Kolumnis
Siri 1: Lapan strategi propaganda normalisasi LGBT

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak isu berkaitan LGBT muncul berturut-turut dalam wacana awam seolah-olah seperti ada usaha terancang untuk ‘membiasakan’ masyarakat Malaysia dengan naratif tersebut.
Pada Mac lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan 90 peratus penghidap HIV adalah lelaki dan lebih mengejutkan, majoriti daripada mereka adalah pelaku homoseksual.
Tidak lama kemudian, tular pula kontroversi papan tanda larangan homoseksual yang dipasang di kawasan universiti di Terengganu.
Namun sebelum isu ini sempat reda, muncul satu lagi laporan yang mengejutkan.
Tinjauan World Population Review melaporkan bahawa Malaysia kini berada di tempat kelima negara tertinggi di Asia yang mempunyai bilangan transgender dianggarkan mencecah 24,000 orang.
Yang lebih menghairankan, rentetan ini berlaku hanya beberapa minggu sebelum tibanya bulan Jun iaitu, bulan Pride yang didedikasikan khusus untuk meraikan komuniti LGBT di seluruh dunia.
Agak janggal untuk mengatakan semua ini kebetulan, sedangkan isu-isu berbangkit ini muncul secara konsisten dalam jangka masa yang singkat.
Adakah tanpa kita sedari, kita sedang terperangkap dalam pelaksanaan strategi propaganda jangka panjang untuk ‘menormalisasikan’ LGBT di Malaysia?
Propaganda Gay sejak 1989
Hakikatnya, strategi normalisasi LGBT yang kita lihat hari ini telah dirancang rapi sejak tahun 1989 oleh dua tokoh aktivis pro-LGBT, Marshall Kirk dan Hunter Madsen.
Dalam buku yang bertajuk After the Ball: How America Will Conquer Its Fear and Hatred of Gays in the 90s, mereka telah menggariskan lapan strategi propaganda LGBTQ+ yang direka khusus untuk menukar persepsi masyarakat terhadap homoseksualiti.
Objektif mereka amat jelas – membina sebuah masyarakat yang bersifat toleran, seterusnya menerima homoseksualiti sebagai sesuatu yang ‘normal’, sah, dan wajar diraikan.
Meskipun strategi-strategi ini dirancang hampir 40 tahun, ironinya, ia masih kekal relevan dan kelihatan sedang diguna pakai dalam pelbagai bentuk hari ini.
Menurut pengamatan penulis, lapan strategi propaganda LGBT ini terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama adalah desensitization (menyahsensitivitikan masyarakat terhadap isu LGBT melalui pendedahan berulang) yang menjadi fokus utama siri ini.
Fasa kedua adalah jamming (membisukan kritikan dengan menjenamakan penentang sebagai pembenci) dan fasa terakhir adalah conversion (mengubah persepsi masyarakat dengan mengaitkan homoseksualiti dengan nilai-nilai positif).
Jadi bagaimanakah cara gerakan pro-LGBT kini mengaplikasikan fasa desensitization? Ada tiga strategi yang mereka gunakan dalam modus operandi ‘menyahsensitivitikan’ agenda songsang ini.
Pertama: Cipta ilusi “Kami sama seperti anda”
Dalam karya tersebut, Marshall Kirk dan Hunter Madsen menggesa supaya golongan LGBT mencari persamaan dengan masyarakat umum terlebih dahulu sebelum lantang menonjolkan orientasi seksual mereka.
Ini kerana perbezaan orientasi seksual sering kali menampakkan jurang persefahaman yang boleh mencetuskan penentangan.
Sepertimana ditegaskan kedua-dua tokoh ini: “Mereka (heteroseksual) mesti diyakinkan bahawa, walaupun berbeza orientasi seksual — anda dan mereka tetap berkongsi cukup banyak idea dan nilai yang sama untuk membolehkan dialog berlangsung secara bermakna dan membuahkan hasil”.
Oleh itu, golongan LGBT perlu mengambil pendekatan halus secara perlahan-lahan dengan nada bahasa, budaya dan nilai yang dekat di hati orang awam sehinggakan mereka ‘termakan’ dengan naratif ‘LGBT juga sama seperti kita – cuma cinta sahaja yang berbeza’.
Sehingga kini, strategi ini masih lagi digunakan secara meluas. Contohnya dalam ungkapan-ungkapan seperti ‘Cinta adalah cinta, ‘Cinta itu bukan satu jenayah’, atau ‘Nilailah kami seperti manusia’ yang sering digunakan gerakan LGBT untuk meraih simpati masyarakat.
Selain itu, untuk menguatkan lagi naratif cinta songsang ini, banyak syarikat antarabangsa menampilkan pasangan LGBT yang ‘mesra keluarga’ dalam iklan-iklan mereka.
Mereka sering dipaparkan berpegangan tangan sambil membeli perabot atau memasak bersama bagi mencipta ilusi bahawa mereka juga memiliki nilai kekeluargaan yang sama dan juga berhak berpasangan.
Strategi menyamakan nilai dan bahasa yang biasa digunakan masyarakat membolehkan masyarakat lebih relate dengan kehidupan golongan LGBT, lantas terbuka untuk menerima.
Kedua: Sasar golongan ‘atas pagar’
Dalam strategi penyebaran agenda LGBT, Marshall Kirk dan Hunter Madsen menegaskan bahawa sasaran utama bukanlah golongan yang menentang secara lantang atau yang sudah menyokong secara terbuka.
Sebaliknya, fokus utama mereka adalah golongan yang berada di ‘tengah-tengah’ atau Ambivalent Skeptics – mereka yang masih was-was dan tidak menyokong secara aktif tetapi juga tidak menolak secara tegas.
Ini kerana golongan yang bersikap ‘atas pagar’ ini adalah sasaran terbaik untuk dipujuk dan digoyangkan pendirian mereka seperti kanak-kanak dan golongan remaja yang masih mentah dengan ‘permainan’ agenda songsang ini.
Contohnya, watak kartun berorientasikan gay dalam filem keluaran Disney, buku komik yang sarat mesej pro-LGBT, serta kurikulum SOGI (Sexual Orientation and Gender Identity) yang sengaja disasarkan kepada mereka.

Foto: Propaganda LGBT terhadap kanak-kanak.
Jadi apabila seawal usia kanak-kanak ini sudah dibiasakan dengan naratif dan simbol-simbol LGBT, maka tidaklah menghairankan apabila muncul generasi baru yang menyokong tegar kepada ideologi songsang ini.
Menurut tinjauan Gallup, lebih satu daripada lima orang dewasa Gen Z (lahir antara 1997 hingga 2006) bangga mengakui mereka adalah LGBTQ+ pada tahun 2024.
Di Malaysia sendiri, generasi muda yang berumur antara 20-39 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada kes HIV kerana terdorong dengan mentaliti ‘YOLO’ (You Only Live Once) yang mahu mencuba perkara baharu, termasuk hubungan sejenis.
Inilah bukti keberkesanan strategi jangka panjang yang menyasarkan kelompok ambivalent skeptics, terutamanya dalam kalangan remaja yang masih mencari-cari arah dan identiti diri.
Ketiga: Teruskan bercakap, normalisasikan LGBT
Strategi ketiga inilah yang paling kerap dan agresif digunakan gerakan LGBT iaitu terus-menerus bercakap tentangnya sehingga diterima dalam norma masyarakat.
Dalam dunia propaganda, teknik ini dikenali sebagai proses desensitization; satu kaedah sistematik untuk menghilangkan kepekaan moral dan prinsip masyarakat secara konsisten.
Walaupun pada awalnya sesuatu moral dan prinsip itu dianggap tabu dan ditentang, namun apabila mesejnya kerap berulang –melalui filem, iklan, lagu, kempen kesedaran dan isu semasa– lama kelamaan ia menjadi sesuatu yang sudah ‘biasa’ didengari.
Apa yang dahulunya mengundang rasa jijik, janggal atau berdosa, kini hanya dilihat sebagai “kubur masing-masing“, “hak individu“, atau “biasalah orang moden” sehinggalah sensitiviti itu hilang.
Hari ini, strategi ini begitu ketara dalam dunia hiburan global. Dilihat semakin banyak watak homoseksual dan transgender ditampilkan secara positif atau sebagai watak ‘teraniaya’ yang ‘memerlukan pembelaan’.
Menurut laporan Gay and Lesbian Alliance Against Defamation (GLAAD), sebanyak 8.6 peratus skrip rancangan TV waktu puncak pada tahun 2024 menampilkan watak LGBT secara positif.
Di Malaysia sendiri, kerap kali juga kita melihat watak-watak homoseksual dalam drama dan filem tempatan seperti pasangan gay yang ‘terpaksa berpisah kerana tekanan masyarakat’, lelaki lembut yang menjadi mangsa keluarga, atau babak-babak yang menyelitkan unsur LGBT secara humor.
Mahupun isu-isu LGBT yang sentiasa berbangkit di Malaysia. Tidak dinafikan ia masih dikecam namun, tetap ia menambah ruang menormalisasikan naratif LGBT dalam kalangan masyarakat. Bak kata logik pemasaran menyebut: “any publicity is a good publicity”.
Marshall Kirk dan Hunter Madsen menggambarkan proses ini secara sinis dalam buku After the Ball: “If the straights can’t shut off the shower, they may at least eventually get used to being wet”. Ini jelas propaganda terancang untuk memanipulasi minda masyarakat.
Kesimpulan
Daripada siri kontroversi dalam negara sehinggalah kepada pelaporan media antarabangsa, kita sedang menyaksikan bagaimana fasa pertama strategi propaganda LGBT — desensitization — sedang digerakkan dengan begitu teliti dan tersusun.
Ia tidak berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan agenda global yang licik menggunakan pendekatan budaya, psikologi dan emosi untuk membiasakan masyarakat dengan gaya hidup songsang.
Namun, ini tidak bermaksud kita perlu mengelak sebarang perbincangan berkait isu LGBT kerana dikhuatiri menyumbang kepada ‘penormalisasian’ agenda ini.
Realitinya, perkara yang dahulunya jelas menyimpang kini telah menjadi kabur juga hasil daripada agenda ini.
Kekhuatiran sahaja tidak menyelesaikan masalah. Ia juga perlu disusuli dengan tindakan bersepadu daripada semua lapisan masyarakat.
- Individu perlu memperkasakan ilmu agama bagi menilai dan menepis ideologi serta ‘trend’ semasa yang bertentangan dengan fitrah manusiawi.
- Ibu bapa perlu peka dengan taktik normalisasi ini bagi memberi bimbingan berasaskan akidah dan kesedaran tentang ancaman LGBT kepada anak-anak.
- Guru dan pendidik harus perkukuhkan pendidikan nilai kekeluargaan, akhlak dan moral yang selari dengan fitrah manusiawi.
- Ilmuwan dan agamawan perlu konsisten membahaskan isu ini secara kritis serta menyeru masyarakat merespon dengan hikmah.
- Masyarakat awam perlu cakna dan berani mempersoalkan kandungan media serta dasar yang berupaya menyusupkan normalisasi ini.
Ini adalah usaha semua dan tiada sesiapa yang terkecuali. Jika kita alpa, apa yang hari ini kita anggap menyimpang, esok akan menjadi norma.
Sabda Rasulullah SAW: “Seorang mukmin itu tidak akan terperosok ke dalam lubang yang sama dua kali.” (Sahih Bukhari, No. 6133)
Dalam siri akan datang, kita akan kupas dua lagi fasa utama: jamming dan conversion — iaitu bagaimana suara kritikan dibisukan, dan bagaimana nilai songsang diubah wajahnya menjadi sesuatu yang ‘positif’ dan harus diraikan. — The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
