Terkini
Semua pihak digesa lindungi pendidikan Palestin – Wan Azizah
Semua pihak dituntut membuat kenyataan bersama membantah ketidakadilan dialami guru dan pelajar Palestin ketika ini.
- Semua pihak dituntut membuat kenyataan bersama membantah ketidakadilan dialami guru dan pelajar Palestin ketika ini.
- Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata semua pihak juga perlu mengukuhkan komitmen melindungi pendidikan di Palestin.
- Beliau berkata hanya melalui kerjasama dan kesepaduan, komitmen itu akan menjadi satu suara lebih kuat dapat bergema di peringkat global, sekali gus menghentikan keganasan merosakkan asas masa depan yang aman.
- “Pendidikan bukan satu kemewahan, tetapi ia hak asasi dan menjadi satu nyawa yang sangat bernilai.
- “Sehubungan itu, kita semua wajar berasa sangat bimbang dengan keadaan pendidikan dan skolastik yang sedang dilalui di Palestin,” katanya dipetik media tempatan pada Isnin ketika berucap pada persidangan ‘Hari Antarabangsa Untuk Melindungi Pendidikan Daripada Serangan Kelima’ dalam forum kendalian PBB yang berlangsung tiga hari di Doha.
- Kementerian Pendidikan Palestin pada Ogos lalu melaporkan lebih 10,000 pelajar dan lebih 500 guru terbunuh di Gaza dan Tebing Barat.
KUALA LUMPUR — Semua pihak dituntut membuat kenyataan bersama membantah ketidakadilan dialami guru dan pelajar Palestin ketika ini.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam masa sama, semua pihak perlu mengukuhkan komitmen melindungi pendidikan di Palestin.
Wan Azizah berkata hanya melalui kerjasama dan kesepaduan, komitmen itu akan menjadi satu suara lebih kuat dapat bergema di peringkat global, sekali gus menghentikan keganasan merosakkan asas masa depan yang aman.
“Tidak ada pilihan untuk menanganinya. Kita harus mengakui pendidikan adalah asas kepada bantuan kemanusiaan sama seperti rawatan perubatan.
“Sama seperti kita menyembuhkan luka dan memberikan perlindungan kesihatan, kita juga perlu memelihara dan melindungi jiwa dan minda generasi muda.
“Pendidikan bukan satu kemewahan, tetapi ia hak asasi dan menjadi satu nyawa yang sangat bernilai.
“Sehubungan itu, kita semua wajar berasa sangat bimbang dengan keadaan pendidikan dan skolastik yang sedang dilalui di Palestin,” katanya dipetik media tempatan pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan ‘Hari Antarabangsa Untuk Melindungi Pendidikan Daripada Serangan Kelima’ dalam forum kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung tiga hari di Doha, semalam.
Wan Azizah yang juga bekas timbalan perdana menteri turut memetik Kementerian Pendidikan Palestin pada Ogos lalu melaporkan lebih 10,000 pelajar dan lebih 500 guru terbunuh di Gaza dan Tebing Barat.
“Justeru, atas nama kemanusiaan dan kesucian hidup, pertumpahan darah berterusan ke atas pelajar dan guru serta kemusnahan institusi pendidikan di Palestin adalah tragedi besar yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Al Jazeera sebelum ini melaporkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesahkan 564 bangunan sekolah (85 peratus sekolah) di Gaza dibedil atau dirosakkan akibat serangan rejim zionis Israel.
Manakala, hampir semua sekolah di utara Gaza dilaporkan “terkena secara langsung” atau mengalami kerosakan disusuli dengan Gaza City di mana lebih 90 peratus sekolah dilaporkan rosak atau musnah.
Sementara itu, media tempatan melaporkan pada Ogos lalu institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia akan dibabitkan dalam misi membantu rakyat Palestin, terutama bagi membawa lebih ramai pelajar terjejas untuk meneruskan pengajian di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tumpuan kepada pembangunan semula pendidikan rakyat Palestin di Gaza perlu digerakkan segera selain bantuan kewangan untuk kelangsungan hidup. — The Merdeka Times