Terkini
Rugi RM43.9 juta: Khazanah, PNB dan FashionValet perlu beri penjelasan – Fahmi
- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), PNB dan FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) perlu memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu dalam FashionValet.
- “Sudah tentu ramai yang bertanya mengenainya kerana ia adalah dana awam. Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada semua pihak, baik Khazanah atau FashionValet, kita perlu beri sedikit masa kepada mereka untuk memberikan penjelasan.
- “Saya percaya mereka akan mengeluarkan kenyataan mengenainya dalam masa terdekat demi kepentingan awam,” kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil dipetik media tempatan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di sini, hari ini.
- Kementerian Kewangan sebelum ini menerusi jawapan bertulis di Parlimen mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pegangan minoriti mereka dalam FashionValet.
KUALA LUMPUR — Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) perlu memberikan penjelasan berhubung kerugian pelaburan RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu dalam FashionValet.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil berkata ramai yang membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu sehingga pelbagai kandungan dimuat naik dalam media sosial.
“Sudah tentu ramai yang bertanya mengenainya kerana ia adalah dana awam. Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada semua pihak, baik Khazanah atau FashionValet, kita perlu beri sedikit masa kepada mereka untuk memberikan penjelasan.
“Saya percaya mereka akan mengeluarkan kenyataan mengenainya dalam masa terdekat demi kepentingan awam,” katanya dipetik media tempatan selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2024 di sini, hari ini.
Kementerian Kewangan sebelum ini menerusi jawapan bertulis di Parlimen mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pegangan minoriti mereka dalam FashionValet.
Pada 2018, Khazanah melabur RM27 juta sementara PNB RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet untuk menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.
Kementerian Kewangan berkata pandemik COVID-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar menyebabkan perniagaan Fashion Valet terjejas teruk dan memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi.
Pada akhir 2023, sebuah syarikat Bumiputera, NXBT Partners menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB di dalam FashionValet dan menyuntik modal diperlukan ke dalam syarikat tersebut.
Khazanah dan PNB dilaporkan menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham tersebut. — The Merdeka Times