Connect with us

Antarabangsa

Mesir sokong Tony Blair ketuai pentadbiran Gaza selepas perang

Published

on

Foto: Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi (kiri) dan Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair (kanan).

 

  • Penganalisis politik di Kaherah menjelaskan bahawa hubungan Blair dan Sisi berpaksikan kepada tiga keutamaan utama iaitu menentang politik Islam, mengakses dana Teluk, dan mengekalkan kestabilan serantau.
  • “Bagi Sisi, Blair bukan sekadar sekutu, tetapi cerminan dirinya. Kedua-duanya percaya politik Islam adalah akar kepada ketidakstabilan. Hubungan ini memberi legitimasi Barat kepada gaya pemerintahan autoritarian atas nama memerangi ekstremisme,” kata seorang penganalisis tempatan.

 

KAHERAH — Mesir dilapor menyokong cadangan Amerika Syarikat untuk melantik bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, sebagai individu yang akan memainkan peranan utama dalam mentadbir Gaza selepas tamatnya perang antara Israel dan Hamas, satu langkah yang disifatkan pemerhati sebagai “kembalinya penjajahan dalam bentuk baharu.”

Cadangan itu timbul selepas Presiden Donald Trump memberitahu media bahawa Blair berpotensi dilantik dalam peranan rasmi bagi menyelia pentadbiran Gaza pasca-gencatan senjata.

“Saya suka Tony. Tapi saya mahu pastikan beliau diterima oleh semua pihak,” kata Trump semasa lawatan ke Timur Tengah minggu lalu.

Blair yang berusia 72 tahun menyertai Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh di Mesir baru-baru ini bersama Trump dan beberapa pemimpin dunia lain, bagi menandatangani perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Di situ, beliau disambut mesra oleh Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, mencerminkan hubungan lama dan keyakinan politik yang dikongsi bersama.

Menurut sumber dalam Pejabat Presiden Mesir yang dipetik Middle East Eye (MEE), Blair pernah menjadi penasihat kepada Sisi selepas penggulingan Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi, pada tahun 2014.

“Ketika itu Blair sedang menasihati UAE  yang juga membiayai institut miliknya, Tony Blair Institute (TBI) dan dihantar ke Kaherah bagi membantu Sisi.

“UAE membiayai kerja Blair dan pasukannya di Mesir. Blair memberikan banyak konsultasi politik dan ekonomi kepada Sisi, termasuk strategi untuk memperbaiki imej kerajaan selepas menggulingkan Morsi,” kata sumber itu.

Jurucakap TBI bagaimanapun menafikan Blair dibayar oleh UAE atau Mesir, namun mengakui Blair telah bertemu Sisi berkali-kali sejak beberapa tahun.

Penganalisis politik di Kaherah menjelaskan bahawa hubungan Blair dan Sisi berpaksikan kepada tiga keutamaan utama iaitu menentang politik Islam, mengakses dana Teluk, dan mengekalkan kestabilan serantau.

“Bagi Sisi, Blair bukan sekadar sekutu, tetapi cerminan dirinya.

“Kedua-duanya percaya politik Islam adalah akar kepada ketidakstabilan. Hubungan ini memberi legitimasi Barat kepada gaya pemerintahan autoritarian atas nama memerangi ekstremisme,” kata seorang penganalisis tempatan.

Blair dilapor memberi nasihat kepada Sisi tentang cara menangani Ikhwanul Muslimin dan pihak pembangkang, serta mencadangkan Mesir mendapatkan pinjaman antarabangsa daripada IMF dan Kesatuan Eropah (EU) bagi memulihkan ekonomi.

Selepas meninggalkan Downing Street, Blair dilantik sebagai utusan Kuartet Timur Tengah bagi memediasi konflik Israel-Palestin, namun gagal mencapai sebarang kejayaan besar.

Kini, dengan sokongan sekutu Teluk dan Mesir, beliau dilihat sebagai calon pragmatik untuk mengetuai Gaza International Transitional Authority (GITA)  sebuah majlis pentadbiran antarabangsa yang bakal mengurus Gaza pasca-perang.

Menurut penasihat presiden Mesir yang dipetik MEE, Blair dilihat berperanan seperti Pesuruhjaya Tinggi British moden, merujuk kepada Herbert Samuel, tokoh Zionis yang mengetuai Palestin ketika era mandat British (1920–1925).

Sumber sama memaklumkan bahawa GITA dijangka beribu pejabat di bandar El-Arish, Sinai, berhampiran sempadan Gaza, bagi memudahkan penyelarasan logistik dan keselamatan antara Mesir dan wilayah itu.

“Ini akan membuka jalan kepada fasa pembinaan semula Gaza. Mesir sedang merancang pelan pemulihan lima tahun untuk mengukuhkan pengaruhnya dalam masa depan politik wilayah tersebut,” kata penasihat itu.

Cadangan untuk menyerahkan pentadbiran Gaza kepada Blair bagaimanapun menimbulkan kemarahan di dunia Arab, kerana beliau dianggap membawa legasi penjajahan serta terlibat dalam pencerobohan Iraq pada 2003 bersama Amerika Syarikat.

Bagi banyak pihak, kehadiran Blair di Gaza dilihat bukan sebagai usaha perdamaian, tetapi percubaan Barat untuk mengawal semula Palestin melalui “proksi politik baharu”.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author