Connect with us

Antarabangsa

Khamenei namakan 3 calon pengganti jika terbunuh dalam perang, Anak lelaki tidak tersenarai

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei
  • “Anak lelaki Khamenei, Mojtaba yang juga seorang ulama dan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang sebelum ini dikhabarkan sebagai calon utama, tidak termasuk dalam senarai calon pengganti,” menurut laporan The New York Times.
  • Identiti tiga tokoh agama yang dinamakan sebagai calon pengganti masih belum didedahkan.

 

TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah menamakan tiga tokoh agama kanan sebagai calon pengganti sekiranya beliau terbunuh dalam perang dengan Israel.

Laporan The New York Times (NYT) itu turut memetik tiga pegawai Iran yang mengetahui rancangan kecemasan waktu perang.

Langkah luar biasa itu mencerminkan betapa seriusnya ancaman semasa yang dilihat oleh pemimpin berusia 86 tahun itu, ketika serangan udara Israel terus menyasarkan aset ketenteraan dan nuklear Iran.

Menurut pegawai tersebut yang dipetik NYT, Khamenei kini beroperasi dari lokasi bawah tanah yang selamat dan berkomunikasi melalui pembantu yang dipercayai.

Beliau turut menamakan pengganti sementara bagi jawatan ketenteraan utama sekiranya pegawai kanan tentera terbunuh.

“Anak lelaki Khamenei, Mojtaba  yang juga seorang ulama dan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang sebelum ini dikhabarkan sebagai calon utama, tidak termasuk dalam senarai calon pengganti,” menurut laporan itu.

Identiti tiga tokoh agama yang dinamakan sebagai calon pengganti masih belum didedahkan.

Namun, langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk memastikan proses penggantian kuasa yang cepat dan teratur melalui Majlis Pakar sekiranya Khamenei dibunuh atau meninggal dunia secara mengejut.

Seperti yang dilaporkan oleh Iran International sebelum ini, Khamenei telah dipindahkan ke sebuah bunker bawah tanah di Lavizan, timur laut Tehran, sejurus selepas serangan udara bermula.

Ahli keluarga terdekatnya termasuk Mojtaba turut berada di fasiliti tersebut, susulan penilaian dalaman mengenai tahap kerentanan kepimpinan tertinggi Iran.

Dalam laporan berasingan, Iran International turut mendedahkan bahawa Khamenei telah menyerahkan kuasa penting kepada Majlis Tertinggi Pengawal Revolusi sebagai langkah berjaga-jaga waktu perang, bagi membolehkan keputusan kritikal dapat diteruskan sekiranya beliau menjadi tidak berupaya. -The Merdeka Times

Author