Connect with us

Terkini

New York saman syarikat media sosial, didakwa buat kanak-kanak ketagih

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Aduan setebal 327 muka surat yang difailkan di mahkamah persekutuan Manhattan itu menuntut ganti rugi daripada pemilik Facebook, Instagram, Google, YouTube, Alphabet, Snapchat, Snap, dan TikTok.
  • Menurut aduan itu, para defendan telah merekabentuk platform untuk “mengeksploitasi psikologi dan neurofisiologi golongan muda”, serta mendorong penggunaan secara keterlaluan demi keuntungan.
  • New York menyertai bandar raya dan daerah-daerah lain termasuk sekolah dan individu yang membuat persediaan untuk memfailkan kira-kira 2,050 saman serupa dalam litigasi peringkat kebangsaan di mahkamah persekutuan Oakland, California.

 

NEW YORK  – Bandar raya New York telah memfailkan saman baharu yang menuduh Facebook, Google, Snapchat, TikTok dan platform dalam talian lain menyebabkan krisis kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dengan menjadikan mereka ketagih kepada media sosial.

Aduan setebal 327 muka surat yang difailkan pada hari Rabu di mahkamah persekutuan Manhattan itu menuntut ganti rugi daripada pemilik Facebook dan Instagram, Meta Platforms (META.O), pemilik Google dan YouTube, Alphabet (GOOGL.O), pemilik Snapchat, Snap (SNAP.N), dan pemilik TikTok, ByteDance, lapor Reuters.

Mereka dituduh melakukan kecuaian besar dan menyebabkan gangguan awam.

Bandar raya New York menyertai bandar raya dan daerah-daerah lain termasuk sekolah dan individu yang sedang membuat persediaan untuk memfailkan kira-kira 2,050 saman serupa dalam litigasi peringkat kebangsaan di mahkamah persekutuan Oakland, California.

New York merupakan antara plaintif terbesar, dengan populasi seramai 8.48 juta orang, termasuk kira-kira 1.8 juta berumur di bawah 18 tahun. Sistem sekolah dan penjagaan kesihatannya juga merupakan plaintif dalam kes ini.

Jurucakap Google, Jose Castaneda berkata dakwaan terhadap YouTube adalah “semata-mata tidak benar,” sebahagiannya kerana ia adalah perkhidmatan penstriman dan bukan rangkaian sosial di mana orang berhubung dengan rakan.

Defendan lain belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.

Seorang jurucakap bagi jabatan undang-undang Bandaraya New York berkata bandar itu menarik diri daripada litigasi yang diumumkan oleh Datuk Bandar Eric Adams pada Februari 2024 dan yang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah negeri California supaya dapat menyertai litigasi persekutuan.

Menurut aduan itu, para defendan telah mereka bentuk platform mereka untuk “mengeksploitasi psikologi dan neurofisiologi golongan muda”, serta mendorong penggunaan kompulsif demi keuntungan.

Aduan itu menyatakan bahawa 77.3% pelajar sekolah menengah di Bandaraya New York, dan 82.1% pelajar perempuan, mengaku menghabiskan tiga jam atau lebih setiap hari untuk “masa skrin” termasuk TV, komputer dan telefon pintar, yang menyumbang kepada gangguan tidur dan ketidakhadiran kronik ke sekolah.

Pesuruhjaya kesihatan Bandaraya New York mengisytiharkan media sosial sebagai bahaya kesihatan awam pada Januari 2024, dan bandar itu termasuk sekolah-sekolahnya terpaksa membelanjakan lebih banyak wang pembayar cukai untuk menangani krisis kesihatan mental remaja yang timbul akibatnya, menurut aduan tersebut. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author