Terkini
Isu autisme: Orang awam diingatkan berhati-hati mempercayai ‘kajian’ perubatan

- Untuk tafsir sesuatu kajian perubatan memerlukan kemahiran khusus bagi menilai kesahihan maklumat.
- Peringatan itu disuarakan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar ekoran terdapat kajian mendakwa kanak-kanak yang divaksinasi dalam program Medicaid Florida lebih berisiko mendapat autisme dan gangguan neurodevelopmental (NDD).
- Kajian tidak diterbitkan dalam jurnal saintifik, tetapi dalam sebuah blog di WordPress dan dibiayai National Vaccine Information Center (sebuah NGO anti-vaksin).
- Kajian disemak seorang individu yang terkenal dalam menyebarkan maklumat salah.
- Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Prof Dr Imelda Balchin turut mengingatkan orang awam berkenaan perkara sama, dengan menyimpulkan bahawa sebarang tafsiran kajian perubatan perlu dirujuk kepada pakar di dalam bidang.
- Ini kerana kebanyakan orang awam yang bukan saintis dan bukan juga pakar perubatan tidak menerima latihan untuk belajar bagaimana hendak membuat tafsiran kajian perubatan.
KUALA LUMPUR — Orang awam diingatkan jangan mudah mempercayai sebarang jurnal atau kajian perubatan kerana untuk mentafsir sesuatu kajian perubatan memerlukan kemahiran khusus bagi menilai kesahihan maklumat.
Peringatan itu antaranya disuarakan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Amirul Amzar berikutan timbul satu kajian mendakwa kanak-kanak yang divaksinasi dalam program Medicaid Florida lebih berisiko mendapat autisme dan gangguan neurodevelopmental (NDD).
Menurut Dr Amirul, kajian itu tidak diterbitkan satu jurnal saintifik, sebaliknya ia diterbitkan di blog WordPress sebuah platform yang seakan sama seperti blog resipi mak cik-mak cik.
Kajian berkenaan juga dikatakan dibiayai National Vaccine Information Center (sebuah NGO anti-vaksin) dan “peer-reviewed” oleh seorang individu yang terkenal dalam menyebarkan maklumat salah.
“Kalau ni tak cukup membuat anda sangsi lagi, mari kita tengok apa lagi yang tak kena iaitu yang pertama data pengebilan bukan data saintifik. Kajian ni guna kod bil perubatan Medicaid untuk tentukan siapa sudah divaksin dan siapa yang belum.
“Kalau tak ada kod bil vaksin, ia terus dianggap “tidak divaksin.”
“Tapi, pernah dengar tak pasal program Vaccines for Children? Banyak budak divaksin di tempat lain tanpa bil masuk Medicaid. Kalau macam ni, bukankah kajian ni ibarat kira durian dalam lori, tapi tak buka bakul kat tepi kebun?
“Yang kedua, bias yang menarik tapi mengarut iaitu kajian ni cuma tengok budak dari keluarga berpendapatan rendah, yang kekal dalam Medicaid sampai umur 9 tahun. Eh, macam mana nak guna hasil ni untuk semua orang?
“Lagi kelakar, mereka pilih umur sembilan sebab nak “ikut CDC,” tapi abaikan fakta bahawa autisme biasanya didiagnos pada umur dua hingga empat tahun. Dah macam main tarik tali: “Eh, kita pilih data yang sedap je, ya.”,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Amirul Amzar.
“Kesimpulan kajian ni? Sama macam karipap kedekut inti: banyak gebu, tapi kosong dalam. Kalau nak percaya kajian macam ni, baik kita tunggu ramalan cuaca daripada bomoh hujan.
“Sains dah jelas: vaksin tak sebabkan autisme. Satu dunia buat kajian bertahun-tahun, melibatkan jutaan kanak-kanak, dan semua setuju. Tapi kajian pelik macam ni tetap keluar, guna kaedah tidak masuk akal, dan akhirnya jadi modal viral dalam grup WhatsApp mak-mak.
“Mohon berhati-hati. Kalau nampak kajian ni dikongsi,sabar dulu. Ingat: bukan semua benda yang nampak seperti “sains” itu betul-betul berasaskan sains,” kata Dr Amirul.

Foto: Tangkap layar komen Dr Imelda di Facebook Dr Amirul Amzar.
“Mohon berhati-hati. Kalau nampak kajian ni dikongsi,sabar dulu. Ingat: bukan semua benda yang nampak seperti “sains” itu betul-betul berasaskan sains,” kata Dr Amirul.
Dalam pada itu, di ruangan komen hantaran Facebook Dr Amirul menyaksikan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Prof Dr Imelda Balchin turut mengingatkan orang awam berkenaan perkara sama, dengan menyimpulkan bahawa sebarang tafsiran kajian perubatan perlu dirujuk kepada pakar di dalam bidang.
Dr Imelda berkata ini kerana kebanyakan orang awam yang bukan ahli sains dan bukan juga pakar perubatan tidak menerima latihan untuk belajar bagaimana hendak membuat tafsiran kajian perubatan dan tidak memahami berkenaan jenis kajian, trial dan bias.
Beliau berkata perkara itulah diajarkan profesor di universiti kepada seorang doktor yang berlatih ingin menjadi pakar, manakala kebanyakan doktor yang bukan pakar pula tidak belajar tentang metodologi pendidikan dan tiada pengalaman membuat kajian perubatan.
Justeru, katanya bukan satu perkara yang menghairankan sekiranya ada orang awam yang tidak dapat memahami atau membezakan di antara kajian perubatan yang bagus dan sebaliknya.
“Tak hairan lah orang awam tak faham apakah kajian perubatan yang bagus dan apakah kajian perubatan yang lemah.
“Zaman dahulu kajian perubatan yang lemah tidak diterbitkan oleh journal perubatan antarabangsa maka anda semua tak boleh dapat tengok pun keputusan kajian perubatan yang lemah.
“Zaman sekarang, ada terlalu banyak journal perubatan, maka yang mana kajian perubatan lemah yang DITOLAK jurnal perubatan antarabangsa berimpak tinggi, pun masih boleh diterima untuk terbitan jurnal perubatan berimpak rendah yang kecil-kecilan yang tidak akan dirujuk oleh professor-professor dan tidak akan dibuat rujukan untuk doktor-doktor pakar.
“Kesimpulannya ialah tafsiran kajian perubatan pun anda kena rujuk kepada pakar di dalam bidang,” kata Dr Imelda. — The Merdeka Times
