Kolumnis
Siri akhir: Lapan strategi propaganda normalisasi LGBT

Propaganda dianggap benar-benar berjaya apabila masyarakat mula menyokong dan mendukung perkara yang dahulunya mustahil diterima atau tidak berperikemanusiaan.
Sejarah juga telah membuktikan perkara ini. Terdahulu rakyat Amerika sangat menjunjung nilai kekeluargaan dan moral tradisional dalam kehidupan bermasyarakat.
Hari ini, sebahagian besar mereka menjadi pendukung kuat LGBT malah, penggerak aktivisme agenda songsang ini ke seluruh dunia.
Menurut statistik Pew Research Center, pada tahun 2004 hanya 31 peratus rakyat Amerika menyokong perkahwinan sejenis.
Namun pada 2023, sokongan itu melonjak kepada 63 peratus. Dalam tempoh kurang dua dekad sahaja, sokongan terhadap LGBT meningkat hampir dua kali ganda.
Mengapa semakin ramai orang yang dahulunya menolak LGBT, kini menjadi penyokong setia mereka?
Bagaimana satu kelompok yang dianggap songsang dan menyimpang, kini dijulang sebagai wira kebebasan dan kemajuan?
Jawapannya telah pun didedahkan sejak lebih 35 tahun lalu dalam buku kontroversi After the Ball: How America Will Conquer Its Fear and Hatred of Gays in the 90s, hasil tulisan Marshall Kirk dan Hunter Madsen.
Mereka secara terang-terangan menjelaskan bahawa misi utama mereka ialah: “Apabila kami menyebut ‘conversion’, apa yang kami maksudkan sebenarnya jauh lebih mengancam secara mendalam terhadap cara hidup Amerika….Maksud kami ialah penukaran emosi, pemikiran, dan kehendak rakyat Amerika biasa melalui satu serangan psikologi yang dirancang, dalam bentuk propaganda yang disalurkan kepada seluruh negara melalui media.”
Strategi yang dinamakan “conversion” ini ia mengubah rakyat biasa menjadi penyokong setia dan pembela tegar agenda LGBT.
Malahan ia tidak sekadar mahu masyarakat menerima atau bertoleransi terhadap LGBT, tetapi mahu mereka menyayangi dan juga rela menyokong secara aktif usaha menormalisasikan perbuatan songsang.
Inilah fasa terakhir yang hanya boleh dilaksanakan selepas dua fasa awal berjaya dengan cemerlang: fasa ‘desensitisasi’ yang ‘menyahsensitifkan’ perbuatan songsang dan fasa “jamming” yang mendiamkan suara puak penentang.
Setelah berjaya meruntuhkan tembok penolakan, fasa conversion dilaksanakan untuk menukar pandangan rakyat biasa agar menjadi pembela tanpa perlu dipaksa.
Pertama: Membina imej ‘cool’ dan hebat
Antara taktik berkesan yang digunakan untuk rekrut masyarakat menjadi penyokong LGBT ini adalah dengan menjadikan golongan LGBT kelihatan ‘cool’, moden, berani, bergaya dan berjaya.
Melalui strategi ini, golongan LGBT harus ditonjolkan bukan sebagai individu yang menyimpang tetapi sebagai model aspirasi masyarakat –selebriti, atlet, pemimpin masyarakat, pereka fesyen dan pempengaruh media sosial.
Kirk dan Madsen, dua tokoh perancang strategi komunikasi LGBT, juga pernah menyatakan berkenaan strategi ini: “Untuk menjadikan seorang mangsa gay disukai dan mendapat simpati daripada golongan heteroseksual, dia mesti digambarkan sebagai ‘Everyman’ — iaitu orang biasa yang mudah didekati dan difahami. Namun, satu tema tambahan dalam kempen ini akan bersifat lebih agresif dan positif untuk mengelirukan stereotaip penuh prasangka dan mempercepatkan proses penukaran pandangan golongan heteroseksual, imej-imej yang sangat positif tentang golongan gay mesti ditonjolkan kepada umum.”
Imej ini sengaja direka untuk menangkis stereotaip lama yang mengaitkan homoseksualiti dengan sesuatu yang menjijikkan atau bermasalah.
Sebaliknya, golongan LGBT kini lebih diangkat sebagai simbol ikon kebebasan, keterbukaan dan kemajuan yang patut dicontohi.
Maka apabila naratif yang mengangkat LGBT adalah ‘lebih maju’ ini seringkali diulang-ulang, pasti ia menimbulkan persepsi awam bahawa sesiapa yang menyokong agenda songsang ini juga akan tergolong dalam golongan yang ‘cool’, hebat, dan moden, sama seperti ikon kegemaran mereka.

Foto: Selebriti pro-LGBT memanfaatkan platfom mereka untuk promosi dan angkat hak LGBT
Jason Stanley dalam How Propaganda Works juga menjelaskan bagaimana propaganda paling licik berfungsi melalui pihak ketiga yang mempromosikan agenda tertentu tanpa disedari penonton bahawa mereka sedang dipengaruhi.
Pihak ketiga tersebut terdiri daripada selebriti dan pempengaruh yang memiliki jutaan pengikut yang aktif mempromosikan agenda propaganda tersebut.
Bayangkan, apabila seorang selebriti popular secara terbuka mengakui dirinya gay atau aktif mempromosikan isu LGBT di media sosialnya, ramai pengikutnya yang pada asalnya menolak, boleh mula terpengaruh.
Bukanlah disebabkan apa yang dipromosikan itu bersifat rasional, tetapi secara psikologi, manusia amat mudah terikut dan terpengaruh dengan tokoh yang mereka kagumi walaupun salah.
Disebabkan rasa hormat dan kagum terhadap selebriti yang dilihat sebagai ‘hero’ menyebabkan mereka bersikap berat sebelah lalu, cenderung menerima pandangan tokoh tersebut tanpa soal.
Jadi, tidak pelik mengapa mereka mudah untuk bertukar pihak kerana liciknya strategi propaganda ini tidak memaksa seseorang berubah secara paksa tetapi membuatkannya rela berubah dek mahu menjadi seperti idola.
Kedua: Jadikan golongan heteroseksual pelindung LGBT
Selepas membina naratif “LGBT sebagai mangsa dan penentang sebagai pemangsa” menerusi taktik jamming, langkah seterusnya dalam fasa conversion ialah menjadikan golongan heteroseksual — terutamanya yang berpegang kepada nilai moral — untuk tampil sebagai pembela komuniti LGBT.
Inilah taktik licik yang digariskan oleh Marshall Kirk dan Hunter Madsen: “Jangan paksa masyarakat menyokong perbuatan homoseksual secara langsung. Sebaliknya, tarik simpati mereka atas nama kemanusiaan, keadilan dan hak asasi manusia.”
Taktik ini sangat halus, tetapi amat berbahaya. Ia tidak meminta masyarakat menghalalkan perbuatan homoseksual.
Sebaliknya, ia hanya meminta mereka agar “tidak membenci” atau “tidak menindas” — walaupun realitinya tuntutan yang dibawa tetap bertentangan prinsip agama.
Strategi ini juga menekankan isu-isu sejagat seperti hak kebebasan asasi, perlindungan undang-undang, dan kesaksamaan perlembagaan.
Tetapi, dengan sengajanya mengelak sebarang perbincangan tentang nilai agama atau moral yang boleh menentang agenda songsang mereka.
Apabila hanya satu sisi perbincangan sahaja yang diketengahkan, komuniti LGBT mulai dilihat seakan mangsa dizalimi dan layak dilindungi.

Foto: Logo Straight Ally
Mesej berunsur emosi yang dibawa amat mudah tetapi juga mengelirukan: “Kami bukan minta anda jadi gay atau sokong perbuatan gay kami, kami cuma minta anda bantu lindungi kami daripada kebencian dan penindasan.”
Namun, mesej ini sebenarnya satu perangkap yang mencipta ilusi bahawa menyokong LGBT adalah tindakan mulia dan terpuji.
Ini menjadikan golongan heteroseksual yang sebelum ini menolak kini merasa wajar dan bangga menyokong LGBT.
Ditambah lagi kini, ramai selebriti, ahli politik dan pempengaruh heteroseksual yang tampil menyokong hak-hak LGBT secara terbuka — sekaligus memperkukuh naratif bahawa “golongan normal pun boleh membela golongan minoriti LGBT.”

Foto: Heteroseksual yang terbuka menyokong LGBT
Kajian Sharon S. Rostosky turut membuktikan keberkesanan strategi ini.
Dalam temu bualnya, salah seorang responden berkata itu turut berkongsi: “Kelebihan menjadi sekutu LGBT ialah anda boleh hidup normal tanpa rasa bersalah. Bila kita lihat semua orang secara positif, kita dapat berkembang dan menyumbang kepada komuniti. Apa pilihan lain selain jadi sekutu LGBT?”
Hakikatnya, mereka yang menyertai perjuangan LGBT bukanlah kerana bersetuju dengan perbuatan songsang tersebut, tetapi kerana mahu dilihat sebagai adil, berperikemanusiaan dan tidak esktrem.
Akhirnya, masyarakat tidak lagi melihat isu LGBT ini sebagai konflik agama, tetapi ia adalah hak kemanusiaan yang perlu dilindungi dan barang siapa yang enggan menyokong, merekalah pembenci, tidak berhati perut atau kolot.
Kesimpulan
Fasa conversion dalam strategi propaganda LGBT ini tidak lagi ingin masyarakat bertoleransi, tetapi lebih ingin mengubah pandangan masyarakat agar mereka bukan sahaja menerima tetapi menyokong, mempertahankan dan memperjuangkan agenda LGBT secara aktif.
Menariknya, strategi ini tidak memaksa atau dilakukan secara kasar terhadap masyarakat, tetapi melalui serangan psikologi secara halus yang mampu memanipulasi emosi manusia sehingga berjaya meruntuhkan nilai agama yang dahulunya kritikal terhadap LGBT.
Apa yang boleh kita lakukan agar tidak terperangkap dalam lembah conversion ini?
- Kembalikan Naratif Moral dan Agama – Wacana awam perlu menegaskan kembali kepada prinsip agama, bukan sekadar hak asasi semata. Hak kendiri tidak boleh melebihi hak masyarakat dan fitrah manusia.
- Bongkarkan taktik propaganda secara terbuka – Dedahkan secara berani bagaimana strategi propaganda ini bekerja terutamanya melalui media. Rakyat perlu sedar mereka sedang dipengaruhi secara sistematik.
- Paparkan realiti gaya hidup songsang – Kaji dan sebarkan kesan negatif gaya hidup LGBT dari aspek kesihatan, psikologi dan sosial secara fakta dan bukan retorik.
- Bina semula imej positif kehidupan berlandaskan fitrah – Tampilkan kehidupan berasaskan fitrah sebagai sesuatu yang stabil, mulia dan membina masyarakat — bukan kolot atau ketinggalan zaman.
Penting untuk ditegaskan bahawa kritikan ini tidak bermaksud kita memusuhi komuniti LGBT. Agama mengajar kita untuk berlaku adil dan berkasih sayang kepada semua insan.
Namun, ini tidak bererti kita harus menerima atau menyokong perlakuan yang bertentangan prinsip agama dan moral. Kita menolak perbuatan, bukan membenci individu.
Jadi, kita tidak boleh berdiam diri ketika kebenaran sedang dimanipulasi dan kebatilan sedang dinormalisasi.
Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2:42). — The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
