Antarabangsa
Nahas Air India: Langgar kawanan burung disyaki punca utama – Pakar penerbangan

- Pakar penerbangan mengesyaki serangan burung sebagai punca utama tragedi.
- Menurut pakar, nahas boleh berlaku jika kedua-dua enjin menyedut kawanan burung pada masa yang sama, menyebabkan kegagalan enjin dan pesawat kehilangan daya angkat.
- Rakaman video dari lokasi menunjukkan gear pendaratan pesawat masih diturunkan dan flap telah ditarik masuk, situasi yang tidak normal selepas berlepas kecuali berlaku kecemasan besar.
AHMEDABAD – Pesawat melanggar kawanan burung mungkin menjadi salah satu punca nahas pesawat Air India yang terhempas di Ahmedabad semalam.
Menurut Pakar industri penerbangan, Hemanth DP yang bercakap kepada The Straits Times, siasatan lanjut perlu dijalankan untuk memahami sifat sebenar isyarat kecemasan “mayday” yang dihantar sebelum pesawat terputus hubungan.
Jelasnya, pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang digunakan dalam penerbangan tersebut mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang.
“Jika sebuah pesawat berkaliber dan bersaiz besar ini terhempas pada ketinggian serendah 600 kaki (183 meter) hanya beberapa minit selepas berlepas, ia mesti melibatkan kegagalan sistem yang sangat serius,” kata Hemanth, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Flight Training Academy di Hyderabad.
Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner, yang membawa 242 penumpang dan kru, dipercayai mengalami masalah serius sejurus berlepas apabila juruterbang sempat membuat panggilan kecemasan “mayday” sebelum hilang komunikasi dengan menara kawalan.
Menurut Hemanth, nahas boleh berlaku jika kedua-dua enjin menyedut kawanan burung pada masa yang sama, menyebabkan kegagalan enjin dan pesawat kehilangan daya angkat.
Rakaman video dari lokasi menunjukkan gear pendaratan pesawat masih diturunkan dan flap telah ditarik masuk, situasi yang tidak normal selepas berlepas kecuali berlaku kecemasan besar.
Pihak penyiasat kini menumpukan usaha untuk mendapatkan dan menganalisis perakam data penerbangan (FDR) dan rakaman suara kokpit (CVR) bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.
Kejadian ini mengingatkan dunia kepada insiden-insiden lalu melibatkan ‘serangan’ burung, termasuk pendaratan cemas US Airways di Sungai Hudson pada 2009 dan nahas Jeju Air di Korea Selatan pada Disember 2024.
Siasatan penuh sedang dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan India dengan kerjasama pakar keselamatan antarabangsa.
Penerbangan Air India AI171 yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang London Gatwick telah terhempas di Ahmedabad sejurus selepas berlepas semalam, mengorbankan lebih 290 nyawa termasuk mangsa di darat.
Sekurang-kurangnya seorang penumpang dilaporkan terselamat. -The Merdeka Times
