Terkini
Hannah Yeoh kalah saman fitnah terhadap Musa Hassan, diperintah bayar kos RM40,000
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berhubung ucapan beliau di sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) empat tahun lalu.
- Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas Hannah Yeoh gagal membuktikan kenyataan yang disangkal itu berunsur fitnah.
- Plaintif gagal mewujudkan dua elemen penting fitnah iaitu kenyataan secara keseluruhan merujuk kepadanya dan defendan bertanggungjawab ke atas penerbitan kenyataan itu.
- “Tiada bukti jelas niat jahat, kerana defendan membuat kenyataan tersebut berdasarkan analisis akademik, bercakap dalam konteks kebimbangan keselamatan negara yang lebih luas, dan tiada kawalan terhadap penerbitan ucapannya,” kata mahkamah dipetik NST hari ini.
- Berita Harian melaporkan melalui saman difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
- Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah Yeoh menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berhubung ucapan beliau di sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas Hannah Yeoh gagal membuktikan kenyataan yang disangkal itu berunsur fitnah.
Mahkamah berkata plaintif gagal mewujudkan dua elemen penting fitnah iaitu kenyataan secara keseluruhan merujuk kepadanya dan defendan bertanggungjawab ke atas penerbitan kenyataan itu.
“Tiada bukti jelas niat jahat, kerana defendan membuat kenyataan tersebut berdasarkan analisis akademik, bercakap dalam konteks kebimbangan keselamatan negara yang lebih luas, dan tiada kawalan terhadap penerbitan ucapannya.
“Kenyataan itu dibuat pada forum membincangkan isu keselamatan negara, di mana defendan bercakap sebagai bekas Ketua Polis Negara mengenai ancaman keselamatan yang dirasakan.
“Defendan hanya merupakan penceramah jemputan tanpa mengetahui bahawa forum itu akan disiarkan secara langsung di Facebook dan beliau hanya mengetahuinya selepas siaran tersebut berakhir. Beliau juga tiada kawalan terhadap penerbitannya,” kata mahkamah dipetik NST di sini hari ini.
Mahkamah menyatakan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan mesti dilindungi secara kukuh, terutamanya berkaitan isu kepentingan awam dan kenyataan yang dibuat pada acara yang mempunyai keistimewaan tertentu.
“Walaupun ucapan bertanggungjawab adalah penting, tokoh awam mesti bersedia menerima dan bertoleransi terhadap kritikan serta perdebatan yang kuat mengenai kenyataan dan aktiviti awam mereka,” kata mahkamah.
Mahkamah turut memberikan kos RM40,0000 kepada defendan, manakala peguam Hannah, Lim Wei Jiet berkata mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan tidak lama lagi.
Berita Harian melaporkan melalui saman difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah Yeoh menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. — The Merdeka Times