Agama
Benarkah haram jadikan patung, ‘teddy bear’ sebagai bantal?
Baru-baru ini, tular isu penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengatakan hukum tidur dengan patung permainan seperti teddy bear adalah haram.
Baru-baru ini, tular isu penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengatakan hukum tidur dengan patung permainan seperti teddy bear adalah haram.
“Sekarang ini, ramai sangat budak perempuan tidur dengan patung. Hukumnya haram, tidak boleh. Patung-patung ini hanya untuk kanak-kanak bermain,” katanya pada satu sesi ceramah sebelum ini.
Isu itu mengundang sindiran netizen bukan Muslim yang menulis komen di hantaran media tempatan menerusi Facebook seperti meluahkan rasa ‘kasihan’ kepada masyarakat Muslim yang dipenuhi dengan pelbagai larangan.
Menarik bagi penulis bawakan perbincangan yang hakikatnya telah dijelaskan kira-kira empat tahun lalu dalam artikel “Al-Kafi li al-Fatawi #1528: Adakah Boleh Menjadikan Patung Minion dan Teddy Bear sebagai Bantal Peluk?” di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel itu menyebut pengharaman atau larangan adanya patung di rumah bersandarkan daripada sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung”. (Sahih Bukhari, no 3225)
Berdasarkan hadis ini, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan sebab larangan tersebut bahawa:
“Para ulama mengatakan bahawa, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT dan sebahagian daripada gambar-gambar tersebut ada yang dijadikan sembahan”.
Ibn Qayyim al-Jauziyah juga berpendapat sama seperti Imam al-Nawawi menyatakan hukumnya makruh bersolat di tempat yang bergambar kerana ‘berkemungkinan ia membawa kepada syirik. Hal yang membuatkan kebanyakan umat-umat terdahulu menjadi syirik.
Maka, berdasarkan ulasan dua ulama’ terbabit, dapat disimpulkan larangan kepada patung atau gambar-gambar makhluk bernyawa disebabkan dua perkara.
Pertama, ia menyerupai ciptaan Allah dan Kedua, dikhuatiri benda-benda tersebut akan diagungkan atau disucikan sehingga membawa kesyirikan.
Namun, bagaimana pula dengan patung haiwan atau karakter yang dijadikan sebagai bantal peluk untuk tidur?
Menurut artikel itu, Imam Al-Nawawi telah menukilkan satu pendapat daripada al-Khattabi dalam Minhaj Syarh Sahih Muslim 14/84 dan Tuhfah al-Ahwazi, 8/72 yang menyebutkan bahawa:
“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar (gambar patung) yang haram digunakan. Adapun apa yang tidak haram untuk digunakan yang terdiri daripada anjing buruan, anjing bagi menjaga tanaman dan anjing bagi menjaga ternakan serta gambar yang direndahkan (tidak dimuliakan) yang terdapat pada hamparan atau bantal atau selainnya, maka ia tidak menghalang daripada para malaikat masuk ke dalam rumah disebabkan olehnya (ada dalam rumah)”.
Namun begitu, kemudiannya Imam al-Nawawi berpendapat larangan itu bersifat umum bagi semua jenis anjing dan gambar patung kerana hadis itu bersifat mutlak (tidak diikat apa-apa).
Sekalipun begitu, terdapat riwayat daripada Aisyah RA di mana masa kecilnya beliau pernah memiliki patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, katanya:
“Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku”. (Sahih Bukhari, no 6130)
Justeru, menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathul-Bari, para ulama berdalilkan dengan hadis ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan.
Katanya, hadis ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah.
Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau berkata bahawa inilah pendapat majoriti ulama.
Sekiranya patung itu dijadikan sebagai alat permainan dan pembelajaran bagi kanak-kanak, maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana patung permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang disembah atau dimuliakan.
Apatah lagi, sifat kanak-kanak yang tabiatnya bermain sehingga ada yang merosakkan patung mereka. Jelas bagi mereka ia hanyalah patung permainan, bukan satu sembahan atau kemuliaan.
Maka, menurut Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel tersebut, patung karakter atau haiwan adalah dibolehkan selagi mana patung itu tidak diletakkan di tempat yang mulia, tidak disucikan (taqdis), dihormati atau bertujuan untuk disembah.
Apatah lagi ia digunakan sebagai bantal, sudah jelas menunjukkan ia bukan bertujuan untuk dimuliakan, yang mana kadang-kadang bantal ‘teddy bear’ itu terdedah kepada air liur basi dan lain-lain.
Akan tetapi sekiranya patung itu digunakan sebagai bahan pujaan atau diletakkan di tempat yang dihormati sehingga membawa kepada penyucian, maka jelas perkara tersebut haram dan dilarang sama sekali.
Namun, lebih baik dihindarkan atau ditinggalkan bagi mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah. – The Merdeka Times