Antarabangsa
(VIDEO) “Siapa masih sokong Bashar adalah bersalah!” – Warga Syria
KUALA LUMPUR – “Diam, diam… Siapa masih sokong Bashar adalah bersalah! PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)!”, demikian teriak seorang wanita muda Syria dalam klip video dimuat naik di instagram TRT hari ini.
Wanita tidak dikenali itu menghamburkan kemarahannya ketika utusan khas PBB ke Syria, Geir Pedersen melawat Penjara Sednaya di utara Damsyik pada Isnin.
“Saya belum dapat masuk (Penjara Sednaya), biar saya masuk dulu dan kita akan bercakap selepas itu,” kata Pedersen kepada pemberita menunggunya di pusat tahanan rejim Syria pimpinan Bashar al-Assad yang digulingkan kumpulan anti-rejim Syria pada 8 Disember lalu.
TRT melaporkan ahli keluarga warga Syria yang hilang di Sednaya berdepan dengan utusan khas PBB itu dengan rata-rata mereka tidak berpuas hati.
“Tolong kami, tolong kami. Bawa peralatan yang boleh kesan terowong bawah tanah. Sesuatu yang boleh bantu kami.
“Kamu datang ke sini untuk ambil gambar dengan kami dan mereka yang berkorban, apa yang bernilai mereka ada,” kata seorang lelaki Syria dipercayai waris warga Syria ditahan rejim Assad di Sednaya.
“Kami dah menunggu 13 tahun. Anak perempuan saya kini berusia enam tahun dan dia menunggu (untuk diselamatkan),” kata seorang wanita Syria lain.
Seorang lagi wanita Syria kelihatan tidak dapat menahan emosinya dalam video itu, meratap sedih sambil bertanya, “di mana mereka (rejim Assad) kebumikan mereka (ahli keluarganya)?.. di mana Ali, oh Ali”.
Seorang wanita Syria yang kelihatan lebih berusia kelihatan merayu supaya anaknya yang diculik rejim dikembalikan.
“Kami nak anak-anak kami. Moga Allah hancurkan hati Assad. Di mana dia bawa mereka (anak-anaknya),” kata wanita Syria itu.
Sednaya mendapat perhatian masyarakat dunia selepas pejuang anti-rejim Assad menyelongkar pusat tahanan itu selepas Bashar digulingkan dan lari ke Russia.
Pejuang anti-rejim menemui banyak mayat, dipercayai warga Syria yang diseksa dan dibunuh ketika dalam tahanan, termasuk mayat dalam ketuhar.
Turut dijumpai adalah kubur massa (kubur besar) dengan mayat bertimbun-timbun dalam beberapa lubang di Damsyik dan wilayah Daraa, sekali gus membuktikan kekejaman dan kezaliman rejim Assad yang digulingkan. – The Merdeka Times