Kolumnis
Apa syarat untuk masuk Islam?
“Kamu tak tahu solat, mana boleh masuk Islam”.
“Kamu tak tahu solat, mana boleh masuk Islam”.
“Kamu baca al-Qur’an pun tak tahu, tak boleh masuk Islam”.
Inilah antara kata-kata yang pernah diterima golongan bukan Muslim yang ingin memeluk Islam daripada orang Muslim sendiri.
Maka apabila mereka menerima respon sebegini, mereka merasakan Islam merupakan agama sukar dan akhirnya ada sebahagian antara mereka melepaskan niat untuk memeluk Islam.
Adakah solat, pandai membaca al-Qur’an syarat peluk Islam?
Sudah tentunya tidak. Tiada langsung syarat perlunya solat dan pandai membaca al-Qur’an baru seseorang itu boleh memeluk agama Islam.
Malah, syarat untuk memeluk Islam hakikatnya adalah sangat mudah iaitu hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah dan memahami maksudnya.
Asyhadu an-laa ilaaha illallaah (ا شهد أن لا إله إلا الله)
Saya bersaksi tiada Tuhan Selain Allah.
Wa asyhadu anna Muhammadan rasuulullaah (و اشهد أن محمد ر سو ل الله)
Dan saya bersaksi bahwanya Nabi Muhammad adalah utusan Allah.
Syarat inilah penulis akan tekankan kepada mereka yang ingin memeluk agama Islam bahawa perlunya memahami Rukun Iman terlebih dahulu, yang merupakan akar akidah.
Tanpa pemahaman Rukun Iman yang betul, ia diibaratkan seperti pohon yang tidak berakar.
Tidak dinafikan Rukun Islam seperti solat dan membaca al-Qur’an itu penting, tetapi yang lebih penting adalah akidah.
Jika kita bandingkan, Rukun Islam pertama adalah syahadah, dalam erti kata yang lain, masuk Islam. Setelah itu, barulah rukun yang kedua (solat) dan seterusnya.
Maka apabila ada Muslim yang berfikiran bahawa, untuk memeluk agama Islam, seseorang itu perlu belajar dahulu, maka pada pendapat penulis, ia adalah pemikiran yang tidak tepat.
Mari kita berfikir secara logik. Adakah kita belajar dahulu baru masuk universiti atau kita masuk universiti dahulu baru belajar?
Malah pada awal 13 tahun pertama wahyu diturunkan, kebanyakan ayat al-Qur’an adalah berkaitan dengan akidah, manakala ayat mengenai hukum hakam hanyalah sedikit sehinggalah setelah Baginda Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah.
Ini menunjukkan bahawa ilmu akidah adalah lebih penting berbanding ilmu ibadah. Tanpa akidah yang kukuh, ibadah akan menjadi lebih sukar untuk dilaksanakan, terutamanya bagi seseorang yang baru memeluk agama Islam.
Apabila berinteraksi dengan mualaf, kita perlu memastikan mualaf tersebut mempunyai akidah yang betul sebelum kita ingin mengajarkan mereka ibadah seperti solat.
Apabila Nabi Muhammad ﷺ menghantar Muaz bin Jabal untuk berdakwah di Yaman, perkara pertama yang Baginda ﷺ perintahkan Muaz menyampaikan bukanlah berkaitan solat atau membaca al-Qur’an tetapi adalah ilmu tauhid.
Kata Muaz: Nabi ﷺ telah mengutusku ke Yaman dan Nabi ﷺ. telah bersabda: “Wahai Muaz! Sesungguhnya engkau akan diutuskan kepada Ahli Kitab, maka serulah mereka kepada penyaksian (syahadah) bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku adalah Rasulullah (utusan Allah) , sekiranya mereka boleh menerima dan mentaati mu pada perkara itu, maka ajarkanlah mereka tentang kefarduan solat lima waktu sehari semalam yang telah diperintahkan oleh Allah, sekiranya mereka boleh menerima dan mentaatimu pada perkara itu, maka ajarkanlah mereka tentang kefarduan zakat yang mana harta dari golongan yang kaya di antara mereka diagihkan kepada golongan yang miskin di kalangan mereka.” (Sahih Bukhari, No 1395)
Kesimpulan
Islam bukan sahaja mengajarkan ibadah solat dan membaca al-Quran. Dalam dakwah, keutamaan perlu diberikan dalam menerapkan tauhid kerana itu merupakan perkara yang paling penting di sisi Allah.
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat 41:33) – The Merdeka Times