Antarabangsa
Tiada lagi alasan untuk Israel kekal di Zon Penampan – Al-Sharaa

- Israel sudah tidak ada alasan untuk terus berada di zon penampan.
- kehadiran pasukan pengaman PBB juga dialu-alukan.
- Ahmed Al-Shara kutuk perbuatan Israel zon penampan.
DAMSYIK — Pemimpin de facto Syria, Ahmed Al-Sharaa berkata Israel tidak lagi mempunyai alasan untuk kekal di zon penampan antara kedua-dua negara selepas Damsyik menyingkirkan kehadiran Iran, dan menyatakan bahawa beliau akan mengalu-alukan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kawasan itu di bawah perjanjian penarikan diri Israel-Syria tahun 1974.
Ahmed Al-Sharaa berkata demikian dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, di Damsyik Khamis lalu yang turut mengutuk tindakan Israel merampas zon penampan tersebut.
Israel sebelum ini berkata rampasan itu adalah sementara dan perlu untuk mengelakkan kawasan sempadan jatuh ke tangan pihak yang salah berikutan kekacauan dan ketidakpastian di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
“Pergerakan Israel di rantau ini adalah disebabkan oleh kehadiran militan Iran dan Hizbullah. Selepas pembebasan Damsyik, saya percaya mereka tiada lagi di sini. Alasan-alasan yang digunakan Israel hari ini hanyalah untuk maju ke kawasan-kawasan Syria, ke zon penampan,” kata Sharaa.
Pemimpin de facto Syria itu juga memaklumkan pihaknya bersedia menerima pasukan pengaman PBB untuk melindungi mereka.
“Kami telah memaklumkan kepada pegawai antarabangsa bahawa Syria mematuhi terma perjanjian 1974 dan bersedia menerima pasukan pengaman PBB untuk melindungi kami,
“Semua orang tahu bahawa kemaraan itu adalah satu kesilapan dan bahawa [kami] perlu kembali kepada keadaan asal,” tegasnya.
Sharaa berkata pihak berkuasa Syria juga bergantung pada sokongan Qatar untuk membantu menghentikan Israel daripada membuat kemaraan lanjut ke wilayah Syria.
Dalam sidang media itu, Qatar menyatakan kesediaanya menyokong Syria dan akan menggunakan segala cara yang ada untuk memberi tekanan kepada Israel untuk menarik diri.
Walaupun komen Sharaa kali ini kelihatan lebih keras terhadap kemaraan Israel, kumpulan jihadis Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang dipimpinnya bagaimanapun tidak memberi sebarang kenyataan mengenai serangan Israel yang menyasarkan konvoi senjata di selatan Syria pada Rabu yang dikatakan telah menyebabkan kematian beberapa orang, termasuk pegawai tentera kerajaan baharu. -The Merdeka Times
