Antarabangsa
796 mayat bayi ditemui dalam tangki septik di rumah penjagaan rahib di Ireland

- Tapak itu merupakan sebahagian daripada institusi yang dikendalikan oleh sekumpulan rahib Katolik dari tahun 1925 hingga 1961, yang menempatkan wanita hamil luar nikah dan anak-anak mereka.
- Penyelidikan Catherine Corless, seorang sejarawan tempatan pada tahun 2014 mendapti seramai 796 kanak-kanak terdiri daripada bayi yang baru lahir hingga berusia sembilan tahun, telah direkodkan meninggal dunia, namun tiada satu pun catatan pengebumian, batu nisan, mahupun tanda peringatan ditemui di lokasi terbabit.
TUAM, IRELAND – Pihak berkuasa Ireland bakal memulakan kerja-kerja penggalian di tapak bekas rumah penjagaan ibu dan bayi di Tuam, County Galway, susulan penemuan mengejutkan melibatkan 796 mayat kanak-kanak yang dipercayai ‘dikebumikan’ secara tidak rasmi di dalam sebuah tangki septik.
Tapak itu merupakan sebahagian daripada institusi yang dikendalikan oleh sekumpulan rahib Katolik dari tahun 1925 hingga 1961, yang menempatkan wanita hamil luar nikah dan anak-anak mereka.
Bangunan rumah penjagaan tersebut telah dirobohkan pada tahun 1972, namun kawasan tanah itu kekal tidak dibangunkan.
Penemuan ini mencetuskan reaksi luar biasa dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa, setelah siasatan mendalam oleh Catherine Corless, seorang sejarawan tempatan yang membuktikan ketiadaan sebarang rekod pengebumian rasmi untuk ratusan kanak-kanak yang meninggal dunia di rumah penjagaan itu.
Menurut penyelidikan Corless pada tahun 2014, seramai 796 kanak-kanak terdiri daripada bayi yang baru lahir hingga berusia sembilan tahun, telah direkodkan meninggal dunia, namun tiada satu pun catatan pengebumian, batu nisan, mahupun tanda peringatan ditemui di lokasi terbabit.
Beliau mendedahkan bahawa lokasi paling berkemungkinan menjadi tempat persemadian kanak-kanak ini ialah sebuah tangki septik lama yang tidak digunakan lagi dan telah ditemui pada tahun 1975, namun tidak disiasat secara menyeluruh ketika itu.
Sebagai tindak balas, kerajaan Ireland telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan mengenai Rumah Penjagaan Ibu dan Bayi, yang menyiasat pelbagai dakwaan penderaan, pengabaian dan pengurusan jenazah secara tidak beretika oleh institusi keagamaan yang mengendalikan rumah tersebut.
Kerja mengorek tanah dijangka bermula bulan hadapan selepas kawasan itu disita untuk siasatan arkeologi forensik.
Proses ini dilihat penting bagi memberi keadilan kepada mangsa dan waris yang masih mencari jawapan terhadap kehilangan insan tersayang.-The Merdeka Times
