Connect with us

Antarabangsa

Nestle buang 16,000 pekerja seluruh dunia

Published

on

Foto: Nestle

 

  • Syarikat yang terkenal dengan produk seperti Nescafe, KitKat dan makanan keperluan harian itu berkata, langkah tersebut dijangka menjimatkan 3 bilion franc Swiss menjelang akhir tahun depan, meningkat daripada sasaran asal sebanyak 5 bilion franc Swiss.
  • Nestle menjelaskan 12,000 jawatan kolar putih akan dihapuskan di pelbagai lokasi, manakala 4,000 lagi melibatkan bahagian pembuatan dan rantaian bekalan sebagai sebahagian inisiatif produktiviti berterusan.

 

 

SWITZERLAND – Syarikat gergasi makanan global, Nestle, mengumumkan pemotongan kira-kira 16,000 pekerjaan di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai sebahagian usaha untuk memulihkan prestasi kewangannya dan mengurangkan kos operasi.

Syarikat yang terkenal dengan produk seperti Nescafe, KitKat dan makanan keperluan harian itu berkata, langkah tersebut dijangka menjimatkan 3 bilion franc Swiss menjelang akhir tahun depan, meningkat daripada sasaran asal sebanyak 2.5 bilion franc Swiss.

Menurut Naib Presiden Kanan Nestle Kanada, Catherine O’Brien, pemotongan tenaga kerja ini melibatkan pasaran dan fungsi global dalam tempoh dua tahun, namun setiap pasaran akan melaksanakan pelan masing-masing.

“Buat masa ini, kami belum dapat memberikan angka spesifik bagi setiap negara,” katanya dalam kenyataan e-mel.

Nestle menjelaskan bahawa 12,000 jawatan kolar putih akan dihapuskan di pelbagai lokasi, manakala 4,000 lagi melibatkan bahagian pembuatan dan rantaian bekalan sebagai sebahagian inisiatif produktiviti berterusan.

Langkah ini dijangka membawa penjimatan tahunan tambahan sebanyak 1 bilion franc Swiss menjelang akhir tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif baharu Nestle, Philipp Navratil, berkata dalam satu kenyataan,

“Dunia sedang berubah, dan Nestle perlu berubah dengan lebih pantas.”

Syarikat yang beribu pejabat di Vevey, Switzerland itu melalui tahun yang mencabar selepas pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif Laurent Freixe bulan lalu berikutan siasatan terhadap hubungan sulit dengan seorang kakitangan. Freixe yang baru setahun menjawat jawatan itu digantikan oleh Navratil, seorang pegawai kanan lama Nestle.

Tidak lama selepas pemecatan tersebut, Pengerusi Paul Bulcke turut meletak jawatan lebih awal, menandakan pergolakan pengurusan tertinggi syarikat itu.

Nestle juga berdepan kenaikan kos komoditi global, terutamanya kopi dan koko, selain kesan daripada tarif Amerika Syarikat ke atas barangan import Brazil termasuk kopi dan jus oren yang kini mencecah 50 peratus.

Sebagai tindak balas terhadap tekanan pasaran, Nestle telah menaikkan harga produk pada musim panas lalu bagi menampung kos bahan mentah yang meningkat mendadak.

Selepas pengumuman langkah penstrukturan ini, saham Nestle meningkat hampir 8% di Bursa Saham Switzerland (SIX Swiss Exchange) dan mencatat lonjakan serupa dalam dagangan di pasaran AS.

Langkah drastik Nestle ini dilihat sebagai cubaan memulihkan semula keyakinan pelabur terhadap syarikat berusia 158 tahun itu  namun pemerhati pasaran menjangka kesan sosial daripada kehilangan 16,000 pekerjaan akan memberi impak besar terhadap pasaran tenaga kerja global.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author