Connect with us

Terkini

(VIDEO) AMANAH serah memo bantahan, tuntut AS jangan anggap pembangunan semula Gaza sebagai ‘projek hartanah’

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi Biro Antarabangsa Parti AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah (berkot hitam) menyerahkan memo bantahan kepada pegawai Kedutaan AS di Malaysia di sini hari ini.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Amerika Syarikat (AS) digesa supaya tidak menganggap pembangunan semula Gaza sebagai projek pembangunan hartanah dan memastikan semua rakyat Palestin di Gaza kekal di tanah mereka.

Itu antara tujuh gesaan dan tuntutan Pengerusi Biro Antarabangsa Parti AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah ketika menyerahkan Memo Bantahan — Mengenai Keadaan Darurat Palestin di Gaza dan Tebing Barat kepada pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia di sini hari ini.

Gesaan lain adalah AS diminta bertindak sebagai “broker yang jujur” dalam menangani isu Palestin dan menghentikan sokongan terhadap pencerobohan serta keganasan yang berterusan oleh Israel selain AS diminta tidak menggunakan kuasa veto mereka setiap kali ada resolusi untuk melindungi rakyat Palestin, sama ada berkenaan nyawa, makanan, atau kelangsungan hidup penduduk itu.

Raja Bahrin berkata ini kerana kuasa veto telah digunakan secara berlebihan untuk menindas hak rakyat Palestin dan inilah yang paling dibimbangkan, termasuk bantuan tidak sampai kepada rakyat Palestin yang memerlukan.

AS juga digesa mendesak Israel menghormati perjanjian mengenai hak kepulangan rakyat Palestin dan mempermudahkan pergerakan mereka, khususnya ke Utara Gaza serta memastikan penghantaran bantuan makanan, perubatan, dan khemah dilaksanakan sepenuhnya dan membenarkan penghantaran jentera berat bagi membersihkan runtuhan bangunan dibom.

“Kami berharap memorandum yang telah diserahkan (kepada pegawai kedutaan AS di Malaysia) akan memberi kesan yang berpanjangan terhadap pandangan dan dasar kerajaan Amerika.. Secara asasnya, kami telah menggariskan tujuh perkara… Pertama sekali, Amerika mesti memainkan peranan sebagai perantara yang jujur, yang bermaksud mereka perlu berlaku adil kepada semua pihak.

“Apa yang kita dengar hari ini ialah Donald Trump (Presiden AS) meminta rakyat Palestin menyerahkan tebusan sebelum jam 12 tengah hari pada Sabtu, jika tidak, beliau berkata keadaan akan menjadi huru-hara tetapi bagaimana pula dengan ketidakpatuhan Israel terhadap hak untuk kembali ke Gaza Utara, serangan terhadap rakyat Palestin yang kembali ke Utara? Itu tidak pernah disebut.

“Jadi kedua-dua pihak tidak mematuhi, tetapi mengapa hanya Palestin yang disasarkan? Dan apa yang sangat menyedihkan ialah Donald Trump pernah mengatakan sebelum ini bahawa Gaza tidak sesuai untuk didiami manusia, ia adalah neraka di bumi dan siapa yang mencipta neraka ini? Israel dengan bantuan senjata dan bom dari Amerika.

Foto: Antara barisan individu yang terlibat dalam penyerahan memo bantahan kepada Kedutaan AS di Malaysia di sini hari ini.

“Kemudian, beliau menyatakan bahawa jika tebusan tidak diserahkan sebelum jam 12 tengah hari Sabtu ini, keadaan akan menjadi huru-hara jadi nampaknya Amerika dan Israel mempunyai hak untuk menentukan siapa yang boleh keluar dan masuk dari ‘neraka’.

“Mereka seolah-olah menjadi penjaga ‘pintu neraka’ dan ini adalah perkara yang sangat membimbangkan mengenai apa yang bakal berlaku,” kata Raja Bahrin dalam bahasa Inggeris ketika sidang media selepas penyerahan memo berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga menggesa Amerika Syarikat supaya tidak mengenakan sekatan terhadap ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), sebaliknya menghormati peraturan dan keputusannya  kerana ICJ adalah badan kehakiman tertinggi di dunia dan diiktiraf oleh semua mahkamah tinggi dunia.

Foto: Antara plakad memorandum berbentuk visual yang dihantar pihak Raja Bahrin sebelum ini kepada Kedutaan AS di Malaysia.

Mengulas berkenaan impak penyerahan memo bantahan yang sebelum ini, Raja Bahrin berkata usaha itu susah untuk diukur dari sesuatu penyerahan memo kerana ia membabitkan impak jangka masa panjang.

Beliau bagaimanapun menyifatkan usaha itu tidak ubah umpama kata-kata seperti sekeras-keras batu kalau dititikkan dengan air selama-lamanya akan ada kesannya juga.

“Dan kita harap inilah yang akan berlaku pada hati batu rakyat Amerika, khususnya kerajaan Amerika.

“Kita kena teruskan usaha kita… Kita bukan hanya bercakap, kita perlu menunjukkan kesungguhan kita dengan meneruskan demonstrasi dan juga penyerahan memo (bantahan),” katanya. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *