Terkini
(VIDEO) Henti guna FB, Insta & WhatsApp jika tidak mahu ada kaitan BlackRock – Fahmi Fadzil
Mana-mana pihak, termasuk pembangkang, yang tidak mahu ada sebarang kaitan dengan syarikat BlackRock perlu berhenti menggunakan Facebook, Instagram dan WhatsApp, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
- “Jadi kepada mereka yang berkata tentang isu MAHB ini bagi saya lakukan perkara yang jujur, lakukan perkara yang betul keluar daripada Facebook, keluar daripada Instagram, stop guna WhatsApp.
- “Nak tengok mereka berani tak berani kalau tak they are not walking the talk, ini semua adalah hipokrit yang sengaja cuba nak mewujudkan persepsi,” katanya kepada The Merdeka Times ketika ditemui di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur malam tadi.
- Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gesaan MP PKR, Hassan Karim dan kritikan MP Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya kerajaan membatalkan kerjasama antara MAHB dengan syarikat pro-zionis, BlackRock-GIP yang dilihat masih diteruskan selepas kematian pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh.
- Fahmi berkata sekiranya ada sesiapa, terutama ahli-ahli Parlimen, ingin mempertikaikan keputusan kerajaan itu, maka mereka boleh mengambil tindakan seperti membawa usul.
KUALA LUMPUR — Mana-mana pihak, termasuk pembangkang, yang tidak mahu ada sebarang kaitan dengan syarikat BlackRock perlu berhenti menggunakan Facebook, Instagram dan WhatsApp, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
Fahmi mendakwa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membelanjakan jumlah yang banyak untuk membuat iklan di Facebook sedangkan kita sedia tahu pendirian jelas syarikat pengendali media sosial terbabit iaitu Meta terhadap Israel.
“Jadi kepada mereka yang berkata tentang isu MAHB ini bagi saya lakukan perkara yang jujur, lakukan perkara yang betul keluar daripada Facebook, keluar daripada Instagram, stop guna WhatsApp.
“Nak tengok mereka berani tak berani kalau tak they are not walking the talk, ini semua adalah hipokrit yang sengaja cuba nak mewujudkan persepsi,” katanya kepada The Merdeka Times ketika ditemui di Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam tadi.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gesaan Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Karim dan kritikan MP Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya kerajaan membatalkan kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan syarikat pro-zionis, BlackRock-Global Infrastructure Partners (GIP) yang dilihat masih diteruskan selepas kematian pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut diajukan pertanyaan susulan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan akan membangkitkan isu BlackRock di perhimpunan tersebut.
PAS sebelum ini dilaporkan menyifatkan adalah tercela dan tidak bermaruah sekiranya Kerajaan Madani masih meneruskan cadangan usahasama MAHB dengan syarikat pro-zionis, BlackRock-GIP ekoran pembunuhan Haniyeh.
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin berkata sebarang usahasama sedemikian perlu dihentikan memandangkan BlackRock secara jelas terlibat dalam pembiayaan dan persenjataan kepada rejim haram zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap rakyat Palestin.
Turut berkongsikan pandangan sama, Hassan Karim berkata Malaysia wajib menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat rejim zinois Israel seperti BlackRock.
Beliau berkata ia sebagai simbol solidariti untuk ribuan rakyat dan pejuang-pejuang Palestin yang terkorban dibom dan diserang rejim zinois Israel.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata sekiranya ada sesiapa, terutama ahli-ahli Parlimen, ingin mempertikaikan keputusan kerajaan itu, maka mereka boleh mengambil tindakan seperti membawa usul.
“MAHB tidak dijual kepada BlackRock mereka yang berkata sedemikian memfitnah dan itu adalah satu fitnah yang jahat dan sengaja mengaburi mata rakyat dan mewujudkan persepsi yang tidak wujud.
“Perkara itu sudah disebut dengan jelasnya dalam Parlimen… jadi kalau ada sesiapa terutama ahli-ahli Parlimen yang ingin mempertikai dan mengambil tindakan mereka boleh sebagai contoh mengusulkan supaya Perdana Menteri yang telah menjelaskan isu saham MAHB dalam konsortium itu nanti bersama Khazanah, KWSP, GIP dan ADIA (Abu Dhabi Investment Authority),” kata Fahmi. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/
View this post on Instagram