Antarabangsa
Rejim Israel rampas zon penampan di Bukit Golan
- Dengan Presiden Syria Bashar al-Assad digulingkan, Israel menghantar pasukan daratnya melepasi zon demiliterisasi di sempadan Syria-Israel, menandakan kemasukan pertama rejim Israel ke wilayah Syria sejak Perang Timur Tengah 1973, lapor Anadolu.
- Assad melarikan diri dari Syria ke Russia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada Ahad, menandakan kejatuhan rejim Parti Baath, yang telah berkuasa di Syria sejak 1963.
- Berikutan penyingkiran Assad, tentera rejim Israel melakukan berpuluh-puluh serangan udara terhadap apa disifatkannya sebagai depot senjata di Syria untuk menghalang kumpulan bersenjata daripada merampas senjata itu.
- Israel juga menghantar tentera ke luar zon demilitarisasi di Dataran Tinggi Golan Syria yang didudukinya dan mengumumkan keruntuhan perjanjian pemisahan 1974 dengan Syria.
Dengan Presiden Syria Bashar al-Assad digulingkan, Israel menghantar pasukan daratnya melepasi zon demiliterisasi di sempadan Syria-Israel, menandakan kemasukan pertama rejim Israel ke wilayah Syria sejak Perang Timur Tengah 1973, lapor Anadolu.
Assad melarikan diri dari Syria ke Russia selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik pada Ahad, menandakan kejatuhan rejim Parti Baath, yang telah berkuasa di Syria sejak 1963.
Ia berlaku lebih seminggu selepas kumpulan anti-rejim Syria menguasai Aleppo, sebuah bandar utama di utara negara itu.
Berikutan penyingkiran Assad, tentera rejim Israel melakukan berpuluh-puluh serangan udara terhadap apa disifatkannya sebagai depot senjata di Syria untuk menghalang kumpulan bersenjata daripada merampas senjata itu.
Israel juga menghantar tentera ke luar zon demilitarisasi di Dataran Tinggi Golan Syria yang didudukinya dan mengumumkan keruntuhan perjanjian pemisahan 1974 dengan Syria.
Tentera Israel pada Ahad berkata ia merampas kawalan zon demilitarisasi di Bukit Golan selepas kumpulan anti-rejim mengambil alih Syria.
Tentera Israel juga dilaporkan menguasai puncak Gunung Hermon di sebelah sempadan Syria dan beberapa lokasi lain.
Tentera Israel berkata langkah itu bertujuan untuk menubuhkan apa yang dipanggil sebagai kedudukan pertahanan di kawasan itu untuk mencegah penyusupan kumpulan bersenjata.
Penempatan tentera itu menandakan perubahan ketara dalam dasar sebagai kemasukan pertama tentera Israel secara terang-terangan ke dalam wilayah Syria sejak perjanjian pemisahan 1974 yang secara rasmi menamatkan perang terakhir antara Israel dan Syria pada 1973.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan keruntuhan perjanjian dipantau PBB, yang sebelum ini mewujudkan zon penampan antara Israel dan Syria selepas tentera Syria berundur dari kawasan itu berikutan penyingkiran Assad. – The Merdeka Times