Antarabangsa
“Jangan ulang kesilapan Iraq” : Sanders kecam hasrat Netanyahu seret AS ke konflik Iran

- “Netanyahu salah tentang Iraq, dan dia juga salah sekarang. Kita tidak boleh terlibat dalam perang Netanyahu terhadap Iran,” tegas Sanders.
- Sebagai langkah susulan, beliau memperkenalkan rang undang-undang pada Isnin lalu yang melarang penggunaan dana persekutuan untuk tindakan ketenteraan AS terhadap Iran tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres.
- Rang undang-undang tersebut, dinamakan “No War Against Iran Act”, membenarkan pengecualian hanya untuk tindakan mempertahankan diri selaras dengan Akta Kuasa Perang dan undang-undang AS sedia ada.
WASHINGTON — Senator Bernie Sanders memberi amaran keras agar Amerika Syarikat (AS) tidak terlibat dalam sebarang konflik ketenteraan terhadap Iran.
Sanders turut merujuk sokongan lampau Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terhadap Perang Iraq adalah satu kesilapan besar yang harus AS jadikan pengajaran penting.
Sanders mengingatkan kenyataan Netanyahu pada tahun 2002 di Kongres AS yang mendesak pencerobohan ke atas Iraq dengan alasan pemimpin Iraq ketika itu, Saddam Hussein, sedang membangunkan senjata nuklear.
“Jika anda jatuhkan rejim Saddam, saya jamin kesannya akan sangat positif,” kata Netanyahu sebelum AS menyerang Iraq pada 2003.
Namun Sanders menegaskan, Netanyahu salah ketika itu.
“Perang di Iraq mengorbankan 4,492 anggota tentera AS, lebih 32,000 cedera, dan menelan kos sekitar tiga trilion dolar. Ratusan ribu rakyat Iraq turut terbunuh akibat perang tragis itu,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
“Netanyahu salah tentang Iraq, dan dia juga salah sekarang. Kita tidak boleh terlibat dalam perang Netanyahu terhadap Iran,” tegas Sanders.
Sebagai langkah susulan, beliau memperkenalkan rang undang-undang pada Isnin lalu yang melarang penggunaan dana persekutuan untuk tindakan ketenteraan AS terhadap Iran tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres.
Rang undang-undang tersebut, dinamakan “No War Against Iran Act”, membenarkan pengecualian hanya untuk tindakan mempertahankan diri selaras dengan Akta Kuasa Perang dan undang-undang AS sedia ada.
Beberapa senator terkemuka lain turut menyokong rang undang-undang tersebut, termasuk Peter Welch, Elizabeth Warren, Jeff Merkley, Chris Van Hollen, Ed Markey, Tammy Baldwin dan Tina Smith.
Dalam pada itu, Presiden Donald Trump menyatakan bahawa beliau masih terbuka untuk menyertai serangan Israel terhadap Iran, dengan berkata kesabarannya terhadap Tehran telah ‘punah’.
“Itulah sebabnya kita bertindak sekarang,” katanya pada Rabu.
Ketegangan di rantau Timur Tengah terus meningkat sejak Israel melancarkan serangan udara ke atas pelbagai lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear pada Jumaat lalu, yang kemudian dibalas dengan serangan balas oleh Tehran. -The Merdeka Times
