Terkini
10 lelaki rugi lebih RM140,000 terpedaya perkhidmatan ubah nasib

- Seramai 10 mangsa lelaki berusia antara 45 hingga 55 tahun di sekitar daerah Menglembu mengalami kerugian lebih RM140,000 selepas mendakwa terpedaya dengan penipuan perkhidmatan ubah nasib oleh dua individu yang dikenali mereka sejak dua tahun lepas.
- Seorang daripada mangsa dikenali sebagai Chan, 55, mendakwa dia berkenalan dengan seorang wanita warga Thailand dan lelaki tempatan sejak 2022 yang menawarkan perkhidmatan ubah nasib dengan menderma keranda kepada individu yang telah meninggal dunia di Thailand.
- Seorang lagi mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Kam Yuen, 50, mendakwa dia kerugian lebih RM69,000 selepas diperdaya dengan dua individu tersebut mengenai perkhidmatan yang dijanjikan.
BATU GAJAH — Seramai 10 mangsa lelaki berusia antara 45 hingga 55 tahun di sekitar daerah Menglembu mengalami kerugian lebih RM140,000 selepas mendakwa terpedaya dengan penipuan perkhidmatan ubah nasib oleh dua individu yang dikenali mereka sejak dua tahun lepas.
Seorang daripada mangsa dikenali sebagai Chan, 55, mendakwa dia berkenalan dengan seorang wanita warga Thailand dan lelaki tempatan sejak 2022 yang menawarkan perkhidmatan ubah nasib dengan menderma keranda kepada individu yang telah meninggal dunia di Thailand.
“Saya terpedaya dengan kata-kata kedua-dua (suspek) kerana mereka mendakwa jika mahu hidup bertuah saya perlu melakukannya (membeli keranda) dan akan menyerahkan kepada tokong yang berada di Thailand.
“Saya telah menyerahkan wang tunai berjumlah lebih RM20,000 secara berperingkat sejak 2022 lalu dan pada November tahun lepas, saya mendapat tahu telah ditipu kerana wang yang saya berikan kepada mereka sebenarnya tidak diserahkan kepada pihak tokong tersebut,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu di sini semalam.
Seorang lagi mangsa, yang hanya mahu dikenali sebagai Kam Yuen, 50, mendakwa dia kerugian lebih RM69,000 selepas diperdaya dengan dua individu tersebut mengenai perkhidmatan yang dijanjikan.
“Saya juga telah ditipu mereka dengan membeli barangan kemas namun apabila saya pergi ke kedai emas untuk melihat ketulenan, ia adalah palsu,” dakwanya.
Beliau berkata pihaknya bersama mangsa-mangsa yang lain telah membuat laporan polis mengenai perkara terbabit.
Sementara itu, ADUN Menglembu, Steven Chaw Kam Foon berkata pihaknya menerima aduan daripada kesemua mangsa berkenaan dua minggu lalu selepas menyedari mereka telah ditipu oleh dua individu berkenaan dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan terperinci dan melakukan tindakan yang sewajarnya. — BERNAMA
