Terkini
Perkataan kafir bukan menghina bukan Islam – Pengerusi ISMA
Kelompok bukan Islam tidak perlu terasa hati atau rasa hina dengan perkataan kafir kerana ia tidak membawa sebarang maksud penghinaan, kata Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Zamri Hashim.
- Kelompok bukan Islam tidak perlu terasa hati atau rasa hina dengan perkataan kafir kerana ia tidak membawa sebarang maksud penghinaan, kata Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Zamri Hashim.
- Beliau yang juga merupakan Timbalan Mufti Perak berkata, perkataan kafir adalah perkataan Arab berasal dari kata “kafara” dan jika dirujuk kepada beberapa kamus atau kitab rujukan bahasa Arab perkataan al-kufr membawa maksud menutupi sesuatu.
- “Adapun perkataan yang berlawanan dengan kafir adalah Muslim yang membawa maksud orang yang menyerah diri dengan membuka hatinya untuk menerima ajaran Islam.
- “Perkataan kafir itu sendiri sesekali tidak membawa maksud penghinaan yang perlu ditakuti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
KUALA LUMPUR — Kelompok bukan Islam tidak perlu terasa hati atau rasa hina dengan perkataan kafir kerana ia tidak membawa sebarang maksud penghinaan, kata Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Zamri Hashim.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Mufti Perak berkata, perkataan kafir adalah perkataan Arab berasal dari kata “kafara” dan jika dirujuk kepada beberapa kamus atau kitab rujukan bahasa Arab perkataan al-kufr membawa maksud menutupi sesuatu.
“Orang yang masih belum membuka hatinya dan masih kekal menutupi sanubarinya untuk menerima Islam sebagai agama, mengesakan Allah, mengimani Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir maka dinamakan kafir.
“Adapun perkataan yang berlawanan dengan kafir adalah Muslim yang membawa maksud orang yang menyerah diri dengan membuka hatinya untuk menerima ajaran Islam.
“Perkataan kafir itu sendiri sesekali tidak membawa maksud penghinaan yang perlu ditakuti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zamri berkata bahkan di dalam al Quran mempunyai surah khas yang dinamakan sebagai surah “al kafiruun”, di mana individu beragama Islam dan bukan Islam boleh terus memahaminya walaupun hanya membaca terjemahan.
“Saya bawakan terjemahannya seperti di bawah. Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir. “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
“Sangat jelas mesej surah ini dan ia sangat realistik apa yang berlaku hari ini,” katanya.
Beliau berkata secara kesimpulannya, perkataan kafir itu adalah istilah al-Quran yang tidak mengandungi apa-apa maksud penghinaan bahkan satu istilah pengenalan bagi golongan yang masih menutup hatinya menerima Islam.
“Adapun kesudahan orang kafir selepas mati, itu adalah kepercayaan umat Islam dan juga tidak mampu dipaksa untuk dipercayai oleh orang kafir sebagaimana kepercayaan agama lain yang tidak boleh dipaksa orang Islam mempercayainya,” kata Zamri.
Pada 17 Oktober lalu, media melaporkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menarik balik kenyataannya selepas didakwa menuduh DAP kafir di Dewan Rakyat.
Keputusan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyifatkan kenyataan yang tersebut kurang sopan dan biadab kerana DAP juga diwakili Ahli Parlimen beragama Islam.
Sebelum ini, seorang bekas pemimpin MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker turut dilaporkan kurang senang dengan perkataan kafir bagi merujuk golongan bukan Islam di negara ini.
Menurutnya, perkataan itu digunakan berkali-kali dengan cara yang merendahkan dalam saat-saat keterlaluan atau untuk merasa diri lebih baik.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menggesa agar Ahli Parlimen henti menggunakan perkataan kafir, zionis dan Yahudi untuk melabel seseorang di Dewan Rakyat.
Beliau berkata ini memandangkan lain-lain perkara yang sama maksud disebutkan oleh Ahli Parlimen itu akan mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Ustaz Haji Zamri Hashim