Terkini
Zahid letak jawatan tidak cukup untuk selamatkan UMNO – Pakar
UMNO perlu melalui pembaharuan jangka panjang untuk pulih daripada prestasi buruk dalam PRN enam negeri Sabtu lalu, kata penganalisis politik.

- UMNO perlu melalui pembaharuan jangka panjang untuk pulih daripada prestasi buruk dalam PRN enam negeri Sabtu lalu, kata penganalisis politik.
- Jeniri Amir, Felo Kanan Majlis Profesor Negara berkata, peletakan jawatan Zahid Hamidi sebagai presiden UMNO saja tidak cukup untuk parti meraih semula sokongan Melayu, atau mengubah imejnya dalam sekelip mata.
- “Banyak lagi perlu dilakukan selain peletakan jawatan Zahid, mungkin lima ahli paling kanan Majlis Kerja Tertinggi perlu ditukar juga,” katanya.
- “Mereka mengutuk DAP lebih lima dekad, tetapi kini bekerjasama dengan DAP, jadi bagaimana mahu mewajarkannya?” katanya dengan menambah prestasi buruk UMNO dalam PRN menggambarkan kekecewaan ahli parti.
PETALING JAYA: UMNO perlu melalui pembaharuan jangka panjang untuk pulih daripada prestasi buruk dalam PRN enam negeri Sabtu lalu, kata penganalisis politik.
Jeniri Amir, Felo Kanan Majlis Profesor Negara berkata, peletakan jawatan Zahid Hamidi sebagai presiden UMNO saja tidak cukup untuk parti itu meraih semula sokongan Melayu, atau mengubah imejnya dalam sekelip mata.
Ramai termasuk veteran parti, Idris Jusoh mendesak Zahid segera meletak jawatan susulan kegagalan ramai calon UMNO dalam PRN minggu lalu.
Bagaimanapun, Jeniri percaya perubahan kepimpinan tertinggi UMNO saja tidak cukup untuk memulihkan keadaan bagi parti itu.
“Banyak lagi perlu dilakukan selain peletakan jawatan Zahid, mungkin lima ahli paling kanan Majlis Kerja Tertinggi perlu ditukar juga,” katanya kepada FMT.
Parti itu juga memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk membaiki imejnya, katanya.
Beliau berkata, Zahid melanggar janjinya, iaitu “No Anwar, No DAP” apabila memimpin Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), yang menjejaskan imej parti itu.
Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 menolak kemungkinan UMNO dan BN bekerjasama dengan PH atau BERSATU.
Jeniri berkata, hubungan kerja baharu UMNO dan DAP juga menyebabkan akar umbi semakin berjauh hati.
“Mereka mengutuk DAP lebih lima dekad, tetapi kini bekerjasama dengan DAP, jadi bagaimana mahu mewajarkannya?” katanya dengan menambah prestasi buruk UMNO dalam PRN menggambarkan kekecewaan ahli parti.
UMNO mengalami kekalahan teruk dalam PRN minggu lalu kerana hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN ditandinginya.
Bagaimanapun, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia percaya peletakan jawatan Zahid mampu menjadi langkah pertama yang baik ke arah pembaharuan UMNO.
“Sama seperti ketika Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan (susulan prestasi teruk pada 1999) dan digantikan Abdullah Ahmad Badawi yang terkenal sebagai ‘Mr Clean’,” katanya kepada FMT.
BN bangkit dan menang lebih 90% kerusi dalam PRU 2004 susulan pertukaran kepimpinan itu, katanya.
Di bawah pimpinan Abdullah, UMNO menang 109 daripada 219 kerusi dalam PRU11 (dengan 198 kerusi dimenangi BN secara keseluruhannya), yang menjadi kemuncak kekuatan parti itu dalam politik kebangsaan.
Sumber: Free Malaysia Today
Terkini
Belanda sekat visa peneroka pelampau Israel
Selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas peneroka pelampau Israel, Belanda juga akan melarang kelompok ekstremis zionis dari memasuki negara itu.

- Selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas peneroka pelampau Israel, Belanda juga akan melarang kelompok ekstremis zionis dari memasuki negara itu.
- Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Belanda, Alexander De Croo pada Rabu ke atas peneroka pelampau Israel di Tebing Barat.
- Dalam ucapannya di Persidangan Antarabangsa 75 tahun Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat di Universiti Ghent, De Croo menekankan komitmennya untuk melindungi orang awam dari keganasan di Timur Tengah.
- “Peneroka ekstremis di Tebing Barat akan dilarang memasuki Belanda. Kami akan bekerjasama dengan AS mengenai sekatan menyasarkan individu terlibat dalam tindakan menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Tebing Barat,” kata De Croo dipetik Brussels Times.
- Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengumumkan langkah sekatan visa semalam.
Selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan visa ke atas peneroka pelampau Israel, Belanda juga akan melarang kelompok ekstremis zionis dari memasuki negara itu.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Belanda, Alexander De Croo pada Rabu ke atas peneroka pelampau Israel di Tebing Barat.
Dalam ucapannya di Persidangan Antarabangsa 75 tahun Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat di Universiti Ghent, De Croo menekankan komitmennya untuk melindungi orang awam dari keganasan di Timur Tengah.
Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengumumkan langkah sekatan visa semalam.
“Peneroka ekstremis di Tebing Barat akan dilarang memasuki Belanda. Kami akan bekerjasama dengan AS mengenai sekatan menyasarkan individu terlibat dalam tindakan menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Tebing Barat.
“Kami akan bekerjasama dengan AS berkaitan sekatan ini dan akan mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mengikutinya,” kata De Croo dipetik Brussels Times.
Sejak serangan dilancarkan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu, keganasan semakin meningkat di Tebing Barat dengan sekurang-kurangnya 258 warga Palestin terbunuh, menurut statistik Pihak Berkuasa Palestin.
Majoritinya terbunuh dalam pertembungan dengan tentera zionis dengan majoriti orang awam menjadi mangsa keganasan tanpa provokasi peneroka pelampau Israel.
Ia juga disebabkan kerajaan sayap kanan Israel yang terdiri daripada peneroka ultranasionalis, mengisyaratkan sokongan terhadap tindakan kumpulan peneroka haram Israel.
Setakat ini, lebih 17,150 warga Palestin, termasuk lebih 7,000 kanak-kanak, terbunuh dalam tempoh lebih lapan minggu serangan rejim zionis Israel ke atas Gaza, manakala 1,200 orang terkorban di Israel. – The Merdeka Times
-
Terkini4 days ago
Kredit e-Madani dilarang pindah atau tebus tunai, akaun boleh disekat
-
Terkini3 days ago
(VIDEO) Tular rakyat Malaysia gesa Kedutaan Israel dibuka di negara ini
-
Antarabangsa2 days ago
Israel akui sukar tewaskan Hamas
-
Antarabangsa3 days ago
(VIDEO) Tentera rejim zionis rogol kanak-kanak lelaki Palestin di Penjara Israel – Bekas pegawai kanan AS