dan bunuh diri,” ujar Pope Leo lagi.

Beliau memberi amaran bahawa riba sering menyamar sebagai bentuk bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan, tetapi akhirnya “menjadi beban yang mencekik.”

Mangsa utama, katanya, ialah mereka yang sudah pun rapuh  seperti penagih judi atau keluarga yang berdepan krisis kewangan dan perubatan.

Pope Leo turut memperluas amaran itu terhadap sistem kewangan global yang bersifat riba, yang menurutnya “mampu menjerut seluruh bangsa hingga tersungkur.”

Beliau memetik Catechism of the Catholic Church yang menegaskan bahawa mereka yang terlibat dalam amalan riba dan perdagangan tidak beretika adalah penyebab kepada “kelaparan dan kematian sesama manusia.”

“Adakah golongan miskin bukan manusia?

“Adakah mereka yang lemah tidak berkongsi maruah yang sama seperti kita? Adakah mereka yang dilahirkan tanpa peluang bererti kurang nilainya sebagai manusia?”, soal Pope.

“Jawapan kita kepada soalan-soalan ini menentukan nilai masyarakat dan masa depan kita.

“Sama ada kita mengembalikan maruah moral dan rohani kita, atau kita jatuh ke dalam jurang kehinaan,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Pope Leo mengucapkan terima kasih kepada Majlis Anti-Riba atas khidmat mereka yang disifatkannya sebagai “tanda harapan” dalam Tahun Suci ini, seiring dengan semangat Jubilee of Mercy.

Pope Leo menegaskan bahawa proses perubahan bagi mereka yang mengamalkan riba sama pentingnya dengan usaha mendekati mangsa yang menderita akibatnya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author