Antarabangsa
Bekas petugas kit Arsenal saman kelab kerana dipecat akibat hantaran Pro-Palestin

- Siasatan dalaman Arsenal tidak menuduh Mark Bonnick, 61 tahun secara langsung sebagai antisemitik, sebaliknya menyatakan hantaran tersebut boleh dianggap menyinggung dan provokatif.
- Bonnick, yang kini bekerja sebagai buruh binaan selepas kesukaran mendapat kerja, menegaskan beliau tidak menyesal dengan pendiriannya.
- “Saya tetap percaya kita perlu bersuara menentang ketidakadilan, termasuk terhadap rakyat Palestin,” katanya.
LONDON – Seorang bekas petugas kit akademi Arsenal, Mark Bonnick, 61, telah memfailkan saman terhadap kelab bola sepak itu atas dakwaan pemecatan tidak adil susulan beberapa hantaran pro-Palestin di media sosial.
Bonnick, yang telah berkhidmat selama 22 tahun bersama pasukan kejurulatihan komuniti Arsenal, dipecat pada 24 Disember 2023 selepas kelab mendakwa hantaran beliau mencemarkan nama baik kelab.
Antara hantaran yang dipersoalkan termasuk kritikan terhadap dasar Israel, perang di Gaza dan isu-isu berkaitan Zionisme.
Beliau sebelum itu digantung tugas pada 11 Disember susulan aduan daripada kelab penyokong yang mendakwa kandungannya bersifat antisemitik.
Namun, siasatan dalaman Arsenal tidak menuduh beliau secara langsung sebagai antisemitik, sebaliknya menyatakan hantaran tersebut boleh dianggap menyinggung dan provokatif.
Bonnick, yang kini bekerja sebagai buruh binaan selepas kesukaran mendapat kerja, menegaskan beliau tidak menyesal dengan pendiriannya.
“Saya tetap percaya kita perlu bersuara menentang ketidakadilan, termasuk terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau kini menuntut ganti rugi serta pemulihan jawatan, dan menyatakan hasrat untuk membersihkan nama baiknya yang menurutnya telah tercemar oleh dakwaan tidak berasas. -The Merdeka Times
