Connect with us

Kolumnis

Siri 2: Lapan strategi propaganda normalisasi LGBT

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

Pendedahan naratif negatif yang disuap secara sistematik dan berulang-ulang tidak sekadar menyemai benih prejudis dalam minda masyarakat, tetapi mampu menumbuhkan kebatilan menjadi ‘kebenaran’ tanpa soal.

Contohnya, apabila disebut tentang ekstremis atau teroris (pengganas), apakah imej pertama yang terus terlintas? 

Jika gambaran yang muncul adalah seorang lelaki Muslim berjanggut memegang senjata api, maka itu adalah bukti keberkesanan propaganda Barat yang berjaya mencipta naratif menyamakan imej Islam dengan keganasan walaupun realitinya jauh berbeza. 

Statistik dari Center for Research and Globalization membuktikan hanya 2.5 peratus serangan pengganas di Amerika Syarikat dilakukan ekstremis Muslim.

Namun, menurut OurWorldInData.org pula, serangan dilakukan Muslim menerima 357 peratus lebih banyak liputan media berbanding serangan dilakukan bukan Muslim sekitar 2006 hingga 2015. Apakah kesannya? 

Apabila media memberikan tumpuan berlebihan kepada kes tertentu, ia seakan mencipta ilusi yang menakutkan kepada orang awam. Jelas, ini adalah satu bentuk manipulasi bagi memperdayakan masyarakat. 

Teknik yang sama turut digunakan untuk mempengaruhi pandangan umum terutama isu berkaitan identiti seksual dan LGBT iaitu strategi jamming; satu taktik licik untuk melemahkan dan menyekat suara pihak lawan. 

Jamming: Strategi licik membisukan puak penentang

Dalam medan perang ideologi hari ini, kemenangan tidak lagi ditentukan dengan kekuatan hujah atau kejelasan fakta. 

Sebaliknya, ia ditentukan oleh strategi jamming yang berupaya mengawal persepsi dan memanipulasi sentimen masyarakat. 

Istilah ini telah lama diperkenalkan secara terperinci dalam buku After the Ball: How America Will Conquer Its Fear and Hatred of Gays in the 90s oleh dua ahli strategi kempen pro-LGBT, Marshall Kirk dan Hunter Madsen bagi melemahkan dan mendiamkan suara yang tidak sehaluan dengan agenda mereka. 

Dalam siri terdahulu, kita telah membincangkan strategi desensitization — fasa awal yang mereka dedahkan untuk membiasakan masyarakat dengan kehadiran naratif, imej, dan kisah berkaitan LGBT melalui medium hiburan, media dan budaya popular.

Berbeza dengan fasa desensitization yang boleh disifatkan halus dan memerlukan usaha yang berterusan, fasa jamming lebih agresif, lebih emosional dan lebih menyerang. 

Ia tidak lagi sekadar memperkenalkan apakah itu LGBT, tetapi lebih mengawal cara fikir masyarakat dengan memanfaatkan emosi terutamanya pada mereka yang bersikap keras  terhadap agenda tersebut dan masih berpegang kepada prinsip agama. 

Tidakkah pelik bagaimana perbuatan hubungan sejenis yang dahulunya dianggap tabu dan menjijikkan boleh menjadi sesuatu yang boleh diterima sekarang? Malah, bagaimana masyarakat yang dulunya menentang boleh berubah sebegitu mendadak dan menjadi terlalu pasif dan akur dengan agenda songsang ini? 

Pertama: Kaitkan kritikan dengan label keji dan ekstrem

Melalui teknik jamming, sebarang bentuk kritikan terhadap agenda LGBT kini tidak lagi dilihat sebagai pendirian moral atau keagamaan, tetapi segera dilabel dan dituduh sebagai “ekstremis”, “kolot”, “rasisme”, “homofobia” atau ‘benci’ kepada homoseksual.

Dalam After the Ball, Marshall Kirk dan Hunter Madsen juga mencadangkan agar media memaparkan penentang LGBT sebagai watak-watak ekstrem atau tidak berperikemanusiaan seperti kumpulan ekstremis yang mahu golongan LGBT dibunuh ataupun banduan yang mahu membelasah ‘lelaki lembut’. 

Taktik ini bukanlah berfungsi untuk menjawab kritikan secara intelektual, tetapi hanya untuk menimbulkan rasa malu dan jijik dalam diri masyarakat terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mempersoalkan agenda LGBT.

 

Foto: Antara taktik propaganda jamming.

Bayangkan, apabila visual-visual ekstremis ini digandingkan berulang kali dengan slogan seperti: “Ini adalah kebencian. Ini adalah homofobia. Ini sama seperti Nazi.” 

Maka imej-imej inilah yang akan tertanam dalam fikiran masyarakat.Yang lebih berbahaya, sebaik sahaja isu LGBT dibangkitkan, gambaran Nazi, pelampau, dan kebencian yang kejam itu segera terlintas dalam minda mereka.

Jadi apabila visual sebegini kerap ditayangkan, orang awam akan berfikir secara automatik: “Aku tak suka orang macam ini. Aku tak nak orang fikir aku sama macam dia. Aku lebih berperikemanusiaan. Aku bukan pembenci.”

Secara logiknya, siapakah yang mahu disamakan dengan Nazi, rasis atau homofobik? Tiada siapa yang mahu diri mereka dilabel dan dikaitkan dengan kelompok ekstremis yang ‘bermasalah’ di mata masyarakat.  

Inilah yang menjadikan taktik jamming begitu berkesan kerana ia berjaya mewujudkan ketakutan yang memaksa ramai untuk berdiam diri, walaupun asalnya mahu mengangkat nilai agama yang selari dengan fitrah manusiawi.  

Sepertimana yang terjadi baru-baru ini apabila berlakunya polemik papan tanda ‘Larangan Homoseksual’ yang dipasangkan di Terengganu, aktivis pro-LGBT segera mendakwa tindakan itu sebagai “danger endorsement of hate against a minority”. 

Kononnya, tindakan itu akan menggalakkan diskriminasi dan pembulian terhadap golongan LGBT. 

Disebabkan tuduhan bersifat emosi itu dijadikan ‘hujah moral’,  akhirnya ramai lebih sibuk menjelaskan bahawa mereka bukan ‘homofobik’ atau ‘ekstremis’ daripada menjelaskan prinsip agama yang mahu diperjuangkan. 

Inilah objektif strategi jamming yang mahu mencipta suasana yang menghalang masyarakat bersuara dan mendorong bersikap defensif untuk mengkritik aktiviti songsang LGBT. 

Kata Marshall Kirk dan Hunter Madsen dalam karya tersebut: “Objektifnya adalah untuk menjadikan kepercayaan dan tindakan yang membenci golongan homoseksual kelihatan begitu keji sehingga rakyat biasa sendiri mahu menjauhkan diri daripada perkara tersebut…agar ekspresi kebencian terhadap homoseksual menjadi sesuatu yang sangat tidak boleh diterima, sehingga golongan konservatif tegar akhirnya terpaksa berdiam diri di ruang awam.”

Kedua: Nampakkan golongan LGBT sebagai mangsa 

Dalam setiap naratif propaganda, jika ada watak ‘pemangsa’ yang jahat, pasti akan ada watak ‘mangsa’ teraniaya yang memerlukan pembelaan. 

Dalam kempen normalisasi LGBT, mangsa tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah golongan LGBT itu sendiri. 

Mereka seringkali digambarkan sebagai golongan teraniaya yang dipinggirkan dan dizalimi hanya kerana ‘mahu menjadi diri sendiri’. 

Bagi Marshall Kirk dan Hunter Madsen, strategi pengimejan LGBT sebagai mangsa ini amat penting dalam fasa jamming kerana ia dapat menimbulkan rasa simpati dan bersalah yang mampu mengubah persepsi orang ramai. 

Malah, visual yang dipilih bukanlah secara rawak. Ia harus disusun rapi untuk menimbulkan kesan emosi seperti penderitaan golongan LGBT yang diusir dari rumah, hilang pekerjaan atau mangsa serangan fizikal dan lisan. 

Kemudian, visual penderitaan ini digandingkan dengan watak “pemangsa” yang ekstrem dan ganas. Sudah pasti gandingan visual sebegini mencipta satu persepsi automatik — bahawa mengkritik LGBT sama seperti menyokong penindasan.

 

Foto: Antara taktik mengimejkan golongan hubungan sejenis sebagai mangsa prejudis.

 

Lalu apabila imej ‘mangsa dan pemangsa’ kerap kali ditayangkan dalam media, tidak pelik sekiranya orang awam akan merasa simpati dengan golongan LGBT dan merasa malu terhadap sesiapa yang berani menentang agenda ini. 

Inilah manipulasi emosi yang ingin dicapai dalam strategi jamming seperti yang diakui sendiri oleh Kirk dan Madsen: 

Objektif imej mangsa ialah untuk membuatkan heteroseksual berasa tidak selesa; mencetuskan rasa malu yang mengatasi rasa bangga diri mereka apabila menolak homoseksualiti — serta membina asas untuk ‘menukar’ sikap mereka dengan membuatkan mereka bersimpati terhadap status gay sebagai mangsa penindasan.”

Apabila golongan LGBT berjaya memposisikan diri mereka sebagai mangsa, sebarang bentuk kritikan — walaupun ilmiah atau berlandaskan agama— akan serta-merta dilabel sebagai penindasan, kebencian, dan homofobia. 

Ini juga yang ditegaskan Kirk dan Madsen supaya golongan LGBT lebih mengangkat konsep orientasi seksual mereka adalah sesuatu yang ‘semulajadi’ sepertimana warna kulit atau ketinggian, bukanlah satu pilihan. 

Jika dikatakan ia adalah satu pilihan, ia hanya akan membuka ruang kepada perbahasan moral yang memenangkan hujah puak penentang. 

Inilah sebabnya mereka lebih cenderung memilih taktik emosi berbanding hujah fakta. 

Daripada bersusah payah menjawab hujah secara rasional, strategi ini memilih jalan yang lebih mudah dan efektif iaitu memanipulasi emosi masyarakat yang dilihat lebih berupaya mendiamkan suara penentang. 

Sedangkan, emosi bukanlah kayu ukur sesuatu kebenaran. Jika hujah emosi ini adalah penentu kebenaran, adakah mereka akan membebaskan seorang penjenayah yang menangis teresak-esak di mahkamah? Adakah air mata mampu menghapuskan kesalahan dan menggantikan keadilan?

Hakikatnya, kebenaran mesti diukur dengan prinsip, bukan perasaan. Dan prinsip yang kukuh lahir daripada akal yang waras, ilmu yang sahih, dan wahyu yang membimbing.

Kesimpulan

Berdasarkan dua strategi jamming dalam agenda propaganda LGBT pada hari ini, amat jelas ianya tidak lagi bertujuan untuk memenangi perbahasan secara logik.

Sebaliknya, ia menyasarkan emosi dan persepsi awam untuk membentuk ilusi ‘kebenaran’ yang mereka inginkan. 

Dengan melabelkan penentang sebagai ekstremis dan menggambarkan golongan LGBT sebagai mangsa tertindas, ia berjaya mengubah persepsi awam. 

Hasilnya jelas kelihatan – masyarakat yang dahulunya tegas menolak, kini bukan sahaja diam tetapi ‘menurut’ mempertahankan agenda yang bercanggah fitrah.

Justeru, masyarakat perlu celik terhadap strategi jamming malah, harus berfikir secara kritis supaya tidak terperangkap sehingga hilang kemampuan untuk menilai mana yang hak dan mana yang batil. 

Antara langkah praktikal yang boleh diambil adalah: 

 

  1. Kenali naratif yang dimainkan – Fahami bagaimana label-label seperti “homofobik” atau “pembenci” digunakan untuk melemahkan keyakinan diri dan menutup ruang dialog.
  2. Jangan terikut sentimen semata-mata – Bezakan antara simpati dan naratif yang direka untuk mengaburkan kebenaran. Jangan biarkan emosi menggantikan prinsip.
  3. Berpegang pada fakta dan prinsip agama – Bangunkan hujah yang jelas, rasional dan bersandar pada nilai agama, tanpa terperangkap dalam permainan emosi.

Penting untuk ditegaskan bahawa kritikan ini tidak bermaksud kita memusuhi komuniti LGBT. Agama mengajar kita untuk berlaku adil dan berkasih sayang kepada semua insan. 

Namun, ini tidak bererti kita harus menerima atau menyokong perlakuan yang bertentangan dengan prinsip agama dan moral. Kita menolak perbuatan, bukan membenci individu.

Justeru itu, kita tidak boleh berdiam diri ketika kebenaran sedang dimanipulasi dan kebatilan sedang dinormalisasi. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2:42). — The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author