Connect with us

Terkini

Kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan isyarat penjajaran politik baharu menjelang PRU16 – Penganalisis

Published

on

Foto: Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.
  • Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, formula kerjasama itu dilihat sebagai usaha menyatukan sokongan pengundi Melayu, selain mengelakkan perpecahan undi di kawasan tertentu.
  • “Jika formula ini berjaya, ia boleh menjadi petunjuk awal kepada penjajaran politik baharu menjelang PRU16, khususnya jika kedua-dua pihak melihat manfaat pilihan raya yang lebih besar daripada persaingan terbuka,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi menjadi petunjuk awal kepada penjajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, formula kerjasama itu dilihat sebagai usaha menyatukan sokongan pengundi Melayu, selain mengelakkan perpecahan undi di kawasan tertentu.

“Jika formula ini berjaya, ia boleh menjadi petunjuk awal kepada penjajaran politik baharu menjelang PRU16, khususnya jika kedua-dua pihak melihat manfaat pilihan raya yang lebih besar daripada persaingan terbuka,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Menurut beliau, PRN Johor dan Negeri Sembilan turut menjadi medan untuk parti-parti politik menguji kekuatan serta pengaruh masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada rakan kerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan pemimpin BN bahawa persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan hanya terpakai di peringkat Persekutuan menunjukkan parti itu mahu membezakan antara kerjasama pentadbiran dengan persaingan pilihan raya di peringkat negeri.

Sivamurugan berkata, pendekatan tersebut tidak semestinya bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan strategi taktikal untuk mengekalkan daya saing dan memperkukuh kedudukan tawar-menawar BN menjelang PRU16.

“Sekiranya BN sekali lagi mencatat kemenangan besar di Negeri Sembilan, ia akan mengukuhkan naratif bahawa sokongan pengundi Melayu semakin cenderung kepada BN.

“Namun, ia tidak semestinya diterjemahkan sebagai penolakan terhadap Kerajaan Persekutuan kerana pola pengundian negeri dan nasional adalah berbeza,” katanya.

Perkembangan itu mendapat perhatian selepas kempen PRN menyaksikan BN dan Pakatan Harapan (PH) saling menyerang, meskipun kedua-duanya masih bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Sekiranya kerjasama BN-PN terbukti berkesan di Negeri Sembilan, formula berkenaan berpotensi menjadi asas kepada percaturan politik lebih besar serta mengubah bentuk persaingan parti menjelang PRU16.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author