Antarabangsa
Tentera Israel akhirnya akui lakukan jenayah perang

- Pembunuhan beramai-ramai di Palestin – Tentera Israel mengaku tertekan dan menyesal.
- 200 anggota tentera Israel tandatangan surat enggan terus berperang.
- Kumpulan Hak Asasi Antarabangsa tuduh Israel lakukan jenayah perang.
- Mahu Netanyahu dan Gallant ditangkap.
Anggota tentera Israel yang terbabit dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di Gaza akhirnya mengaku tertekan dan menyesal dengan perbuatan mereka.
Mereka juga mengaku terpaksa bercerita dengan rakan-rakan dan saudara-mara untuk memproses apa yang mereka lihat.
Seorang daripada mereka, Yotam Vilk berkata imej tentera rejim membunuh seorang remaja Palestin di Gaza masih melekat di mindanya.
Beliau yang juga seorang pegawai di Kor Armor berkata menerima arahan untuk menembak sesiapa sahaja yang tidak dibenarkan memasuki zon penampan dikuasai tentera Israel di Gaza.
Menurut Vilk, dirinya telah menyaksikan 12 rakyat Gaza dibunuh. Malangnya sehingga kini imej remaja Palestin yang ditembak itu menghantui ingatanya.
“Remaja yang dibunuh itu adalah sebahagian daripada matlamat kami untuk melenyapkan warga Palestin sebagai manusia,” kata Vik, 28 tahun.
Vilk merupakan sebahagian daripada anggota tentera Israel yang menyuarakan protes mereka terhadap pembunuhan beramai-ramai 15 bulan di Gaza dan juga enggan mematuhi arahan sambil berkata mereka menyaksikan perkara-perkara yang melangkaui etika.
Setakat ini 200 anggota tentera Israel sudah menandatangani surat mengatakan mereka enggan berperang jika Israel gagal mencapai gencatan senjata.
Keengganan mereka ekoran tekanan yang semakin kuat untuk Israel menghentikan peperangan di sana.
Tujuh anggota tentera yang ditemui berkata rakyat Palestin dibunuh sewenang-wenangnya manakala rumah dimusnahkan. Anggota tentera terbabit juga diarahkan untuk membakar atau meruntuhkan rumah.
Mereka juga menyaksikan anggota tentera lain melakukan rompakan dan merosakkan rumah.
Kumpulan Hak Asasi Antarabangsa teleh menuduh Israel melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Mahkamah Antarabangsa Keadilan sedang menyiasat tuduhan pembunuhan beramai-ramai yang difailkan Afrika Selatan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga mahu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant ditangkap.- The Merdeka Times
