Connect with us

Terkini

Kawasan khas merokok bertentangan dasar kawalan tembakau negara – FOMCA

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
  • Penyelaras kawalan tembakau FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata jika kawasan merokok perlu, ia harus menyokong objektif menyahnormalkan tabiat merokok seperti menawarkan keselesaan kepada perokok, termasuk perlindungan dan tempat duduk.
  • “Hanya kotak bertanda merah di atas lantai (perlu disediakan),” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Selasa.
  • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dilaporkan menyokong cadangan penyediaan kawasan khas merokok, namun berpandangan inisiatif berkenaan perlu dirancang dan dilaksanakan secara teliti.
  • Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata inisiatif itu dapat menyumbang kepada perubahan sikap sedikit demi sedikit bahawa merokok bukan sesuatu yang normal, sekiranya dilaksanakan dengan betul.

KUALA LUMPUR — Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menolak cadangan penyediaan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.

Penyelaras kawalan tembakau FOMCA, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata ini kerana tindakan itu bercanggah dasar kawalan tembakau negara.

Beliau berkata sekiranya kawasan merokok perlu, ia harus menyokong objektif menyahnormalkan tabiat merokok seperti menawarkan keselesaan kepada perokok, termasuk perlindungan dan tempat duduk.

“Hanya kotak bertanda merah di atas lantai (perlu disediakan),” katanya dipetik Free Malaysia Today pada Selasa.

Sha’ani berkata kanak-kanak tidak sepatutnya terdedah kepada kawasan berkenaan, bagi mengelakkan mereka turut terjebak tabiat merokok.

Beliau berkata perokok perlu menunggu sekurang-kurangnya 45 minit selepas merokok sebelum masuk ke dalam rumah kerana asap rokok mengambil masa lapan hingga 10 jam untuk hilang dari paru-paru mereka.

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dilaporkan menyokong cadangan penyediaan kawasan khas merokok, namun berpandangan inisiatif berkenaan perlu dirancang dan dilaksanakan secara teliti.

Presidennya, Dr Azizan Abdul Aziz berkata inisiatif itu dapat menyumbang kepada perubahan sikap sedikit demi sedikit bahawa merokok bukan sesuatu yang normal, sekiranya dilaksanakan dengan betul.

Dr Azizan mencadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pemilik premis dalam mengenal pasti tempat sesuai bagi memastikan inisiatif itu berjaya.

“Kesihatan awam mesti diberi keutamaan tertinggi dalam membuat keputusan ini, bukannya kesenangan pemilik kedai dan perokok.

“Kawasan khas merokok patut diletakkan di luar bangunan dan jauh dari kawasan sesak bagi mengelak pendedahan asap sekunder kepada golongan bukan perokok,” katanya.

Dr Azizan mengesyorkan kementerian mengkaji pelaksanaan inisiatif seperti itu di Singapura dan Jepun bagi contoh amalan terbaik.

KKM sebelum ini dilaporkan menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan menyediakan kawasan khas merokok, terutama bagi premis makanan di kawasan sempit. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia bagi memastikan penyelesaian terbaik dan menyeluruh dapat diwujudkan, sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan. 

Memperincikan rasional cadangan mewujudkan kawasan khas merokok, Dr Dzulkefly berkata ia bertujuan memastikan aktiviti penguatkuasaan bagi larangan merokok di premis makanan dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending