Terkini
Kerajaan Madani tarik balik peruntukan kawasan Syed Saddiq selepas jadi pembangkang
Ahli Parlimen Muar mendakwa peruntukan yang sepatutnya diterima bagi kegunaan kawasannya ditarik balik sejurus selepas tidak lagi menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Ahli Parlimen Muar mendakwa peruntukan yang sepatutnya diterima bagi kegunaan kawasannya ditarik balik sejurus selepas tidak lagi menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau mendapat pengesahan itu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
- Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata demikian ketika celahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) semasa penggulungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat hari ini.
- Kar Hing dalam celahannya berkata, Syed Saddiq cuba membentuk persepsi buruk seolah-olah kerajaan bersikap tidak profesional terhadap pembangkang dengan menghentikan projek-projek yang diluluskan selepas memilih menjadi pembangkang.
- Syed Saddiq sebelum ini menarik sokongan terhadap Kerajaan Madani pimpinan Anwar, memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga di Dewan Rakyat, sebagai bantahan berhubung keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar mendakwa peruntukan yang sepatutnya diterima bagi kegunaan kawasannya ditarik balik sejurus selepas tidak lagi menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau mendapat pengesahan itu daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata demikian ketika celahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) semasa penggulungan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika itu, Kar Hing dalam celahannya berkata, Syed Saddiq cuba membentuk persepsi buruk seolah-olah kerajaan bersikap tidak profesional terhadap pembangkang dengan menghentikan projek-projek yang diluluskan selepas memilih menjadi pembangkang.
Syed Saddiq kemudian memetik Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli Dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.
Kar Hing: Saya menyatakan penghargaan kepada kementerian kerana meneruskan komitmen tidak mengira kawasan, latar belakang parti dengan membina sekolah. Saya bimbang hujah (Syed Saddiq) sebegini yang terus dilontar pembangkang terutama Muar, beliau cuba kaitkan kerajaan ini melakukan pendakwaan terpilih, pilih buluh dan tidak menjaga kawasan pembangkang.
Syed Saddiq: Gopeng tuduh Muar menyebarkan berita palsu. Hakikatnya, saya dapat pengesahan dari ICU sebaik saya berada di blok pembangkang. Peruntukan ini telah ditarik, dikosongkan.
Kar Hing: Muar yang bersangka jahat.
Syed Saddiq: Persoalan yang sama juga kepada semua ahli Parlimen yang masih belum mendapat peruntukan. Dalam RM3.8 juta ahli Parlimen kerajaan dapat, RM2 juta boleh diperuntukan untuk bina dewan, baik pulih sekolah dan bantu orang susah. Jadi pembangkang boleh dapat RM0? Jawab kepada rakyat!
Bagaimanapun, kekecohan antara pemimpin berkenaan kembali reda selepas Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md. Nor meminta Menteri Pendidikan meneruskan kembali penggulungan beliau.
Syed Saddiq sebelum ini menarik sokongan terhadap kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga di Dewan Rakyat.
Ia sebagai bantahan berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan selepas pihak pendakwaan memohon untuk kesemua 47 rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram digugurkan.
Sumber: Utusan Malaysia