Terkini
Warga Israel masuk Malaysia guna pasport Perancis yang sah
Lelaki warga Israel yang ditahan di hotel di ibu negara bersama enam pistol dan 200 peluru pada Rabu lalu, memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis tulen.

- Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan beliau menegaskan tidak timbul isu dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara kerana lelaki terbabit menggunakan pasport tulen.
- Katanya, semakan mendapati pasport Perancis milik suspek dikeluarkan Kedutaan Perancis di Tel Aviv dan pasport itu sah.
- “Dari perspektif sistem imigresen dan undang-undang imigresen kita, jika dokumen perjalanan itu sah dan kita tiada masalah dengan negara mengeluarkan dokumen perjalanan dan dia tiada dalam senarai hitam, kita benarkan kemasukan,” katanya dipetik Berita Harian pada sidang media di Pelabuhan Klang, semalam.
KUALA LUMPUR — Lelaki warga Israel yang ditahan di hotel di ibu negara bersama enam pistol dan 200 peluru pada Rabu lalu, memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis tulen.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan beliau menegaskan tidak timbul isu dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara kerana lelaki terbabit menggunakan pasport tulen.
Katanya, semakan mendapati pasport Perancis milik suspek dikeluarkan Kedutaan Perancis di Tel Aviv dan pasport itu sah.
“Senarionya seperti jika saya tinggal di Australia, pejabat (Kedutaan Malaysia) yang mengeluarkan pasport akan berada di Melbourne. Maka saya adalah warganegara Malaysia tetapi pasport saya dikeluarkan di Australia. Begitu juga dengan lelaki Israel itu.
“Dari perspektif sistem imigresen dan undang-undang imigresen kita, jika dokumen perjalanan itu sah dan kita tiada masalah dengan negara mengeluarkan dokumen perjalanan dan dia tiada dalam senarai hitam, kita benarkan kemasukan,” katanya dipetik Berita Harian pada sidang media di Pelabuhan Klang, semalam.
Beliau berkata kes membabitkan lelaki Israel itu juga menunjukkan kepentingan dasar ketegasan negara yang tidak membenarkan pemilikan dwi-kewarganegaraan.
“Suspek menggunakan pasport Perancis yang sah dan ada kemungkinan dia warga Israel yang memegang pasport Perancis.
“Sebab itu semasa perbahasan mengenai pindaan perlembagaan mengenai dua kerakyatan, kita tidak mengiktirafnya. Sekarang anda nampak kenapa kami tegas mengenainya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pihak keselamatan menahan seorang lelaki warga Israel yang menggunakan pasport Perancis dan merampas enam pucuk pistol.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ketika disoal siasat polis suspek berusia 36 tahun itu memberitahu kedatangannya ke Malaysia bagi mencari seseorang untuk dibunuh.
Ketika ditanya jika individu ditahan itu perisik Israel, Razarudin berkata siasatan pihaknya juga turut mengambil kira aspek berkenaan. — The Merdeka Times
