Terkini
Pindaan Akta 333: Tindakan lebih tegas bagi pemandu bawah pengaruh dadah
Kerajaan bercadang meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun tidak menyebabkan kemalangan.
- Kerajaan bercadang meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun tidak menyebabkan kemalangan.
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata cadangan tersebut akan diusulkan ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selepas perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.
- Undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang tegas dan sepatutnya perlu dihukum seperti kesalahan pemandu mabuk di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun.
- Loke berkata demikian pada sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Gombak, di sini pada Selasa.
- Menurut Loke perkara ini perlu dikaji semula kerana tidak wajar menunggu sehingga kemalangan berlaku baru tindakan tegas diambil terhadap pemandu yang mengambil dadah.
KUALA LUMPUR — Kerajaan bercadang meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah walaupun tidak menyebabkan kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata cadangan tersebut akan diusulkan ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selepas perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.
Beliau berkata undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang tegas dan sepatutnya perlu dihukum seperti kesalahan pemandu mabuk di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun.
“Pemandu yang mengambil dadah, kita hanya boleh dakwa sekiranya mereka mengakibatkan kemalangan jalan raya.
*Manakala pemandu yang dikesan menagih dadah tetapi tidak menyebabkan kemalangan hanya boleh digantung lesen dan tidak boleh didakwa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Gombak, di sini pada Selasa.
Menurut Loke perkara ini perlu dikaji semula kerana tidak wajar untuk menunggu sehingga kemalangan berlaku baru tindakan tegas diambil terhadap pemandu yang mengambil dadah.
“Pemandu seperti ini mesti dicegah dan diberhentikan serta disenarai hitam daripada sistem jalan raya,” katanya.
Beliau berkata Operasi Khas Kenderaan Perdagangan selama lima hari bermula 1 Ogos lepas merekodkan seramai 21 pemandu positif dadah hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap 276 pemandu kenderaan perdagangan.
“Ini bermakna dalam setiap 13 pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas sebagai pemandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” katanya. — BERNAMA