Connect with us

Antarabangsa

Putera ‘buangan’ Iran seru rakyat bangkit gulingkan republik Islam Iran

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Putera Mahkota Iran, Reza Pahlavi
  • Reza Pahlavi, yang masih dianggap Putera Mahkota Iran walaupun tinggal dalam buangan sejak kejatuhan monarki pada 1979, mengkritik keras  Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan beliau sebagai ‘tikus ketakutan yang bersembunyi di bawah tanah’ dan kehilangan kawalan terhadap negara.
  • “Apa yang bermula ini tidak dapat diputar balik. Masa depan cerah menanti kita semua,” katanya.
  • Ucapan berani Reza Pahlavi hadir beberapa hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan salah satu matlamat serangan ketenteraannya ialah menjatuhkan rejim Islam radikal di Tehran, pendirian yang turut disokong oleh Presiden AS, Donald Trump.

TEHRAN — Ketika Iran terus bergelut dengan ketidaktentuan politik dan kekacauan akibat serangan ketenteraan Israel, Reza Pahlavi, putera kepada Shah Iran terakhir, muncul menyeru perubahan rejim dan memberi ‘harapan’ baharu kepada rakyatnya.

Dalam satu ucapan pada Selasa malam, beliau menyatakan bahawa Republik Islam Iran sedang menuju ke penghujungnya.

Reza Pahlavi, yang masih dianggap Putera Mahkota Iran walaupun tinggal dalam buangan sejak kejatuhan monarki pada 1979, mengkritik keras  Ayatollah Ali Khamenei, menyifatkan beliau sebagai ‘tikus ketakutan yang bersembunyi di bawah tanah’ dan kehilangan kawalan terhadap negara.

“Apa yang bermula ini tidak dapat diputar balik. Masa depan cerah menanti kita semua,” katanya.

Pahlavi menyalahkan rejim Khamenei atas kemerosotan negara dan mengatakan sistem penindasan yang dibina sejak 46 tahun lalu sedang runtuh.

Beliau menyeru rakyat Iran untuk bangkit serentak dan menggulingkan rejim melalui pemberontakan menyeluruh di seluruh bandar utama dari Mashhad hingga Ahvaz.

Dalam usaha meyakinkan rakyat, beliau menegaskan bahawa kejatuhan rejim tidak akan membawa kepada perang saudara.

“Kami telah merancang untuk tempoh 100 hari pertama selepas kejatuhan rejim, termasuk penubuhan kerajaan nasional demokratik oleh rakyat dan untuk rakyat Iran,” katanya.

Pahlavi turut menggesa tentera, polis dan kakitangan kerajaan agar tidak mempertahankan rejim yang sedang tumbang.

“Jangan korbankan diri untuk sistem reput ini. Berdirilah bersama rakyat dan mainkan peranan bersejarah dalam peralihan kepada republik demokratik,” ujarnya.

Ucapan berani Reza Pahlavi hadir beberapa hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan salah satu matlamat serangan ketenteraannya ialah menjatuhkan rejim Islam radikal di Tehran, pendirian yang turut disokong oleh Presiden AS, Donald Trump.

Kedua-duanya memberi amaran keras terhadap program nuklear Iran yang dikatakan hampir mencapai tahap senjata.

Reza Pahlavi ialah anak kepada Shah Mohammad Reza Pahlavi yang melarikan diri dari Iran pada 1979 dan meninggal dunia di Mesir pada 1980.

Berpangkalan di AS, beliau menyeru perubahan rejim melalui tindakan aman dan pungutan suara. Walaupun disokong oleh diaspora Iran, sokongan terhadap monarki dalam negara masih tidak jelas memandangkan generasi muda tidak mengalami era pra-revolusi. — The Merdeka Times

Author