Connect with us

Terkini

Jika tidak sekat ‘kemasukan’ BlackRock, bagaimana rakyat nak yakin Anwar perjuangkan Palestin – Ramasamy

Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyekat kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan syarikat Global Infrastructure Partners (GIP)-BlackRock menimbulkan persoalan mengenai pendirian dan keseriusan Perdana Menteri itu dalam isu perjuangan Palestin.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.
  • Persoalan itu dibangkitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang turut mempertikaikan jika Anwar boleh membenarkan syarikat mesra Israel, BlackRock mengambil bahagian dalam MAHB, maka apakah pendirian sebenar beliau dalam memerangi penindasan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
  • Ramasamy yang juga Pengerusi Urimai berkata, tindakan itu sahaja telah menyebabkan Anwar hilang kelayakan bercakap mengenai hak rakyat Palestin, apatah lagi menyandang kepimpinan global untuk melahirkan satu tata cara dunia baharu.
  • “Jika Anwar tidak dapat mengambil pendirian berkesan dalam menentang kemasukan BlackRock yang mempunyai hubungan strategik dan ketenteraan dengan Israel, maka bagaimana rakyat Malaysia boleh memandang serius Anwar dalam usaha mencari penyelesaian kekal untuk rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran bertajuk ‘Can PM Anwar create a new global order to assist the Palestinians?’ di Facebook pada Selasa.
  • Terdahulu, media melaporkan Anwar diharapkan dapat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Islam dan bukan Islam di seluruh negara untuk mewujudkan tata cara dunia baharu demi menentang kekejaman Israel.
  • Rayuan itu disuarakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di pentas Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad di mana beliau meminta Anwar mengajak negara-negara yang mengiktiraf Israel untuk memutuskan hubungan dengan kuasa penceroboh itu.
  • Kerajaan Madani pimpinan Anwar berdepan kritikan beberapa pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, yang menentang penyertaan BlackRock menerusi GIP, sebuah firma yang bakal diambil alih syarikat pro-zionis itu, dalam konsortium bersama Khazanah dan KWSP bagi meningkatkan pegangan saham dalam MAHB.

KUALA LUMPUR — Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyekat kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan syarikat Global Infrastructure Partners (GIP)-BlackRock menimbulkan persoalan mengenai pendirian dan keseriusan Perdana Menteri itu dalam isu perjuangan Palestin.

Persoalan itu dibangkitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang turut mempertikaikan jika Anwar boleh membenarkan syarikat mesra Israel, BlackRock mengambil bahagian dalam MAHB, maka apakah pendirian sebenar beliau dalam memerangi penindasan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Ramasamy yang juga Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, tindakan itu sahaja telah menyebabkan Anwar hilang kelayakan bercakap mengenai hak rakyat Palestin, apatah lagi menyandang kepimpinan global untuk melahirkan satu tata cara dunia baharu.

“Anwar sepatutnya cuba menjadi perdana menteri negara yang berkesan. Beliau harus mewakili rakyat Malaysia tanpa mengira asal usul agama dan kaum. 

“Tujuan Palestin adalah perjuangan nasionalis yang memerlukan sokongan semua manusia.

“Jika Anwar tidak dapat mengambil pendirian berkesan dalam menentang kemasukan BlackRock yang mempunyai hubungan strategik dan ketenteraan dengan Israel, maka bagaimana rakyat Malaysia boleh memandang serius Anwar dalam usaha mencari penyelesaian kekal untuk rakyat Palestin,” katanya dalam hantaran bertajuk ‘Can PM Anwar create a new global order to assist the Palestinians?’ di Facebook pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) diharapkan dapat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Islam dan bukan Islam di seluruh negara untuk mewujudkan tata cara dunia baharu demi menentang kekejaman Israel.

Rayuan itu disuarakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di pentas Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad di mana beliau meminta Anwar mengajak negara-negara yang mengiktiraf Israel untuk memutuskan hubungan dengan kuasa penceroboh itu.

Kerajaan Madani pimpinan Anwar berdepan kritikan beberapa pihak, termasuk Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan, yang menentang penyertaan BlackRock menerusi GIP, sebuah firma yang bakal diambil alih syarikat pro-zionis itu, dalam konsortium bersama Khazanah dan KWSP bagi meningkatkan pegangan saham dalam MAHB.

Kritikan dan desakan supaya Kerajaan Madani membatalkan kerjasama itu difahamkan bermula pada Mei lalu dan ia kembali hangat susulan kematian pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh pada minggu lalu.

Seiring itu terdapat pihak mempertikaikan pendirian kerajaan yang bersolidariti untuk Palestin, namun pada masa sama menjalankan kerjasama di antara MAHB dan GIP-BlackRock.

Terbaharu, Ahli Parlimen kerajaan dari PKR, Hassan Karim berkata Malaysia wajib menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat rejim zionis Israel seperti BlackRock.

Beliau berkata ia sebagai simbol solidariti untuk ribuan rakyat dan pejuang-pejuang Palestin yang terkorban dibom dan diserang rejim zinois Israel. 

Mengulas lanjut kenyataan Mohamad Sabu, Ramasamy berkata beliau meragui Anwar mempunyai pengaruh politik global untuk mewujudkan satu tata cara dunia baharu untuk menentang Israel.

“Perintah dunia (world order) sekarang di bawah hegemoni (kuasa dan pengaruh) AS terlalu berakar umbi untuk membenarkan satu lagi perintah dunia yang diketuai Anwar. Bagi orang Amerika, ia mungkin satu lagi jenaka!

“Perhubungan awam Anwar mungkin bagus jika dibandingkan pemimpin terdahulu di Malaysia. Namun beliau tidak mempunyai ketegasan dan konsistensi dalam memperjuangkan rakyat Palestin, apatah lagi mewujudkan tata cara dunia baharu,” kata Ramasamy. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *