Terkini
FashionValet dulu dinilai RM451 juta, kini terjual hanya RM4.7 juta kepada firma pelaburan
FashionValet (FV), sebuah syarikat e-dagang dalam industri startup Malaysia yang ditubuhkan pada 2010 kini dijual dengan harga rendah kepada firma pelaburan tempatan, NXBT Partners dalam ‘fire sale’.

- FashionValet (FV), sebuah syarikat e-dagang dalam industri startup Malaysia yang ditubuhkan pada 2010 kini dijual dengan harga rendah kepada firma pelaburan tempatan, NXBT Partners dalam ‘fire sale’.
- Asia Tech Review (ATR) semalam melaporkan syarikat berusia 15 tahun itu pernah menerima sokongan Khazanah Nasional Bhd dan mengumpul hampir $20 juta dalam tempoh yang sukar untuk ‘startup’.
- Berita penjualan FV yang diasaskan pasangan suami isteri Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzarudin Anuar hanya dilaporkan portal berita teknologi tempatan Amanz.
- ATR merujuk platform data Alternatives.PE mendapati NXBT Partners yang dimiliki usahawan Afzal Abdul Rahim memperoleh 51.25 peratus pegangan saham FV dengan hanya membayar sekitar US$1.1 juta (RM4.7 juta) untuk saham-saham sekunder itu, meletakkan nilai syarikat tersebut pada sekitar US$2 juta.
- Ia adalah penurunan ketara daripada penilaian post-money $104.5 juta (RM451 juta) ketika Khazanah membuat pelaburan pada 2019.
KUALA LUMPUR — FashionValet (FV), sebuah syarikat e-dagang dalam industri startup Malaysia yang ditubuhkan pada 2010 kini dijual dengan harga rendah kepada firma pelaburan tempatan, NXBT Partners dalam ‘fire sale’.
Asia Tech Review (ATR) semalam melaporkan syarikat berusia 15 tahun itu pernah menerima sokongan Khazanah Nasional Bhd dan mengumpul hampir $20 juta dalam tempoh yang sukar untuk ‘startup’.
Berita penjualan FV yang diasaskan pasangan suami isteri Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzarudin Anuar hanya dilaporkan portal berita teknologi tempatan Amanz.
ATR merujuk platform data Alternatives.PE mendapati NXBT Partners yang dimiliki usahawan Afzal Abdul Rahim memperoleh 51.25 peratus pegangan saham FV dengan hanya membayar sekitar US$1.1 juta (RM4.7 juta) untuk saham-saham sekunder itu, meletakkan nilai syarikat tersebut pada sekitar US$2 juta.
Ia adalah penurunan ketara daripada penilaian post-money $104.5 juta (RM451 juta) ketika Khazanah membuat pelaburan pada 2019.

Foto: Antara tangkap layar petikan laporan Asia Tech Review (ATR) bertajuk, ‘FashionValet, early e-commerce pioneer and Malaysian startup poster-child, sold in fire sale’.
FV dilaporkan bermula sebagai platform untuk menjual barangan fesyen sebelum ia melancarkan dua jenama dalaman, dUCK dan Lilit, sebagai sebahagian perniagaan yang diumumkan pada 2022.
Vivy, yang lebih dikenali sebagai seorang blogger dan pempengaruh media sosial, sering menjadi wajah syarikat dan profile itu membantu syarikatnya menarik pelaburan daripada pelbagai sumber, termasuk firma perkhidmatan tempatan MyEG Holdings dan pelabur antarabangsa seperti Elixir Capital dari Silicon Valley serta pusat beli-belah fesyen dalam talian Jepun Zozotown sebelum Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menyertainya.

Foto: Tangkap layar ciapan Ekonomi Rakyat di X.
Menurut laporan ATR, pada 2021 pendapatan FV dilaporkan meningkat 34 peratus kepada RM113.52 juta (US$23.8 juta), manakala kerugian dikurangkan kepada RM9.6 juta (US$2 juta) iaitu 22 peratus lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Namun, syarikat juga mencatatkan peningkatan hutang pinjaman 125 peratus kepada RM6.3 juta (US$1.32 juta) yang berkemungkinan pinjaman itu disebabkan untuk mendepani kemerosotan akibat pandemik Covid19.
Walaupun FV cuba mempelbagaikan perniagaannya dengan membuka sekurang-kurangnya 10 kedai fizikal di sekitar Kuala Lumpur dan satu di Singapura, usaha itu dikatakan tidak cukup untuk menyelamatkan syarikat.
Pada Julai 2022, FV beralih daripada menjual jenama pihak ketiga dengan menutup laman web utamanya dan fokus sepenuhnya kepada dua jenama dalaman, Lilit dan dUCK.
Memandangkan persaingan sengit daripada Zalora dan peralihan jenama itu sendiri terus kepada pengguna, bukan melalui peruncit, ATR menyatakan mungkin adalah bijak bagi FV menggandakan jenama dalamannya.
Tetapi berdasarkan pengambilalihan oleh NXBT Partners, Vivy dilihat tidak berjaya mengeluarkan syarikat itu daripada situasi menyedihkan. — The Merdeka Times
