Terkini
Usah guna penyakit mental sebagai alasan perlakuan buli – Pakar Psikiatri
- Pembuli atau bakal pembuli diingatkan supaya tidak mengunakan penyakit mental sebagai alasan perlakuan buli kerana pemeriksaan komprehensif akan dilakukan terlebih dahulu oleh pakar psikiatri forensik untuk memastikan apa sebenarnya yang berlaku pada waktu insiden buli tersebut.
- Pakar psikiatri dan psikoterapi, Dr Hazli Zakaria berkata pembuli perlu melalui pemeriksaan terperinci untuk memahami apa mereka lalui sebelum hukuman dikenakan ke atas mereka.
- Setiap daripada kita berisiko menjadi pembuli cuma mempunyai kadar risiko berbeza, justeru adalah penting untuk kita memahami dan sedar bahawa buli boleh dilakukan oleh mereka yang normal, tetapi mempunyai ciri-ciri tertentu membuatkan mereka mempunyai risiko lebih tinggi menjadi pembuli.
- Semua pihak perlu memahami bahawa terdapat situasi tertentu dan faktor persekitaran yang memainkan peranan untuk meninggikan risiko buli berlaku, tetapi yang menjadi masalah apabila kita terlalu fokus kepada faktor individu sahaja tanpa melihat kepada faktor sosial, organisasi dan sistem itu sendiri sedangkan ia menyumbang kepada kes buli terus berlaku.
- Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan tentang bagaimanakah keadaan mental individu yang suka membuli hingga ke tahap sanggup menekap seterika panas ke atas tubuh orang lain dan apakah manusia normal berupaya melakukan perbuatan seperti itu.
- Ia susulan laporan eksklusif TMT pada Rabu lalu yang melaporkan kes terbaru seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
KUALA LUMPUR — Pembuli atau bakal pembuli diingatkan supaya tidak mengunakan penyakit mental sebagai alasan perlakuan buli kerana pemeriksaan komprehensif akan dilakukan terlebih dahulu oleh pakar psikiatri forensik untuk memastikan apa sebenarnya yang berlaku pada waktu insiden buli tersebut.
Pakar psikiatri dan psikoterapi, Dr Hazli Zakaria berkata pembuli perlu melalui pemeriksaan terperinci untuk memahami apa mereka lalui sebelum hukuman dikenakan ke atas mereka.
Beliau berkata setiap daripada kita berisiko menjadi pembuli cuma mempunyai kadar risiko berbeza, justeru adalah penting untuk kita memahami dan sedar bahawa buli boleh dilakukan oleh mereka yang normal, tetapi mempunyai ciri-ciri tertentu membuatkan mereka mempunyai risiko lebih tinggi menjadi pembuli.
Katanya, semua pihak perlu memahami bahawa terdapat situasi tertentu dan faktor persekitaran yang memainkan peranan untuk meninggikan risiko buli berlaku, tetapi yang menjadi masalah apabila kita terlalu fokus kepada faktor individu sahaja tanpa melihat kepada faktor sosial, organisasi dan sistem itu sendiri sedangkan ia menyumbang kepada kes buli terus berlaku.
“Tidak dinafikan individu yang membuli itu mengalami kesukaran untuk mengawal emosi dan juga tidak dapat berfikir secara rational sehingga bertindak di luar norma, pada masa sama kita perlu mengenal pasti faktor-faktor persekitaran yang membenarkan buli itu berlaku, barulah kita dapat mencari strategi untuk mengurangkan risiko buli ini.
“Kebanyakan kes buli berlaku apabila kurang pengawasan atau pemerhatian dan peluang itu diambil oleh pembuli.
“Fenomena “bystander effect” iaitu di mana mereka yang melihat atau mengetahui tentang kejadian buli itu tidak melakukan sesuatu untuk menghalang buli dari berterusan kerana masing-masing berfikir ada orang lain yang akan melaporkan atau melakukan sesuatu tapi akhirnya tidak ada sebarang langkah diambil untuk menghentikan buli.
“Sekiranya mereka yang menyaksikan buli diberikan kekuatan untuk membuat laporan dan ia diberikan perhatian, disusuli tindakan sepatutnya dan pelapor itu diberikan perlindungan dan kerahsiaan dijaga, ini salah satu contoh bagaimana faktor persekitaran boleh membantu mengelakkan kes buli berterusan hingga sampai ke tahap ganas seperti yang berlaku,” katanya kepada The Merdeka Times (TMT) di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan tentang bagaimanakah keadaan mental individu yang suka membuli hingga ke tahap sanggup menekap seterika panas ke atas tubuh orang lain dan apakah manusia normal berupaya melakukan perbuatan seperti itu.
Ia susulan laporan eksklusif TMT pada Rabu lalu yang melaporkan kes terbaru seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Pada 2017, negara digemparkan dengan insiden sadis membabitkan pegawai kadet laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa dengan kejam apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Mengulas lanjut, Dr Hazli berkata buli merupakan fenomena berterusan dan jika tidak dihalang pembuli akan semakin berani dan melakukan perbuatan yang mengakibatkan kesan lebih negatif kepada mangsa buli di mana antara salah satu ciri pembuli ialah mereka merasakan lebih puas dan seronok apabila mangsa menjadi lebih takut dan terkesan.
“Mengenal pasti buli pada peringkat awal adalah salah satu bentuk pencegahan.
“Lebih banyak program-program kesedaran tentang buli dan lebih penting adalah program-program memperkasa kekuatan mental, resilience (daya tahan), kemahiran empati dan semangat berpasukan yang dapat menjadi benteng untuk menghalang pembuli terus berkuasa.
“Kita tidak akan memandang remeh sekiranya ada aduan tentang buli walaupun hanya sekadar dengan panggilan nama yang membuat seseorang itu tidak rasa selesa.
“Bukan bertujuan untuk melahirkan generasi yang ‘lembik’ atau mudah ‘koyak’, sebaliknya membentuk rakyat Malaysia yang tahu lebih bertoleransi,” kata Dr Hazli. — The Merdeka Times