Terkini
Pembunuhan Ismail Haniyeh: ‘Kerajaan tercela, tidak bermaruah jika teruskan kerjasama BlackRock-GIP’
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan adalah tercela dan tidak bermaruah sekiranya Kerajaan Madani masih meneruskan cadangan usahasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan syarikat pro-zionis, BlackRock-Global Infrastructure Partners (GIP) ekoran pembunuhan pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh.
- PAS menyifatkan adalah tercela dan tidak bermaruah sekiranya Kerajaan MADANI masih meneruskan cadangan usahasama MAHB dengan syarikat pro-zionis, BlackRock-Global Infrastructure Partners (GIP) ekoran pembunuhan pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh.
- Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebarang usahasama sedemikian perlu dihentikan memandangkan BlackRock secara jelas terlibat dalam pembiayaan dan persenjataan kepada rejim haram zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap rakyat Palestin.
- “Pemergian As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh adalah suatu kehilangan besar terhadap umat Islam seluruhnya, namun ia tidak sesekali akan mematahkan semangat juang para pencinta bumi Al-Quds untuk sepanjang zaman,” kata Takiyuddin menerusi kenyataan media pada Khamis.
- Turut berkongsikan pandangan sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim berkata Malaysia wajib menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat rejim zionis Israel seperti BlackRock.
- “Justeru itu dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada GIP yang dikuasai BlackRock,” kata Hassan.
KUALA LUMPUR — Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan adalah tercela dan tidak bermaruah sekiranya Kerajaan Madani masih meneruskan cadangan usahasama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan syarikat pro-zionis, BlackRock-Global Infrastructure Partners (GIP) ekoran pembunuhan pemimpin tertinggi kumpulan pejuang Palestin, Ismail Haniyeh.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sebarang usahasama sedemikian perlu dihentikan memandangkan BlackRock secara jelas terlibat dalam pembiayaan dan persenjataan kepada rejim haram zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap rakyat Palestin.
“Pemergian As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh adalah suatu kehilangan besar terhadap umat Islam seluruhnya, namun ia tidak sesekali akan mematahkan semangat juang para pencinta bumi Al-Quds untuk sepanjang zaman.
“PAS menyeru Kerajaan Malaysia supaya segera mengambil langkah diplomatik ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat, di samping memberikan tekanan antarabangsa untuk menghalang Israel daripada meneruskan kekejaman dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
“Ia selaras dengan keputusan terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta pelbagai resolusi dan ketetapan di pihak PBB dan OIC yang perlu dihormati,” kata Takiyuddin menerusi kenyataan media pada Khamis.
Turut berkongsikan pandangan sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim berkata Malaysia wajib menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti berkait rapat rejim zinois Israel seperti BlackRock.
Beliau berkata ia sebagai simbol solidariti untuk ribuan rakyat dan pejuang-pejuang Palestin yang telah terkorban dibom dan diserang rejim zinois Israel.
“Justeru itu dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock,” kata Hassan menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, jenazah Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas dilaporkan tiba di ibu negara Qatar, Doha dari Iran pada Khamis dan akan dikebumikan hari ini, lapor media Qatar dipetik agensi berita Anadolu.
Pengurusan jenazah diadakan awal Khamis di ibu negara Iran, Tehran dengan sejumlah besar masyarakat dan pegawai mengambil bahagian dalam perkabungan, termasuk Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Kumpulan Palestin dan Iran mengumumkan pembunuhan Haniyeh dalam serangan udara Israel pada awal Rabu yang menyasarkan kediamannya di Tehran, sehari selepas beliau menghadiri majlis penabalan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Walaupun Israel berdiam diri mengenai pembunuhan itu, Netanyahu ada mengisyaratkan penglibatan Tel Aviv dalam pembunuhan Haniyeh. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/