Connect with us

Terkini

(VIDEO) Kg Sungai Baru: Pemaju didakwa janji tubuh koperasi tanggung kos penyelenggaraan kondominium

Published

on

Foto: Ketua Komuniti Madani Kampong Bharu, Nur Dzulafian Idris

KUALA LUMPUR— Janji pemaju untuk menubuhkan sebuah koperasi yang dikatakan akan menanggung kos penyelenggaraan unit kondominium baharu didakwa menjadi faktor utama penduduk Kampung Sungai Baru bersetuju memberi laluan kepada projek pembangunan semula kawasan itu.

Menurut Ketua Komuniti Madani Kampong Bharu, Nur Dzulafian Idris, janji tersebut dibuat secara lisan ketika pemaju melobi sokongan penduduk terhadap projek berkenaan.

“Masa pemaju melobi dulu, dia ada sebut dia akan buat satu koperasi yang mana koperasi ini ada mendatangkan pendapatan.

“Pendapatan itu yang dia akan bayarkan untuk maintenance kepada semua pemilik, tapi kita pun tak tahu macam manalah koperasi itu akan beroperasi,” katanya kepada The Merdeka Times.

Walaupun cadangan penubuhan koperasi itu tidak pernah dinyatakan dalam sebarang perjanjian rasmi, ia telah menimbulkan harapan dalam kalangan penduduk, khususnya penghuni flat, bahawa mereka hanya perlu menanggung kos utiliti seperti air dan elektrik selepas berpindah ke unit baharu.

Penduduk flat khususnya dikatakan bimbang dengan kos penyelenggaraan minimum sekitar RM300 sebulan di unit kondominium kelak, sedangkan ramai antara mereka kini hanya membayar sekitar RM30 dan tergolong dalam kalangan penerima zakat atau bantuan baitulmal.

Dzulafian juga mengakui bahawa keputusan menyokong projek pembangunan itu berkemungkinan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan rumah sedia ada yang tidak lagi selesa.

“Mungkin mereka pun ada berfikiran macam tak nak berpindah, tapi terpaksa juga sebab ikut keadaan sekarang. Bila ditawarkan kediaman baru yang lebih selesa, jadi itulah antara sebab-sebab mereka setuju,” katanya.

Bagaimanapun, beliau sendiri pada mulanya berasa ragu-ragu untuk menandatangani perjanjian usahasama bersama pemaju memandangkan projek itu belum mendapat tauliah ketika itu.

Akhirnya, beliau akur dengan keputusan majoriti ahli keluarga yang bersetuju menerima tawaran pembangunan semula yang menyaksikan rumah teres milik mereka akan digantikan dengan tiga unit kondominium baharu.

Mengulas lanjut, Dzulafian menggesa pemaju agar tampil memberi penjelasan secara terbuka bagi meredakan ketegangan antara kumpulan penduduk yang menyokong dan membantah projek tersebut. —The Merdeka Times

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author